Fasad dan Uluww Oleh Bani Israel Yang Menjadi Punca Hukuman Serangan
Siri: Malaysia Bakal Diserang, Kerana Inilah Tanah Bani Israel
Wajib Dibaca Sebelum Meneruskan Artikel Ini
Sebelum meneruskan bacaan, anda wajib membaca artikel asas di bawah terlebih dahulu:
Perkara Asas Yang Wajib Difahami Sebelum Membaca Artikel Ini
Artikel ini tidak boleh dibaca secara terpisah daripada asas tersebut. Jangan terus membaca artikel ini dengan kepala yang sudah penuh sangkaan. Jangan baca dengan rangka fikir lama yang telah terbiasa mengunci Surah al-Isra’ kepada tafsiran yang belum tentu tepat pada tempatnya.
Pada bahagian yang lepas, kita telah selesai meneliti 10 Perintah Lengkap Perintah Allah Kepada Bani Israel Mengikut al-Quran yang menjadi perjanjian mereka dengan Allah sejak ribuan tahun dahulu hingga ke hari ini. Perintah-perintah itu telah diturunkan melalui Nabi Musa a.s. Namun apabila ajaran Nabi Muhammad SAW datang, kita dapat mengesan bahawa sebahagian prinsip perintah itu telah dibetulkan, diperbaharui dan dikembalikan kepada maksud tauhid yang sebenar.
Perbahasan sebelum ini kita sandarkan kepada ayat 4 Surah al-Isra’:
وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا
“Dan Kami telah menetapkan kepada Bani Israel dalam Kitab itu bahawa kamu pasti akan melakukan kerosakan di bumi sebanyak dua kali, dan kamu pasti akan meninggi dengan kesombongan yang besar.”
Surah al-Isra’ 17:4
Bagi memudahkan perbahasan, ayat ini kita pecahkan kepada tiga frasa utama.
Frasa pertama ialah:
وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ
“Dan Kami telah menetapkan kepada Bani Israel dalam Kitab itu.”
Frasa ini telah sempurna kita bahaskan sebelum ini. Di situ kita telah melihat bahawa ayat ini bermula dengan satu ketetapan Allah terhadap Bani Israel. Maka sebelum kita bercakap tentang kerosakan, hukuman dan serangan, kita perlu terlebih dahulu faham bahawa semua itu berpunca daripada perjanjian dan ketetapan yang telah Allah letakkan ke atas mereka.
Frasa kedua ialah:
لَتُفۡسِدُنَّ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ
“Kamu pasti akan melakukan kerosakan di bumi sebanyak dua kali.”
Inilah frasa yang akan kita bincangkan sekarang. Di sini Allah tidak sekadar menyebut bahawa Bani Israel akan melakukan kerosakan. Allah menyebut kerosakan itu berlaku di bumi dan berlaku sebanyak dua kali. Maka kita perlu membaca frasa ini dengan teliti dan sabar kerana setiap perkataan membawa kesan kepada maksud ayat selepasnya.
Frasa ketiga pula ialah:
وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوّٗا كَبِيرٗا
“Dan kamu pasti akan meninggi dengan ketinggian yang besar.”
Dua frasa ini terlalu besar skopnya jika mahu dibincangkan secara menyeluruh. Ia menyentuh asas ajaran agama, pelanggaran perjanjian, kerosakan di bumi dan sifat melampaui batas yang dilakukan oleh Bani Israel terhadap ketetapan Allah. Ini termasuk ketetapan yang telah dikembalikan dan dijelaskan semula melalui ajaran Islam yang turut terpakai kepada mereka. Apa pun sudut yang kita ambil untuk membincangkan baki ayat ini, akhirnya ia tetap akan kembali kepada perintah-perintah Allah ke atas Bani Israel.
Ia akan kembali kepada bagaimana mereka menerima perintah, mengubah perintah dan melanggar perintah. Ia juga akan kembali kepada bagaimana mereka memperlakukan ayat-ayat Allah sehingga kerosakan itu tidak lagi menjadi dosa individu, sebaliknya berubah menjadi kerosakan besar yang menimpa bumi.
Anda perhatikanlah skop perintah ini dan anda lihatlah betapa luasnya ia.
Perlakuan inilah yang membawa kepada syarat dalam ayat 5. Apabila kerosakan itu sampai ke tahap yang ditetapkan Allah, maka datanglah hukuman. Mereka diserang bukan sekali, tetapi dua kali. Mereka diserang dua kali kerana mereka melakukan pelampauan dua kali.
Lihat semula skop perintah ini dan perhatikan betapa luasnya jika kita mahu membuat perbincangan. Inilah topik-topik yang menyebabkan Bani Israel dihukum apabila mereka melanggar perjanjian tersebut.

Dari Perintah Kepada Fasad dan Uluww Besar
Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 39 mesti dibaca sebagai satu rangka perintah. Dari situ, kita akan melihat bahawa Allah tidak hanya menyebut perintah secara terpisah. Allah sedang membina satu rangka kehidupan manusia.
Rangka itu bermula dengan tauhid. Kemudian ia turun kepada ibu bapa, keluarga, kerabat, orang miskin, ibn al-sabil, harta, pembaziran, nyawa, keturunan, anak yatim, janji, sukatan, timbangan, ilmu dan akhirnya sikap angkuh manusia di bumi.
Maka apabila Allah menyebut kepada Bani Israel:
لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ
“Kamu pasti akan melakukan kerosakan di bumi sebanyak dua kali.” (17:4)
Perkataan fasad itu tidak patut dibaca secara ringkas dan ringan. Fasad bukan sekadar “buat jahat”.
Fasad ialah apabila rangka perintah Allah mula dipecahkan. Tauhid dicemari. Hak ibu bapa direndahkan. Hak manusia diabaikan. Harta diselewengkan. Anak dibunuh kerana takut miskin. Zina didekati. Nyawa ditumpahkan tanpa hak. Pembalasan dilampaui. Harta anak yatim disentuh dengan cara zalim. Janji dikhianati. Sukatan dan timbangan dimanipulasi. Sesuatu diikuti tanpa ilmu. Manusia berjalan di bumi dengan angkuh.
Sebagai contoh, tanah ini sepatutnya dibina masjid tetapi diperbanyak kuil, tokong dan gereja iaitu simbol penyembahan selain Allah. Itu mensyirikan Allah di atas tanah ini dalam sekaligus melanggar Perintah 1 Asas Tauhid dan Larangan Syirik.
Bila budaya seksual LGBTQ menjadi normal, keturunan akan rosak. Ada yang rosak terkena AIDS yang menyebabkan kematian. Ada juga anak baru lahir dengan zina bukannya pernikahan halal. Keturunan akhirnya rosak. Itu melanggar Perintah 5 Penjagaan Nyawa, Keturunan dan Maruah Manusia.
Satu orang menipu dalam sukatan ialah dosa. Tetapi apabila penipuan sukatan menjadi budaya ekonomi, sistem perdagangan, dasar kuasa dan kebiasaan masyarakat, ia mula bergerak menjadi fasad. Pada zaman sekarang, pengurangan sukatan tidak semestinya kelihatan pada timbangan fizikal semata-mata. Ia juga boleh muncul dalam bentuk penyusutan kuasa beli mata wang melalui inflasi.
Satu orang bercakap tanpa ilmu ialah kesalahan. Tetapi apabila kebohongan, fitnah, pemalsuan ilmu, pemutarbelitan wahyu dan penyembunyian kebenaran dilakukan secara tersusun, dibela dan diwariskan, ia sudah menuju fasad yang lebih berat.
Satu orang angkuh ialah penyakit hati. Tetapi apabila keangkuhan itu berubah menjadi sistem bangsa, sistem kuasa, sistem agama, sistem politik dan sistem penindasan lebih-lebih lagi pada pemimpin negara, maka ia bukan lagi sekadar perangai peribadi. Ia menjadi angkuh besar di bumi.
Semua itu adalah contoh pintu fasad. Namun fasad yang disebut dalam ayat 17:4 bukan hanya kesalahan individu yang berlaku sekali-sekala. Allah menyebutnya sebagai sesuatu yang berlaku di bumi dan berlaku dua kali. Ini memberi isyarat bahawa kerosakan itu besar, nyata, berulang dan memberi kesan kepada medan kehidupan manusia.
Kaedah Membaca Fasad dan Uluww Besar
Untuk memahami perkara ini dengan lebih terperinci, pembaca boleh menggunakan kaedah Spektrum Perbuatan Manusia Menurut Al-Quran.
Kaedah Spektrum ini pertama sekali digunakan untuk menilai diri sendiri. Ia bukan alat untuk cepat menghukum orang lain. Dengan kaedah ini, seseorang boleh memeriksa kedudukan perbuatannya sendiri. Adakah perbuatannya masih berada pada kesalahan biasa, sudah menjadi keburukan yang lebih berat, sudah merosakkan sumber kebenaran atau sudah diulang, dibela, dinormalisasi dan dijadikan tabiat hidup.
Jika kaedah ini digunakan untuk membaca sesuatu situasi, pembaca perlu berhati-hati. Menilai pola kerosakan tidak sama dengan menghukum manusia secara mutlak. Kita boleh melihat tanda, kesan, corak dan akibat sesuatu perbuatan, tetapi jangan sampai kita melampaui batas ilmu lalu menghukum hati, niat dan kedudukan seseorang di sisi Allah.
Di sinilah rangka perintah nombor 8 menjadi sangat penting, iaitu Disiplin Ilmu dan Pertanggungjawaban Pancaindera. Allah melarang manusia mengikuti sesuatu tanpa ilmu. Pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan dipertanggungjawabkan. Maka apabila kita menilai fasad, kita mesti menilai dengan ilmu, bukti, bahasa yang tepat dan batas yang jelas. Jika tidak, penilaian itu sendiri boleh berubah menjadi pelanggaran terhadap perintah yang sedang kita bincangkan.
Artikel Spektrum itu boleh membantu kita memahami bahawa perbuatan manusia tidak berada pada satu tahap yang sama. Ada buruk biasa. Ada buruk yang lebih berat. Ada buruk yang merosakkan sumber kebenaran. Ada pula buruk yang diulang, dibela, dinormalisasi dan dijadikan budaya hidup.
Dalam kerangka ini, Spektrum -3 boleh membantu kita mengenal keburukan yang merosakkan sumber kebenaran seperti berdusta atas nama Allah, memutar ayat, menyembunyikan petunjuk dan menggunakan agama untuk menzalimi manusia. Spektrum -4 pula membantu kita melihat keburukan yang diulang, dibela, dinormalisasi dan dijadikan tabiat hidup. Namun semua ini mesti dibaca dengan disiplin ilmu, bukan dengan nafsu untuk menghukum orang.
Dari Fasad Zahir Kepada Uluww Batin
Fasad sahaja belum cukup untuk membaca keseluruhan ayat 4. Allah tidak hanya menyebut:
لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ
Allah menyambung dengan frasa:
وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا
Ini menunjukkan bahawa kerosakan mereka bukan hanya berlaku pada medan bumi. Ia juga berlaku pada medan jiwa, kuasa dan kedudukan spiritual manusia di hadapan Allah.
Fasad ialah kerosakan zahir. Uluww ialah peninggian diri secara batin.
Fasad dapat dilihat pada kerosakan zahir yang menyentuh tauhid, keluarga, masyarakat, ekonomi, nyawa, keturunan, amanah, muamalat, ilmu dan adab manusia di bumi.
Uluww pula dapat dibaca pada sikap manusia yang merasa dirinya terlalu tinggi untuk tunduk kepada perintah Allah, terlalu besar untuk kembali kepada kebenaran dan terlalu yakin dengan sistemnya sendiri sehingga sanggup mempertahankan kerosakan itu.
Perkataan uluww datang daripada akar makna tinggi, meninggi dan berada di atas. Daripada akar ini juga datang nama dan sifat Allah, al-ʿAliyy, Yang Maha Tinggi. Ketinggian Allah ialah ketinggian yang mutlak, sempurna dan layak hanya bagi Allah. Makhluk boleh berada tinggi secara tempat, pangkat atau kedudukan, tetapi makhluk tidak layak mengambil makna ketinggian mutlak yang menjadi hak Allah.
Manusia sepatutnya memperhambakan diri kepada Allah Yang Maha Tinggi. Namun apabila manusia enggan tunduk, mencari ilah selain Allah, meninggikan sistemnya sendiri, membesarkan kehendaknya sendiri dan merasa dirinya lebih tinggi daripada perintah Allah, maka dia sedang bergerak daripada kedudukan hamba kepada sikap uluww.
Dengan kata lain, uluww ialah apabila manusia mahu memakai sifat tinggi yang tidak layak bagi dirinya. Dia bukan sekadar melakukan kerosakan di bumi, bahkan dia meninggikan dirinya di hadapan ketetapan Allah. Apabila makhluk mengambil sikap seolah-olah dia lebih tinggi daripada perintah Tuhan, maka layaklah dia dihukum apabila sampai kepada tahap yang Allah tetapkan.
Sebab itu apabila tauhid dicemari, fasadnya ialah rosaknya asas kehidupan di bumi. Uluwwnya ialah apabila manusia merasa berhak meletakkan selain Allah sebagai sumber takut, taat, harap, hukum dan pengabdian.
Apabila hak manusia diabaikan, fasadnya ialah kerosakan sosial. Uluwwnya ialah apabila manusia merasa bangsa, kelas, kuasa, ekonomi atau agamanya memberi lesen untuk memandang rendah hak orang lain.
Apabila harta diselewengkan, sukatan dimanipulasi dan keadilan muamalat dirosakkan, fasadnya ialah kerosakan ekonomi. Uluwwnya ialah apabila manusia merasa cukup bijak untuk menipu sistem, mengawal nilai, mempermainkan pasaran dan tetap menyangka dirinya tidak akan dipersoalkan oleh Allah.
Apabila ilmu dipalsukan, wahyu diputar, kebenaran disembunyikan dan manusia mengikuti sesuatu tanpa ilmu, fasadnya ialah kerosakan ilmu. Uluwwnya ialah apabila manusia merasa sangkaan, propaganda, warisan kelompok dan kepentingan kuasanya lebih tinggi daripada petunjuk Allah.
Apabila manusia berjalan di bumi dengan angkuh, fasadnya ialah kesan keangkuhan itu pada kehidupan manusia. Uluwwnya ialah penyakit asal yang membuat manusia merasa besar, sedangkan dia tidak mampu menembusi bumi dan tidak mampu mencapai setinggi gunung.
Fasad dan Uluww Sebagai Punca Hukuman
Oleh yang demikian fasad, dan uluww perlu dibaca bersama.
Fasad ialah kerosakan pada bumi. Uluww ialah kesombongan yang melahirkan, membela dan mengekalkan kerosakan itu.
Fasad menunjukkan apa yang rosak. Uluww menunjukkan mengapa manusia tetap meneruskan kerosakan itu walaupun perintah Allah telah jelas.
Di sinilah Spektrum -3 dan -4 menjadi berguna sebagai alat membaca tahap kerosakan. Apabila kerosakan sudah menyentuh wahyu, kebenaran, ilmu, amanah dan hak manusia, ia memasuki medan yang sangat berat. Apabila kerosakan itu pula diulang, dibela, diwariskan, dinormalisasi dan dijadikan sistem, ia bukan lagi kesalahan kecil yang terpisah. Ia sudah menjadi fasad yang besar di bumi dan lahir daripada uluww yang besar dalam jiwa serta sistem manusia.
Sebab itu ayat 4 tidak berhenti pada pemberitahuan bahawa Bani Israel akan melakukan kerosakan. Allah menyebut kerosakan itu berlaku di bumi sebanyak dua kali dan disertai peninggian diri yang besar.
Apabila fasad zahir dan uluww batin bergabung, maka hukuman bukan lagi datang tanpa sebab. Ia datang kerana rangka perintah telah dilanggar, hikmah wahyu telah diremehkan dan manusia telah meninggikan diri di hadapan ketetapan Allah.
Penutup Fasad dan Uluww Besar
Setelah ayat 4 dibaca bersama rangka perintah Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 39, kita dapat melihat bahawa fasad dan uluww bukan sekadar dua perkataan yang berdiri sendiri.
Fasad menunjukkan kerosakan yang berlaku di bumi. Uluww menunjukkan sikap meninggi diri yang membuat manusia berani mempertahankan kerosakan itu walaupun perintah Allah telah jelas.
Maka hukuman dalam ayat selepasnya tidak datang tanpa sebab. Ia datang selepas perintah dilanggar, hikmah wahyu diremehkan dan manusia meninggikan dirinya di hadapan ketetapan Allah.
Dari sinilah ayat 4 mula bersambung menuju ayat 5.
Allah berfirman:
فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَىٰهُمَا
“Maka apabila datang janji bagi yang pertama daripada kedua-duanya...” (17:5)
Ayat 5 bukan lagi boleh dibaca secara biasa-biasa. Ia datang selepas Allah menetapkan bahawa Bani Israel akan melakukan fasad di bumi sebanyak dua kali dan meninggi dengan uluww yang besar.
Maka persoalan seterusnya bukan lagi hanya tentang maksud fasad dan uluww. Persoalan yang lebih besar ialah:
Apakah yang berlaku apabila janji bagi fasad pertama itu tiba?
Dalam bahagian seterusnya, kita akan masuk kepada ayat 5.
Klik untuk bantu kami
Balas kepada: