Imam Mahdi

313 ADALAH ANGKA BADAR YANG BERTUKAR MENJADI PENJARA MINDA

September 24, 2026 629 2
Completed
Anggaran masa membaca
8 minit 46 saat

313 Adalah Angka Badar Yang Bertukar Menjadi Penjara Minda

Angka 313 sangat popular. Sebut sahaja tentang Imam Mahdi, ikhwan akhir zaman, wali, pasukan pilihan atau kelompok yang akan bangkit pada akhir zaman, tidak lama kemudian angka 313 akan muncul.

Ada yang mencari 313. Ada yang mengatakan mereka sedang membentuk 313. Ada pula yang merasakan bahawa mereka mungkin termasuk dalam 313. Ada yang menyatakan bahawa merekalah 313 yang sejati.

Adakah Rasulullah SAW benar-benar mengajarkan bahawa hanya 313 orang akan menjadi kelompok pejuang atau pendukung Mahdi sehingga manusia hari ini perlu mencari, membentuk atau menentukan siapakah 313 tersebut?

Mari kita kembali kepada sumber.


313 Asalnya Berkait Dengan Badar

Jejak angka 313 yang sangat kuat terdapat pada Perang Badar.

Al-Quran terlebih dahulu menceritakan kisah Talut dan tenteranya. Ketika mereka diuji dengan sebuah sungai, hanya sebahagian kecil yang melepasi ujian tersebut.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah 2:249:

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِٱلْجُنُودِ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّى وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُۥ مِنِّىٓ إِلَّا مَنِ ٱغْتَرَفَ غُرْفَةًۢ بِيَدِهِۦ ۚ فَشَرِبُوا۟ مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ قَالُوا۟ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِۦ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Surah al-Baqarah 2:249

Namun perhatikan sesuatu yang sangat penting.


Al-Quran Tidak Menyebut Angka 313 Dalam Kisah Talut.

Angka 313 ini muncul melalui riwayat mengenai ahli Badar.

Dalam Sahih al-Bukhari 3958, al-Bara' meriwayatkan bahawa para sahabat mengatakan jumlah ahli Badar sama dengan jumlah pengikut Talut yang menyeberangi sungai bersamanya. Lafaz Bukhari menyebut:

بِضْعَةَ عَشَرَ وَثَلَاثَمِائَةٍ

Iaitu tiga ratus dan beberapa belas orang.

Riwayat Jami' al-Tirmidhi 1598 pula memberikan angka secara tepat:

ثَلَاثِمِائَةٍ وَثَلَاثَةَ عَشَرَ رَجُلًا

Tiga ratus tiga belas orang.

Al-Tirmidhi menilai hadis tersebut sebagai hasan sahih.

Maka 313 bukan angka yang muncul tanpa asas. Ia memang mempunyai sejarah. Ia adalah angka yang sangat terkenal berkaitan ahli Badar.


Adakah Jumlah Ahli Badar Menjadi Doktrin

Di sini kita perlu berhati-hati. Riwayat-riwayat sejarah tidak semuanya memberikan angka yang sama secara matematik. Ada sumber menyebut sekitar 310, 312, 313 dan angka sekitar tiga ratus lebih belasan.

Sebab itu 313 menjadi angka yang paling masyhur tetapi kita tidak sepatutnya mengubah angka sejarah ini menjadi suatu formula mistik semata-mata kerana nombornya cantik.

Keadaan pasukan Badar juga sangat daif dari sudut kelengkapan. Sumber sirah menyebut mereka mempunyai sekitar dua ekor kuda dan 70 ekor unta yang digunakan secara bergilir. Mereka bukan sebuah pasukan besar yang keluar dengan persiapan perang lengkap.

Tetapi di sinilah keindahan Badar. Nilai ahli Badar bukan kerana nombor 313 mempunyai kuasa apa-apa.

Nilai mereka itu terletak pada siapa mereka, apa yang mereka hadapi dan bagaimana mereka berdiri bersama Rasulullah SAW ketika keadaan sangat sukar.

Nombor itu cuma merekodkan manusia. Manusia itu bukan dicipta untuk memenuhi maksud nombor.


Bagaimana 313 Masuk Ke Dalam Naratif Mahdi?

Selepas itu jika kita kaji, kita akan menemukan riwayat-riwayat akhir zaman yang menyebut seorang lelaki akan dibai'ah antara Rukun dan Maqam oleh:

مِثْلُ عِدَّةِ أَهْلِ بَدْرٍ

“Seperti jumlah ahli Badar.”

Ada juga riwayat dengan lafaz:

عِدَّةَ أَهْلِ بَدْرٍ

“Sejumlah ahli Badar.”

Riwayat seperti ini memang terdapat dalam karya-karya hadis dan fitan. Antaranya melalui al-Hakim, Nu'aim bin Hammad dan al-Tabarani. Tetapi ada perkara yang sangat jarang diterangkan apabila angka 313 dipopularkan. Walaupun ia popular ia bukannya kukuh.

Pertama: Status jalur-jalur riwayat tersebut bukan semuanya kukuh.

Malah terdapat penilaian ulama hadis yang sangat keras terhadap sebahagian sanad riwayat yang menyebut bai'ah “seperti jumlah ahli Badar”. Ada jalur yang dinilai lemah dan ada yang mempunyai perawi yang dipertikaikan dengan serius.

Lebih menarik, riwayat Abu Dawud mengenai lelaki yang dibai'ah antara Rukun dan Maqam tidak menyebut angka 313 dalam lafaz tersebut.

Ini membawa kepada satu persoalan yang sangat besar:

Kedua: Bagaimana sesuatu yang status riwayatnya perlu diperbahaskan boleh berubah menjadi doktrin bahawa “tentera Mahdi mesti 313 orang”?

Itulah persoalan sebenar yang saya ingin bawa dalam artikel ini.


Dari Riwayat Menjadi Doktrin

Saya sudah lama berjumpa dengan angka 313. Ia muncul dalam pelbagai circle. Ada kelompok silat, kelompok rawatan, kelompok zikir dan pelbagai jamaah yang mempunyai kefahaman tersendiri mengenai siapa yang akan menjadi manusia pilihan akhir zaman.

Saya tidak bermaksud semua kelompok ini sama. Masalahnya ialah apabila angka berubah menjadi identiti dan simbol. Apabila satu kumpulan mempunyai 313. Kumpulan lain juga mempunyai 313. Di tempat lain muncul lagi 313. Kalau dua kumpulan masing-masing mempunyai 313. Negara ini ada beratus kumpulan 313, negara sana ada beratus kumpulan 313.

Kalau seluruh dunia masing-masing mempunyai kelompok 313 mereka sendiri, akhirnya persoalannya bukan lagi setakat:

“Siapakah 313?”

Tetapi ia sudah berubah kepada:

“313 yang mana satu?”

Kitalah yang kena tanya apakah dalil yang memberikan hak kepada manusia hari ini untuk menentukan bahawa kelompok merekalah yang dimaksudkan?


Bahaya Pertama: Manusia Merasakan Dirinya Terpilih

Pada peringkat awal seseorang mungkin hanya tertarik dengan angka tersebut.

Kemudian dia masuk ke dalam sebuah lingkungan yang selalu bercakap mengenainya.

Lama-kelamaan muncul perasaan:

“Mungkin kami inilah 313 itu.”

Selepas itu boleh muncul pula lapisan-lapisan peringkat manusia.

Ada kelompok biasa.

Ada kelompok khusus.

Ada orang dalam.

Ada orang lebih dalam.

Ada orang biasa.

Ada yang dianggap wali.

Ada yang dianggap mempunyai tugas rahsia.

Tanpa sedar, angka yang asalnya menggambarkan ahli Badar telah menjadi alat membina kasta-kasta kerohanian.

Di sinilah “rasa” menjadi sangat berbahaya apabila tidak diperiksa dengan Al-Quran dan hadis.

Seseorang itu boleh merasa tenang, merasa mendapat petunjuk, merasa dipanggil, merasa terpanggil, merasa dirinya sebahagian daripada sesuatu yang besar lalu merasa istimewa dan terpilih.

Kita kena ingat, rasa sekalipun benar, kita kena akui rasa bukan dalil.

Al-Quran sendiri mengingatkan:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

Surah al-Isra' 17:36.

Apa sahaja pengalaman batin, mimpi, lintasan atau keyakinan dalaman diri tetap perlu diuji. Jika sesuatu kepercayaan menghasilkan dakwaan agama yang besar, ia tidak boleh berdiri semata-mata di atas “saya rasa”. Ia kena berdiri dengan fakta Al Quran dan disahkan hadis.


Bahaya Kedua: Orang Lain Merasakan Mereka Tidak Layak

Ini kesan yang saya fikir lebih besar. Bayangkan seorang Muslim biasa dan dia mendengar bahawa Mahdi hanya mempunyai 313 orang pilihan.

Kemudian dia melihat orang-orang yang dikatakan calon 313 itu. Ada yang terkenal sebagai ahli ibadah. Ada yang lama dalam latihan kerohanian. Ada yang dianggap mempunyai kelebihan tertentu. Ada yang mempunyai pengalaman puluhan tahun.

Lalu dia melihat dirinya sendiri. Dia orang biasa, tidak mempunyai nama, tiada kedudukan apa-apa dan tidak mempunyai pengalaman luar biasa.

Kemudian datang satu kesimpulan dalam fikirannya:

“Aku tidak mungkin termasuk.”

Di sinilah 313 berubah menjadi mind barrier. Bukan kerana hadis Badar salah dan bukan kerana ahli Badar tidak berjumlah sekitar itu.

Tetapi kerana sebuah angka sejarah telah ditukar menjadi pintu eksklusif yang menyebabkan manusia lain merasakan jalan menuju kebaikan telah tertutup kepada mereka.

Padahal al-Quran tidak pernah mengajar seseorang supaya berhenti melakukan kebaikan kerana namanya mungkin tidak terdapat dalam sebuah senarai 313.

Pintu iman, taubat, amal soleh, sabar, pengorbanan dan membela kebenaran tidak mempunyai kuota 313.


Jangan Tunggu Menjadi 313

Ini masalah psikologi yang perlu semua orang patahkan. Anda tidak perlu menunggu seseorang mengisytiharkan bahawa anda ialah manusia pilihan. Anda tidak perlu memasuki kelompok rahsia. Anda tidak perlu mempunyai mimpi tertentu.

Anda tidak perlu terlebih dahulu merasa bahawa anda seorang wali.

Jika mahu mengikuti Rasulullah SAW, ikutilah apa yang jelas.

Perbaiki akidah kita

Perbaiki iman kita jaga sampai jadi mukmin.

Perbaiki ilmu sampai jadi ulul albab.

Perbaiki amanah yang kita terima dan jaga hubungan dengan manusia.

Perbaiki keluarga dan tunaikan segala hak.

Bantu manusia dan sentiasa jadi orang baik sekalipun kepada bukan yang kita kenal.

Tegakkan keadilan pada ruang setakat yang termampu.

Bersedialah menghadapi ujian tanpa membina keyakinan bahawa diri sendiri bahawa kita mempunyai kedudukan batin yang tidak pernah Allah berikan bukti. 

Abaikan semua rasa-rasa kerana kebaikan tidak memerlukan kasta. Buat kebaikan dan lupakan. Jangan hitung dan jangan hafal apatah ungkit.


Badar Sendiri Mengajar Agar Jangan Menjadi Badar 313

Ironinya, jika kita benar-benar mahu mengambil pelajaran daripada 313 ahli Badar, mungkin perkara pertama yang perlu dibuang ialah obsesi untuk menjadi “313”. Buang, jangan ragu.

Semak betul betul, renung betul-betul cari maklumat dengan cukup. Betulkah Ahli Badar keluar dari Madinah sambil mengadakan pendirian:

“Kita adalah Badar 313?”

Mereka mana mengetahui bahawa ribuan tahun kemudian manusia akan menjadikan jumlah mereka sebagai nombor keramat. Mereka hanya berada dalam sebuah keadaan nyata. Mereka berjuang dalam realiti.

Mereka diuji lalu mereka membuat pilihan untuk berjuang.

Kemudian sejarah merekodkan mereka dan kita kena keang mereka kerana kenyataan mereka bukan kekeramatan mereka.

Mereka tidak mengejar nombor 313. Nombor 313 mengejar mereka dalam sejarah.


313 Bukan Lesen Eksklusif

Saya tidak menolak hadis mengenai ahli Badar sebaliknya hadis itulah yang perlu diletakkan kembali pada tempatnya.

313 mempunyai asas yang kuat sebagai angka terkenal ahli Badar tetapi daripada situ kita tidak boleh terus melompat kepada kesimpulan:

313 ahli Badar = hanya 313 tentera Mahdi = kumpulan kami ialah 313 tersebut.

Setiap tanda sama dengan (=) di atas memerlukan dalilnya sendiri. Tidak boleh satu riwayat dipanjangkan menjadi tiga doktrin tambahan hanya kerana semuanya kelihatan sesuai. cocok dan kena selera.

Jika ada riwayat Mahdi yang menggunakan ungkapan “seperti jumlah ahli Badar”, kajilah sanad dan matannya.

Jika ada orang mendakwa mempunyai 313, tanyakan dalilnya.

Jika ada jamaah mendakwa merekalah kelompok tersebut, tanyakan bagaimana mereka mengetahuinya.

Jika jawapannya kembali kepada mimpi, rasa, bisikan atau pengalaman seseorang, kewalian dan kekeramatan, maka kita kembali kepada prinsip yang sama:

Rasa bukan dalil.


Pecahkan Penjara Minda 313

Cuba buat satu perkara.

Untuk seketika, lupakan semua gambaran 313 yang pernah anda dengar.

Jangan fikir tentang kelompok sendiri sahaja.

Jangan fikir tentang Nusantara sahaja.

Jangan fikir tentang seorang guru, jamaah atau tokoh tertentu.

Lihat umat manusia secara lebih luas.

Kemudian kembali kepada al-Quran dan hadis satu demi satu.

Pisahkan:

Apa yang al-Quran benar-benar sebut.

Apa yang hadis sahih benar-benar sebut.

Apa yang datang daripada riwayat lemah atau diperselisihkan.

Apa yang sebenarnya hanya tafsiran manusia.

Apabila empat perkara yang saya sebutkan ini anda berjaya pisahkan, maka banyak “misteri 313” akan hilang dengan sendirinya.

Yang tinggal ialah sesuatu yang jauh lebih sederhana. 313 ialah angka yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Badar.

Ia kemudian digunakan dalam sebahagian riwayat dan tradisi akhir zaman. Tetapi itu tidak memberikan tafsiran istimewa kepada sesiapa hari ini untuk mengisytiharkan:

“Kamilah 313.”

Atau membuat orang lain merasa:

“Aku bukan 313. Jadi aku tidak mempunyai peranan.”

Jangan biarkan satu nombor menjadi tembok penjara dalam fikiran.

Kesalahan terbesar kita bukan gagal menjadi salah seorang daripada 313. Kesalahan terbesar ialah berhenti melakukan kebaikan kerana menyangka Allah hanya mempunyai tempat untuk 313 orang sahaja.

(24.09.2026)


Pautan Rujukan:

Sahih al-Bukhari 3958

Jami' al-Tirmidhi 1598

Surah al-Baqarah 2:249

Al-Quran Surah Al-Isra 17:37

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (2):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.