Mengenal Mashriq Dari Dalam Al-Quran
Tujuan Penulisan Ini

Peringatan Kepada Para Pembaca
Senarai Ayat Berkaitan Mashriq Dalam Al-Quran
Sorotan Ringkas Kupasan Ulama Terdahulu
Himpunan Tafsiran Ulama Terdahulu Tentang Mashriq
Begitulah sebahagian kecil sahaja yang sempat saya rumuskan daripada kitab-kitab tafsir untuk diletakkan dalam ruang penulisan ini buat tatapan anda.
Apabila Mashriq Disamakan Dengan Timur
Ruangnya penulisan adalah terhad. Pada masa yang sama, saya percaya bahawa jika saya mengemukakan beberapa soalan kepada para pembaca, sebahagian daripada mereka masih belum benar-benar dapat membezakan antara al-mashriq dengan timur dan antara al-maghrib dengan barat, walaupun para mufassir telah pun memberikan penjelasan mereka berdasarkan al-Quran.
Sebab itulah juga, apabila dalam penulisan sebelum ini saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari timur tetapi dari mashriq, ada yang tidak memahaminya. Begitu juga apabila saya menyatakan bahawa panji-panji hitam bukan dari timur tetapi dari mashriq, masih ada yang tidak dapat menangkap perbezaan yang saya maksudkan.
Apatah lagi apabila saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Iran, maka golongan pro-Syiah pasti akan menolaknya kerana mereka menolak makna mashriq sejak asas lagi. Padahal Iran itu sendiri tidak termasuk dalam mashriq.
Begitu juga apabila saya menyatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Pakistan, maka para penyokong Muhammad Qasim juga akan membantah, walaupun Pakistan juga bukan mashriq sebagaimana yang telah dihuraikan dalam tafsir.
Sama juga jika saya mengatakan bahawa Imam Mahdi bukan dari Syria, Iraq atau Palestin, maka golongan yang terlalu cenderung kepada Arab akan segera mengejek saya, kononnya saya mahu mengangkat Imam Mahdi orang Melayu. Padahal apa yang mereka serang itu bukan saya semata-mata, tetapi al-Quran dan hadis yang mereka sendiri dakwa pegang, sedangkan Nabi telah menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu daripada zuriat baginda melalui Fatimah dari mashriq, sedangkan Syam bukan mashriq.
Saya tidak mempunyai kepentingan bangsa atau wilayah dalam menjelaskan dari mana datangnya Imam Mahdi dan panji-panji hitam, termasuk jika perbahasan itu akhirnya menyentuh Nusantara. Saya tidak peduli semua sentimen itu. Apa yang lebih saya peduli ialah makna sebenar al-mashriq, kerana pada pandangan saya, lafaz ini telah dialihkan daripada maksud asalnya. Isu ini bukan lagi sekadar perbahasan tentang Imam Mahdi dan panji-panji hitam, tetapi telah menjalar jauh sehingga menyentuh wilayah fitnah Dajjal.
Saya juga sedar ada yang suka berkata bahawa kita wajib berpegang kepada penjelasan ulama terdahulu yang muktabar, yang telah pun membincangkan makna mashriq. Namun sebelum anda mendakwa berpegang kepada mereka, sudah berapa kali anda benar-benar membuka dan menyemak sendiri tafsir-tafsir asal dalam bahasa Arab? Adakah anda telah menyemaknya sendiri, atau anda hanya membaca terjemahan Melayu yang telah siap diterjemahkan sebagai timur, lalu mengulanginya semula tanpa semakan? Jika begitu, maka anda tidak mengikuti ulama muktabar, sebaliknya hanya mengikut terjemahan terhadap tafsir ulama muktabar.
Orientasi Asas
Anda telah melihat sendiri makna-makna bagi setiap kata akar dan bentuk terbitan bagi mashriq yang dibawakan oleh sebahagian ulama. Sekarang saya ingin membantu anda memahaminya dengan lebih jelas secara praktikal, menggunakan istilah-istilah yang lebih moden, supaya selepas ini apabila anda membaca penulisan-penulisan seterusnya. Insya-Allah anda tidak lagi terperangkap dalam kekeliruan istilah.

Hadapkan diri anda ke arah matahari terbit dan diam di situ. Secara umum, anda sedang menghadap ke arah tempat-tempat matahari terbit. Di belakang anda pula ialah tempat-tempat matahari terbenam.
Sekarang, sambil wajah terus menghadap ke hadapan, depakan tangan kiri dan kanan anda secara lurus. Dalam bahasa moden, di hadapan anda ialah timur, di belakang anda ialah barat. Tangan kanan anda menghala ke arah selatan dan tangan kiri anda menghala ke arah utara.
Dalam bahasa al-Quran pula, tangan kanan anda sedang menghala ke arah yamin. Sebab itulah di sebelah kanan Madinah, negeri itu dipanggil Yaman. Di sebelah kiri anda pula ialah syimal. Sebab itulah negeri-negeri di arah itu dipanggil Syam.
Setakat ini saya percaya semua sudah memahami orientasi asas ini. Saya labelkan ia sebagai orientasi asas supaya mudah dirujuk semula. Bolehkah anda menggunakan kaedah ini jika anda berada di Eropah atau di Tanjung Harapan, Afrika Selatan? Jawapannya, tidak boleh, kerana ini hanyalah kaedah asas yang paling mudah dan sesuai difahami dalam gambaran kawasan sekitar khatulistiwa serta jalur terbit matahari.
Jadi, saya harap dengan orientasi asas ini anda sudah memahami bahawa di hadapan anda terdapat ratusan titik tempat matahari terbit yang berubah-ubah sepanjang tahun.
3 Jenis Timur
Mengapa Mashriq Tidak Boleh Disamakan Dengan Timur
Sekarang kita sedang berbicara tentang mashriq, iaitu satu lafaz yang selama ini sering dipermudahkan begitu sahaja sebagai timur. Dalam penulisan ini, saya sengaja menghalang anda daripada terus menerima penyamaan itu secara mudah, kerana pada pandangan saya di situlah bermulanya banyak kekeliruan.
Jika anda masih mahu mengekalkan bahawa mashriq itu ialah timur, maka anda perlu menjawab terlebih dahulu satu soalan yang sangat penting. Timur yang mana satu? Adakah yang dimaksudkan itu timur benar, timur grid atau timur magnetik?
Hakikatnya, dalam konteks yang sedang kita bincangkan, mashriq bukan timur magnetik, bukan juga timur grid dan bukan sekadar arah kanan pada peta. Jika mahu dicari istilah moden yang paling hampir, maka mashriq lebih dekat kepada timur benar. Namun begitu, mashriq tetap tidak sama sepenuhnya dengan istilah navigasi moden yang disebut sebagai timur benar.
Mengapa saya katakan demikian?
Kerana dalam tafsir ulama terdahulu, mashriq tidak dibina daripada sistem kompas, garisan grid peta atau medan magnet bumi. Mashriq difahami berdasarkan alam yang dilihat oleh manusia, khususnya tempat matahari terbit, arah terbitnya matahari dan sisi timur yang dikenali melalui peredaran matahari itu sendiri.
Sebab itulah asas makna mashriq yang dipegang oleh para ulama ialah arah atau tempat terbit matahari, bukan arah teknikal moden yang lahir daripada ilmu ukur, geodesi, unjuran peta atau sistem magnetik.
Saya harap pada tahap ini anda sudah semakin jelas tentang makna mashriq. Selepas ini, apabila kita masuk kepada perbahasan tentang dua mashriq dan jamak mashriq, insya-Allah pemahaman anda akan menjadi lebih kukuh kerana asas orientasinya telah dibina terlebih dahulu.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Dua Mashriq
Sekarang kita masuk pula ke bahagian yang lebih menarik, iaitu dua mashriq. Dalam bahasa Arab, lafaz ini disebut sebagai mashriqayn (المشرقين). Jika anda membaca al-Quran, anda akan menemukannya pada Surah ar-Rahman 55:17 dan Surah az-Zukhruf 43:38.
رَبُّ ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَرَبُّ ٱلْمَغْرِبَيْنِ ١٧
(Dia lah) Rabb yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
Surah ar-Rahman 55:17
حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَنَا قَالَ يَـٰلَيْتَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ بُعْدَ ٱلْمَشْرِقَيْنِ فَبِئْسَ ٱلْقَرِينُ ٣٨
Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman".
Surah az-Zukhruf 43:38
Dalam terjemahan Melayu, lafaz ini biasanya diterjemahkan sebagai Rabb atau Tuhan yang menguasai dua timur. Biarkan dahulu terjemahan timur itu. Kita tangguhkan dahulu kebiasaan bahasa yang sering menyempitkan makna, kerana apa yang sedang dibicarakan di sini ialah mashriq, bukan sekadar timur seperti yang difahami secara longgar dalam percakapan harian.
Sebelum ini anda telah membaca petikan daripada tafsiran ulama terdahulu bahawa mashriqayn, atau dua mashriq, merujuk kepada dua tempat terbit matahari. Sebahagian huraian pula menjelaskan bahawa ia ialah dua hujung utama bagi perubahan tempat terbit matahari sepanjang tahun.
Sekarang saya mahu menjelaskannya kepada anda dengan cara yang lebih mudah, lebih dekat dan lebih praktikal, supaya apa yang telah dihuraikan oleh ulama terdahulu itu benar-benar dapat difahami dengan terang.
Orientasi 2
Bagi tujuan itu, kita bina satu lagi gambaran mudah yang saya labelkan sebagai Orientasi 2.
Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan anda sekarang berada di Masjidil Haram di Makkah. Hadapkan wajah anda ke arah matahari terbit. Di belakang anda pula ialah arah matahari terbenam. Selepas itu, angkat tangan kanan dan tangan kiri anda ke hadapan pada paras bahu. Bukaan kedua-dua tangan itu pula dibuat sedikit lebih luas daripada bahu anda.
Kemudian perhatikan bahagian hujung di sebelah kiri anda, bermula dari lengan kiri, terus ke tangan kiri, lalu sampai ke hujung ufuk langit. Itulah had mashriq yang paling kiri. Selepas itu, perhatikan pula hujung di sebelah kanan anda, dari lengan kanan hingga ke hujung ufuk. Itulah had mashriq yang paling kanan.
Apabila al-Quran menyebut mashriqayn, maksudnya ialah dua mashriq, iaitu dua had utama bagi tempat matahari terbit. Satu berada pada hujung sebelah kiri. Satu lagi berada pada hujung sebelah kanan. Kedua-dua hujung inilah yang membentuk makna mashriqayn.
Dalam bahasa yang lebih mudah, matahari tidak terbit pada titik yang sama sepanjang 364 atau 365 hari dalam setahun. Ada satu lokasi paling kiri bagi terbitnya matahari dalam kitaran tahunan itu. Ada juga satu lokasi paling kanan bagi terbitnya matahari. Selama mana matahari terus terbit sepanjang tahun, ia tidak akan melepasi dua had tersebut. Sebelah kiri ialah had paling kiri bagi tempat terbitnya. Sebelah kanan ialah had paling kanan bagi tempat terbitnya. Itulah maksud mashriqayn, iaitu dua hujung utama bagi tempat matahari terbit.
Sebab itu juga dalam Surah az-Zukhruf 43:38 disebut tentang keinginan untuk dijauhkan daripada qarin yang menyesatkan sejauh antara dua mashriq itu, iaitu sejauh-jauh jarak antara dua hujung tempat terbit matahari.
Anda berada di Makkah sekarang, bukan? Tahukah anda bahawa dalam setahun terdapat dua kali berlakunya peristiwa yang dinamakan istiwa’ a‘zam, iaitu ketika matahari berada tegak di atas Kaabah? Pada waktu itulah orang di tempat lain boleh menentukan arah kiblat dengan lebih tepat. Namun begitu, apa yang ingin saya tekankan di sini lebih besar daripada itu.
Hakikatnya, setiap tempat yang berada dalam kawasan tropika, termasuk rumah anda di Asia Tenggara, jika dikira dengan betul, juga boleh mengalami dua kali setahun keadaan matahari berada tepat di atas kepala. Hal ini berlaku selagi sesuatu tempat itu berada dalam lingkungan kawasan tropika, iaitu dalam lingkungan antara dua had besar yang sedang kita bincangkan ini atau, dalam bahasa yang sedang kita gunakan, antara dua mashriq itu.
Sekarang saya gunakan pula sedikit istilah moden untuk membantu anda membayangkannya dengan lebih jelas. Dalam kerangka penerangan moden ini, hujung sebelah kiri itu boleh dikaitkan dengan Tropic of Cancer, yang dalam bahasa Melayu sering disebut sebagai Garisan Sartan. Hujung sebelah kanan pula boleh dikaitkan dengan Tropic of Capricorn, yang dalam bahasa Melayu disebut sebagai Garisan Jadi. Kawasan di tengah-tengah antara kedua-duanya, iaitu antara dua garisan ini, disebut sebagai zon tropika.
Sebab itulah negara-negara tropika merujuk kepada kawasan yang berada dalam lingkungan laluan matahari yang tertentu sepanjang tahun. Kawasan ini lazimnya panas dan menerima hujan yang banyak. Kawasan di luar zon ini tetap menerima cahaya matahari, tetapi matahari tidak akan berada tegak di atas kepala kawasan tersebut sebagaimana yang berlaku dalam zon tropika. Dengan kata lain, kawasan di luar zon ini tidak mengalami keadaan matahari berada tepat di atas kepala dua kali dalam setahun sebagaimana yang boleh berlaku dalam kawasan tropika.
Jadi, begitulah maksud mashriqayn (المشرقين) sebagaimana yang dihuraikan oleh ulama-ulama terdahulu, iaitu dua had utama bagi tempat terbit matahari. Apa yang saya lakukan di sini ialah menghuraikannya semula dengan bahasa yang lebih teratur, bersama satu gambaran orientasi dan sedikit bantuan istilah moden, supaya anda lebih mudah memahami maksudnya berbanding jika anda membaca tafsir itu secara bersendirian tanpa panduan.
Mashriqayn Dalam Pemerhatian Alam Ulama Terdahulu
Bagi sesiapa yang benar-benar membaca tafsir ulama-ulama terdahulu, mereka biasanya akan menemukan bahawa sebahagian ulama menjelaskan mashriqayn (المشرقين) sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk.
Mari saya jelaskan mengapa sebahagian ulama menyatakan demikian. Sepertimana yang telah saya terangkan sebelum ini, tafsiran yang dibuat oleh ulama terdahulu banyak dibina berdasarkan pemerhatian terhadap alam. Pemahaman terhadap alam itulah yang digunakan untuk menghuraikan ayat-ayat Allah sesuai dengan tahap ilmu dan keupayaan yang tersedia pada zaman mereka. Namun masa terus berjalan dan pengetahuan manusia semakin meluas. Sebab itu, mana-mana tafsiran yang menyentuh fenomena alam wajar diteliti semula dengan penuh hormat sejajar dengan keluasan maklumat yang tersedia pada zaman ini.
Jika anda benar-benar meneliti latar hidup para ulama terdahulu, saya yakin anda akan mendapati bahawa ramai daripada mereka berada di sekitar Iraq, Iran, Syria, Mesir dan kawasan-kawasan sekitarnya. Dalam bahasa yang lebih mudah, mereka banyak tertumpu di zon utara daripada Makkah dan Madinah. Jika anda ragu-ragu, semak sahaja biodata para ulama besar terdahulu. Anda akan melihat satu pola yang jelas, iaitu pusat-pusat keilmuan mereka banyak berkembang di hemisfera utara, khususnya pada lingkungan Syam dan kawasan sekitarnya.
Dengan kata lain, tumpuan para ulama terdahulu bukan berada di zon tropika, tetapi lebih tertumpu di kawasan empat musim di hemisfera utara. Syam ialah kawasan empat musim. Kawasan seperti ini tidak mengalami fenomena matahari tegak di atas kepala sebagaimana yang berlaku dalam zon tropika.
Sebab itulah sebahagian ulama menghuraikan mashriqayn sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk. Huraian itu lahir daripada pemerhatian alam di tempat mereka berada. Di sana ada musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk.
Musim bunga ialah waktu suhu mula meningkat, tumbuh-tumbuhan kembali hidup dan bunga mula mekar. Musim panas pula ialah waktu paling panas, siang menjadi lebih panjang dan aktiviti luar lebih mudah dilakukan. Kedua-dua musim ini bergerak ke arah satu sisi perubahan tempat terbit matahari yang sama. Atas sebab itu, sebahagian ulama menyebutnya secara ringkas sebagai mashriq musim panas.
Musim luruh pula ialah waktu suhu mula menurun, daun berubah warna lalu gugur. Musim sejuk ialah waktu paling dingin, dan di sesetengah tempat salji turun serta suhu boleh jatuh di bawah takat beku. Kedua-dua musim ini pula bergerak ke arah sisi yang satu lagi. Atas sebab itu, sebahagian ulama menyebutnya sebagai mashriq musim sejuk.
Semua ini ialah hasil pemerhatian mereka dari zon tempat mereka hidup. Mereka berada di hemisfera utara. Setakat yang dapat diperhatikan, tidak ada tokoh ulama tafsir klasik yang besar datang daripada zon empat musim di hemisfera selatan. Sebaliknya, pusat-pusat ilmu yang membentuk tradisi tafsir dahulu berkembang dalam zon empat musim hemisfera utara. Sedangkan empat musim di hemisfera utara dan empat musim di hemisfera selatan tidak berjalan serentak, bahkan saling bertentangan dari sudut kitaran waktunya. Oleh sebab itu, kerangka pemerhatian yang sampai kepada kita banyak dibentuk daripada pengalaman hemisfera utara, bukan hemisfera selatan.
Itulah yang menjelaskan mengapa sebahagian ulama terdahulu menyebut mashriqayn sebagai mashriq musim panas dan mashriq musim sejuk. Ia bukan kerana mereka sedang mencipta makna baru yang terpisah daripada al-Quran, tetapi kerana mereka sedang menghuraikan dua had utama tempat terbit matahari berdasarkan pemerhatian alam yang berlaku di kawasan mereka.
Bentuk Jamak Bagi Mashriq
Seterusnya, kita akan masuk kepada bentuk jamak bagi mashriq. Dalam al-Quran, ia disebut sebagai al-Mashāriq (المشارق), yang dalam bahasa Melayu lebih tepat difahami sebagai tempat-tempat terbit matahari, bukan sekadar timur. Lafaz ini boleh ditemui dalam al-Quran pada Surah as-Saffat 37:5 dan Surah al-Ma‘arij 70:40.
Bahagian ini agak teknikal sedikit. Namun seperti biasa, saya akan bina satu lagi orientasi supaya anda dapat memahaminya dengan lebih mudah dan supaya kita benar-benar jelas tentang apakah yang dimaksudkan dengan al-Mashāriq. Selepas ini, kita tidak lagi akan menterjemahkannya secara longgar dan bulat-bulat sebagai timur.
Saya labelkan bahagian ini sebagai Orientasi 3. Gambaran asasnya masih sama seperti Orientasi 2. Angkat semula tangan kiri dan tangan kanan anda seperti sebelum ini.
Sekarang, secara bayangan, saya mahu anda membahagikan ruang mendatar di antara tangan kiri dan tangan kanan itu kepada enam petak. Jika kepala anda dijadikan titik tengah, maka akan terbentuk tiga petak di sebelah kiri dan tiga petak di sebelah kanan. Dengan itu, antara mashriq paling kanan dan mashriq paling kiri, terdapat enam petak semuanya.
Selepas itu, tetapkan dalam fikiran anda urutan pergerakan petak-petak tersebut mengikut nombor. Mulakan dari sebelah kanan pada nombor 1, kemudian bergerak ke kiri sehingga nombor 6. Selepas itu, dari petak paling kiri iaitu nombor 6, bergerak semula ke kanan sehingga kembali kepada nombor 1.
Tadi, anda telah membentuk enam petak di antara dua tangan anda. Kemudian saya tambahkan pula arah pergerakan pergi dan patah balik dalam setiap petak itu.
Jika anda ingin tahu, di situlah sebenarnya telah terbentuk dua belas bulan dalam kalendar matahari. Laluan di bahagian atas mewakili perjalanan dari Januari hingga Jun. Selepas itu, pergerakan itu turun ke bahagian bawah, masuk ke Julai, lalu berpatah balik ke arah kanan sehingga Disember. Itulah pola asas pergerakan matahari di bumi.
Maka selepas ini anda sudah mempunyai satu gambaran asas yang lebih kukuh. Selagi anda berada di kawasan tropika, jika anda terjaga daripada tidur selepas seratus tahun sekalipun, besar kemungkinan dalam beberapa hari sahaja anda sudah boleh mengagak anda sedang berada pada bulan yang mana dalam kalendar matahari.
Ekuinoks, Solstis dan Laluan Mashriq
Sekarang ingat kembali apa yang telah disebut oleh ulama-ulama terdahulu tentang mashriq. Mereka menyebut adanya mashriq musim sejuk dan mashriq musim panas. Saya pula telah menjelaskan bahawa huraian seperti itu sangat mungkin lahir daripada pemerhatian ulama-ulama terdahulu yang hidup dalam lingkungan hemisfera utara, atau sekurang-kurangnya dalam tradisi ilmu yang dibina di atas pengalaman ufuk utara. Sebab itu, huraian mereka sangat tepat dalam ruang pemerhatian mereka. Namun ketepatan itu tidak semestinya bermaksud seluruh gambaran bumi telah pun selesai dihimpunkan, khususnya apabila kita mengambil kira sudut hemisfera selatan.Sekarang saya mahu membawa anda melihat perjalanan mashriq dalam setahun dengan menggunakan model Orientasi 3. Bahasanya mungkin sedikit teknikal, tetapi apabila difahami dengan tenang, anda akan nampak bahawa gambaran ini sebenarnya sangat teratur.
Anda tentu sudah mengetahui bahawa ada masa-masa tertentu apabila siang lebih panjang daripada malam, dan ada juga masa-masa tertentu apabila malam lebih panjang daripada siang. Dalam kitaran tahunan itu, ada pula waktu tertentu ketika siang dan malam berada dalam keadaan hampir seimbang.
Dalam setiap tahun, akan datang satu titik apabila pembahagian cahaya matahari antara hemisfera utara dan hemisfera selatan menjadi lebih seimbang. Pada ketika itulah, secara umum, siang dan malam kelihatan hampir sama panjang. Keadaan ini pada hari ini disebut sebagai ekuinoks. Bagi tujuan penjelasan kita, cukuplah difahami bahawa ekuinoks ialah titik pertengahan dalam perjalanan tahunan matahari.
Selepas titik pertengahan itu, matahari akan terus bergerak ke satu arah sehingga sampai ke salah satu hujung mashriq. Apabila ia tiba di hujung tersebut, satu hemisfera menerima lebih banyak cahaya, manakala hemisfera yang satu lagi menerima kurang. Titik hujung inilah yang pada hari ini disebut sebagai solstis.
Dengan kata lain, jika mahu dipermudahkan, ekuinoks ialah titik tengah, manakala solstis ialah titik hujung.
Sekarang masukkan semula model Orientasi 3 yang telah kita bina tadi. Kita sudah membentuk enam petak secara mendatar, tiga di sebelah kiri dan tiga di sebelah kanan.
Kemudian kita susun laluan pergerakannya seperti ini:
Empat Suku Dalam Kitaran Matahari
Disebabkan kita sudah sampai ke tahap ini, maka pada kesempatan ini lebih baik saya lanjutkan perbahasan ini dengan lebih mendalam lagi, sehingga ke tahap bilangan hari dalam setiap bulan, supaya anda boleh mengira kalendar sendiri walaupun teknologi sudah runtuh pada akhir zaman kelak.
Sekarang kita boleh pergi lebih jauh sedikit. Setelah kita memahami bahawa matahari mempunyai laluan terbit tahunan, bergerak ke satu arah, sampai ke hujung, kemudian berpatah balik ke arah yang bertentangan, maka soalan seterusnya ialah ini:
Berapa lama matahari berada pada setiap laluan itu?
Di sinilah kita akan mula melihat satu susunan yang sangat menarik yang saya pelajari daripada al-Quran. Laluan tahunan matahari itu tidak bergerak secara rawak. Ia bergerak dalam satu kitaran yang tersusun. Dalam model Orientasi 3 yang sedang kita gunakan, satu tahun dibahagikan kepada 12 peringkat utama, dan setiap peringkat itu mempunyai bilangan harinya sendiri.
Untuk memudahkan pemahaman, kita gunakan semula susunan petak yang telah dibentuk sebelum ini. Kita sudah membayangkan ada enam petak dari kanan ke kiri, kemudian gerakan berpatah balik semula melalui petak yang sama. Maka satu kitaran tahunan penuh dapat dibayangkan seperti yang telah dijelaskan di atas.
Jika diperhatikan dengan teliti, satu tahun itu sebenarnya boleh dibahagikan kepada empat bahagian besar.
Dari Dua Mashriq Kepada Banyak Mashāriq
Setelah kita melihat bagaimana perubahan musim berlaku apabila matahari bergerak sepanjang petak-petak itu, maka sekarang kita sudah boleh kembali semula kepada lafaz yang sedang dibincangkan. Seluruh pergerakan tahunan matahari itu sebenarnya mempunyai dua sempadan besar, iaitu dua hujung tempat terbitnya, satu di bahagian atas dan satu di bahagian bawah. Inilah yang membantu kita memahami maksud mashriqayn, iaitu dua batas besar tempat terbit matahari dalam setahun. Di antara dua batas itulah pula wujud banyak titik terbit yang dilalui oleh matahari sepanjang kitarannya.
Dari sinilah kita mula melihat bahawa mashriq bukan sekadar timur dalam maksud arah umum, tetapi lebih tepat difahami sebagai tempat terbit matahari. Adapun mashāriq pula ialah tempat-tempat terbit matahari yang banyak itu, yang berada di antara dua sempadan tersebut.
Sekarang kita kembali semula kepada inti lafaz yang sedang dibincangkan. Semua penjelasan tentang pergerakan matahari, perubahan musim, perbezaan hemisfera, serta gerakan pergi dan patah balik sepanjang tahun itu bukan tujuan akhir. Semua itu hanyalah jalan untuk membolehkan kita melihat satu hakikat yang lebih besar, iaitu matahari tidak terbit dari satu titik yang sama sepanjang tahun.
Di sinilah makna mashriq mesti diperbetulkan dalam kepala pembaca. Mashriq bukan sekadar timur dalam maksud arah umum, tetapi lebih tepat difahami sebagai tempat terbit matahari. Apabila tempat terbit itu berubah-ubah sepanjang tahun, maka bentuk jamaknya, mashāriq, menjadi sangat tepat, iaitu tempat-tempat terbit matahari.
Maka seluruh perbahasan tadi sebenarnya sedang membawa kita kepada satu kesimpulan yang sangat penting. Lafaz mashriq tidak cukup jika difahami hanya sebagai timur, dan lafaz mashāriq tidak cukup jika dibayangkan sekadar banyak timur. Yang lebih tepat ialah kita memahami bahawa al-Quran sedang merujuk kepada realiti tempat terbit matahari yang pelbagai sepanjang satu kitaran tahunan. Di situlah makna lafaz itu menjadi hidup, tepat dan jauh lebih besar daripada terjemahan mudah yang biasa kita dengar.
Penutup
Penulisan ini merupakan kajian eksklusif BAZ yang diterbitkan di laman rasmi:
https://beritaakhirzaman.com
Jika anda mahu bersama menyokong kajian mendalam, analisis linguistik dan kupasan sejarah yang tidak diterbitkan di mana-mana tempat lain, anda boleh memberikan tajaan sukarela melalui pautan berikut:
Klik untuk support kami
Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.
Log masuk ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login
Pendaftaran ahli (percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register
Balas kepada: