Langit dan Bumi

ORIENTASI PETA DAN CARA KITA MEMAHAMI AL-ARDH

September 22, 2026 61 0
Completed
Anggaran masa membaca
6 minit 34 saat

Orientasi Peta dan Cara Kita Memahami al-Ardh

Sebelum ini saya sengaja memuat naik sebuah infografik tanpa memberikan apa-apa penerangan. Saya minta sesiapa sahaja tinggalkan komen, sama ada mereka faham atau tidak. Saya tidak kisah. Saya memang tidak mengharapkan semua orang terus faham. Kalau seorang dua dapat menangkap maksudnya pun, saya sudah bersyukur. Alhamdulillah.

Kali ini saya cuba menghuraikannya sedikit demi sedikit. Banyak yang ingin saya sampaikan, tetapi saya cuba jelaskan setakat yang mampu.

Saya minta AI menghasilkan infografik itu kerana saya melihat beberapa gambaran sudah sebati dalam fikiran kita, sedangkan gambaran itu mungkin kurang tepat atau telah membawa kesan tertentu.


Gambaran al-Ardh yang Sebati dalam Fikiran Kita

Mula-mula, saya mulakan dengan perkataan al-Ardh. Kita faham terjemahannya sebagai “bumi”, bukan? Itu terjemahan dari segi perkataan. Tetapi apabila perkataan itu disebut, apakah gambaran yang muncul dalam fikiran kita?

Biasanya kita membayangkan sebuah bebola berwarna putih kebiruan. Kita nampak lautan yang luas, kawasan berpasir kekuningan yang melambangkan gurun dan bahagian yang dilitupi awan tebal.

Itulah gambaran bumi yang sudah tersemat dan sebati dalam fikiran kita. Gambar itu gambar NASA, bukan? Baru-baru ini NASA juga mengeluarkan gambar baharu.

Kalau gambar seperti itu ditunjukkan kepada sesiapa pun, mereka mungkin akan berkata, “Itu bumi.” Ada juga yang akan menyebut “planet Bumi”. Kalau lebih biasa dengan istilah Arab, mungkin mereka akan menyebut al-Ardh.

Namun, dalam kerangka pemahaman yang saya bentangkan di sini, apa yang kita sebut dan bayangkan itu tidak sama dengan gambaran al-Ardh dalam al-Quran.

Al-Ardh merujuk kepada daratan, termasuk pulau, yang boleh dipijak dan didiami. Laut pula disebut al-bahr dan tidak termasuk dalam gambaran al-Ardh yang saya maksudkan.

Tetapi gambaran yang sudah kita simpan dalam fikiran ialah:

Tanah + air + awan = bumi = al-Ardh.

Mengapa perkara ini penting? Sebabnya, gambaran yang sudah tersimpan dalam fikiran boleh mempengaruhi cara kita berfikir, membaca al-Quran dan memahaminya. Terjemahan serta tafsiran peribadi kita juga boleh terbentuk mengikut acuan yang sudah sedia ada itu.

Sedangkan, dalam kerangka yang saya bawa, al-Ardh bukanlah gambaran seperti itu.


Peta Dunia Membentuk Cara Kita Berfikir

Perkara kedua ialah peta.

Kita sudah biasa melihat peta dunia yang meletakkan kawasan Timur di sebelah kanan dan benua Amerika di sebelah kiri. Asia dan Afrika kelihatan di bahagian tengah. Kutub Utara berada di atas dan Kutub Selatan di bawah.

Itulah gambaran yang kita lihat sejak dahulu. Apabila kita membayangkan bentuk dunia yang dibentangkan, peta seperti itulah yang biasanya muncul dalam fikiran.

Apakah kesannya? Banyak.

Timur dan Barat kelihatan sangat jauh kerana kedua-duanya diletakkan di hujung peta yang bertentangan. Kita juga mudah mendapat gambaran bahawa segala-galanya berpusat di bahagian tengah. Seolah-olah seluruh sejarah manusia berlaku di kawasan itu.

Tamadun paling tua yang biasanya muncul dalam gambaran umum ialah Mesir, kemudian Mesopotamia. Kedua-duanya berada di kawasan tengah peta yang biasa kita lihat.

Akhirnya, kisah sejarah para nabi pun mudah kita pusatkan ke kawasan itu. Kita membina gambaran yang Arab-centric, sedangkan orang Arab bukan kelompok manusia paling purba.

Yang ingin saya sampaikan ialah gambaran yang tersimpan dalam ingatan boleh mengubah cara manusia berfikir.


Di Manakah Jejak Para Nabi dalam Tamadun Purba?

Perkara ketiga adalah jejak para nabi.

Kita tahu terdapat tamadun purba di benua Amerika yang lebih tua atau setara dengan Mesir Purba. Tetapi mengapa kita tidak menemui jejak para nabi dalam gambaran sejarah yang biasa kita pelajari?

Siapakah nabi yang diutus kepada orang Olmec, Maya, Inca, Red Indian, Hawai‘i, Māori dan masyarakat lain?

Pernahkah kita fikirkan perkara ini? Adakah Allah tidak mengasihi mereka, lalu hanya mengasihi orang-orang di Jazirah Arab sahaja?

Ada sesiapa yang mempunyai teori tentang perkara ini?


Cara Kita Membayangkan Matahari Terbit dan Terbenam

Perkara seterusnya ialah matahari terbit dan terbenam.

Hadis sahih menyebut bahawa selepas matahari selesai satu pusingan, ia akan menghadap Rabb-nya di bawah Arasy dan bertanya sama ada ia perlu meneruskan perjalanannya atau berpatah balik. Dalam riwayat itu, matahari akan kembali lalu terbit dari tempat ia terbenam.

Namun, bagaimana kita memahami hadis ini apabila gambaran peta dalam fikiran kita meletakkan Timur di sebelah kanan dan Barat di sebelah kiri?

Biasanya kita membayangkan matahari terbit di Timur, bergerak merentasi langit, kemudian terbenam di Barat. Tetapi ada satu perkara yang jarang kita fikirkan: apakah yang berlaku antara matahari terbenam dengan matahari terbit semula?

Kita jarang memikirkannya mungkin kerana pada waktu itu kita sedang tidur. Kita juga jarang berfikir tentangnya kerana belum tentu kita bangun untuk bertahajud dan bertanya dalam hati, “Adakah aku bertanya kepada Rabb seperti mana matahari bertanya kepada Rabb?”

Maksud mudah saya, kita jarang memikirkan perkara itu kerana ia tidak muncul dalam gambaran yang biasa ada dalam fikiran kita.

Bagaimana Orientasi Peta Mengubah Gambaran Timur dan Barat?

Itulah serba sedikit yang ingin saya sampaikan sebelum masuk kepada perkara utama.

Lihat peta di sebelah kanan dalam infografik itu. Lautan Pasifik berada di bahagian tengah, benua Amerika di sebelah kanan dan benua Afrika di sebelah kiri.

Bayangkan peta seperti itu menjadi gambaran biasa dalam fikiran manusia selama 2,000 tahun. Apakah yang akan berubah? Seluruh tamadun manusia mungkin akan difikirkan dan digambarkan sebagai berpusat di Asia Pasifik. Asia Pasifik-centric pula.

Dalam orientasi itu, apabila kita memandang ke arah Amerika, arah tersebut menjadi Timur atau Mashriq. Apabila kita memandang ke arah Afrika, arah itu menjadi Barat atau Maghrib.

Orang Afrika berkulit hitam akan menjadi orang Barat. Orang Amerika berkulit putih pula akan menjadi orang Timur. Orang berkulit sawo matang menjadi pusat gambaran bumi.

Nampak bagaimana gambar dan peta boleh membentuk acuan pemikiran manusia?

Dua Orientasi Peta dan Dua Gambaran Sejarah

Inilah isu yang lebih penting dan inilah tujuan saya menghasilkan infografik tersebut.

Peta dunia di sebelah kiri ialah peta yang sedang kita gunakan sekarang. Sampai bila kita akan menggunakannya, saya tidak tahu. Allahu a‘lam. Dalam kerangka yang saya bentangkan, itulah gambaran dunia yang menjadi dominan selepas zaman Nabi Nuh, iaitu selepas banjir Nabi Nuh.

Peta di sebelah kanan pula menggambarkan dunia dari zaman Nabi Adam hingga zaman Nabi Nuh, termasuk zaman Nabi Nuh sebelum banjir.

Kita sukar membayangkan peta di sebelah kanan kerana gambaran itu tidak biasa bagi kita. Reka bentuk peta di sebelah kiri, pejam mata pun kita mungkin boleh tunjuk. Peta di sebelah kanan belum tentu.

Itulah antara kesukaran saya ketika menjelaskan banyak artikel di BAZ, khususnya artikel yang menggunakan pendekatan Anbiya’-centric.

Memang betul kita percaya kepada para nabi. Tetapi apabila mengkaji sejarah ketamadunan, adakah kita menggunakan pendekatan Anbiya’-centric?

Kita menggunakan pendekatan Anbiya’-centric apabila membincangkan soal agama sahaja. Tetapi acuan pemikiran kita sebenarnya masih meletakkan hampir semuanya di kawasan Arab. Sebab itu saya kata, dalam membincangkan agama, kita sebenarnya sering menggunakan pendekatan Arab-centric, bukan sepenuhnya Anbiya’-centric.

Jika kita mahu memahami al-Quran dengan lebih baik, kita perlu menggunakan kedua-dua gambaran peta, sama ada di sebelah kiri atau di sebelah kanan.

Kita juga perlu ingat bahawa pola pergerakan para nabi merentas al-Ardh. Sebab itu ada Masjidil Haram di Makkah dan ada Masjidil Aqsa di Timur. Sebab itu ada Makkah, dan sebab itu ada Bakkah.

Orientasi kita dalam memahami bumi memang penting ketika meneliti al-Quran. Jika kita menerangkan kedua-dua orientasi ini, lebih mudah untuk kita memahami kisah para nabi terdahulu dan mencari sejarah kaum-kaum yang disebut dalam al-Quran.

Untuk memudahkan pencarian, saya ada satu formula ringkas. Namun, formula ini tidak terpakai untuk semua keadaan. Perkataan Ashab atau Ashabul biasanya merujuk kepada bahagian sebelah kanan. Perkataan kaumi pula merujuk kepada sebelah kiri. Perkataan Bani boleh merujuk kepada kedua-duanya. Ini sekadar formula ringkas dan tidak terpakai untuk semua.

Apabila kita memahami peta di sebelah kiri, kita akan mula melihat mengapa orang Timur begitu kuat dalam pelayaran. Dalam kerangka yang saya bawa, hal ini berkait dengan era Nabi Idris, nabi yang membawa revolusi ilmu.

Selepas itu, tidaklah terlalu sukar untuk mula memahami perkara seperti Atlantis, Lemuria, Zealandia, Solomon dan yang seumpamanya. Orientasi sudah berubah, gambaran sudah berubah, acuannya sudah berubah dan cara berfikir pun akan turut berubah.

Itu sahaja yang ingin saya sampaikan buat masa ini. Saya harap korang dapat faham. Rasanya sudah cukup mudah untuk diikuti.

(22.06.2026)

 
Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.