Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis

PENDAPAT BAZ KEEMPAT: BAITUL MAQDIS DAN AL-MASJID AL-AQSA, WALAU SEBUTAN YANG SAMA, BELUM TENTU TEMPAT YANG SAMA

326 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
8 minit 8 saat

Pendapat BAZ Keempat: Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa, Walau Sebutan yang Sama, Belum Tentu Tempat yang Sama

Siri: Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi Tentang Baitul Maqdis


Pendahuluan

Pendapat keempat ini juga tidak boleh dibaca secara bersendirian. Ia mesti dibaca bersama-sama enam analisis sebelum ini serta tiga pendapat yang telah saya keluarkan sebelumnya.

Peristiwa Quraisy Bertanya Nabi tentang Baitul Maqdis

Seperti yang anda baca sendiri, enam analisis itu telah membedah riwayat, watak, susunan peristiwa, pertanyaan Quraisy, kedudukan Abu Jahal, lelaki musyrik, kafilah dagang, lafaz Baitul Maqdis, binaan, rupa serta gunung.

Sebahagian besarnya bukan perkara yang pernah anda baca di mana-mana sebelum ini, khususnya berkenaan gunung. Anda juga belum tentu pernah melihat perbahasan ini dihuraikan dengan begitu terperinci, bahkan dalam tafsir terdahulu sekalipun.

Sebabnya, Allah sedang menguji kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW berkenaan perkara ini. Ini ialah ujian khusus untuk kita sebagai umat akhir zaman.

Perkara ini memang direkodkan dalam al-Quran untuk menguji sama ada kita akan mengikuti Rasulullah atau berpaling daripadanya. Perkara ini akan saya jelaskan kemudian dalam siri yang lain.

Tiga pendapat yang telah saya keluarkan sebelum ini pula telah membina asas bahawa isu Baitul Maqdis dan al-Masjid al-Aqsa tidak boleh dibaca secara terpisah, berasingan, tergesa-gesa atau berdasarkan satu potongan riwayat sahaja.

Pendapat keempat ini bukanlah pendapat yang mahu bersaing dengan tiga pendapat saya sendiri sebelum ini. Ia juga bukan tulisan yang membatalkan apa yang telah dibina sebelumnya.

Sebaliknya, pendapat ini ialah sambungan kepada lapisan seterusnya.

Dalam peristiwa Quraisy bertanya Nabi SAW tentang Baitul Maqdis, semua pihak menggunakan sebutan yang sama, iaitu Baitul Maqdis. Namun, sebutan yang sama belum tentu membawa maksud tempat yang sama dalam minda setiap pihak.

Abu Jahal menyebut Baitul Maqdis.

Quraisy menyebut Baitul Maqdis.

Lelaki musyrik menyebut Baitul Maqdis.

Nabi SAW juga menyebut Baitul Maqdis.

Semua lafaznya sama sahaja, bukan? Semuanya Baitul Maqdis.

Namun, adakah gambaran dalam fikiran mereka juga sama? Anda pasti?

Inilah perkara yang mahu saya sampaikan. Saya percaya orang terdahulu belum dapat membahaskannya pada waktu itu kerana mereka belum menemukan Muqaddasi Ṭuwā yang sebenar.

Zaman kita sudah berbeza. Jadi, mari kita lihat pendapat BAZ yang keempat.


Satu Nama, tetapi Tidak Semestinya Satu Gambaran

Dalam kehidupan biasa pun, manusia boleh menyebut satu nama yang sama, tetapi membayangkan perkara yang berbeza.

Saya menyebut istilah “rumah lama”. Ada orang yang terus terbayang rumah pusaka keluarganya.

Orang lain mendengar sebutan yang sama, tetapi yang terbayang dalam fikirannya ialah sebuah rumah tinggal yang pernah dilihatnya di tempat lain. Ada pula yang membayangkan rumah berhantu.

Lafaznya satu sahaja, iaitu “rumah lama”, tetapi gambaran dalam kepala mereka tidak sama.

Begitu juga dalam peristiwa ini.

Israk dan Mikraj ialah ujian. Pertukaran kiblat juga ialah ujian untuk kita. Ujian bukan hanya untuk umat terdahulu, tetapi juga untuk kita.

Kita semua pada hari ini sedang didorong oleh Allah untuk terlibat dalam perkara ini dan kita juga sedang diuji. Bezanya, kita sedang membaca sedangkan orang lain belum tentu sampai kepada maklumat ini.

Dengan prinsip yang sama, Baitul Maqdis memang menjadi lafaz yang beredar dalam kalangan Quraisy. Namun, tidak semestinya semua orang yang menyebut Baitul Maqdis sedang menunjuk kepada lokasi yang sama dalam pengetahuan masing-masing.

Abu Jahal membawa satu gambaran.

Lelaki musyrik itu pula membawa gambaran yang lain.

Nabi SAW pula tidak bergantung kepada gambaran sesiapa pun kerana Allah sendiri memperlihatkan tempat itu kepada Baginda.

Maka, janganlah kita membaca peristiwa ini secara rata sahaja kerana gambaran setiap pihak adalah berlainan.

Kesilapan besar berlaku apabila semua pihak, dari dahulu sampai sekarang, menyebut istilah Baitul Maqdis lalu terus menganggapnya merujuk kepada tempat yang sama.

Tempat yang sama itu pula secara automatik diletakkan di Palestin, mengikut pandangan Yahudi dan mereka yang mengekori Yahudi.

Padahal, riwayat yang kita analisis menunjukkan bahawa cara setiap pihak berinteraksi dengan lafaz itu tidak sama. Ada tiga cara yang berbeza.

Abu Jahal bercakap tentang jarak.

Lelaki musyrik bertanya tentang ciri-ciri tempat.

Nabi SAW menjawab berdasarkan apa yang Allah perlihatkan kepada Baginda.

Tiga cara ini tidak berada pada lapisan yang sama. Kita akan melihatnya satu persatu.


Baitul Maqdis dalam Minda Abu Jahal dan Quraisy

Abu Jahal tidak masuk ke dalam peristiwa itu sebagai orang yang mahu mencari kebenaran. Dia masuk sebagai orang yang mahu memperolok-olokkan Nabi SAW walaupun Baginda ialah anak saudaranya.

Apabila Nabi SAW menyampaikan berita bahawa Baginda telah datang ke Baitul Maqdis pada waktu malam, Abu Jahal melihat berita itu sebagai peluang untuk menyerang Baginda.

Serangan Abu Jahal bukan serangan terhadap struktur binaan. Bukan juga terhadap rupa bentuk atau geografi di sekelilingnya.

Serangan Abu Jahal ialah serangan terhadap jarak.

Dia berkata bahawa seseorang daripada mereka memerlukan perjalanan selama sebulan untuk pergi dan sebulan lagi untuk pulang.

Maka, bagaimana mungkin Muhammad SAW pergi dan kembali dalam satu malam?

Itulah gambaran dalam kepalanya.

Ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis dalam kepala Abu Jahal ialah satu tempat yang jauh. Dia mengukur berita Nabi SAW dengan ukuran perjalanan manusia, tunggangan, laluan dagang serta tempoh masa.

Bagi BAZ, besar kemungkinan Baitul Maqdis yang berada dalam kepala Abu Jahal dan Quraisy ialah Rumah Suci Yahudi di Syam, Iliya atau Jerusalem.

Sebab itu mereka menyerang Nabi SAW melalui persoalan jarak. Itu sahaja yang mereka tahu.

Mereka tahu nama. Mereka tahu jaraknya. Mereka tahu tempat itu jauh menurut ukuran perjalanan biasa.

Namun, pengetahuan tentang jarak tidak semestinya menunjukkan pengetahuan sebenar tentang keadaan tempat itu.

Mereka tahu tempat itu jauh, tetapi belum tentu mereka pernah pergi ke sana. Mereka tahu tempat itu dikaitkan dengan Syam atau Jerusalem, tetapi belum tentu mereka mengetahui binaannya.

Mereka tahu tempoh perjalanan, tetapi belum tentu mereka mengetahui rupanya. Mereka tahu nama Baitul Maqdis dalam kerangka yang masyhur pada zaman itu, tetapi belum tentu mereka benar-benar mengenali ciri fizikal tempat tersebut.

Maka, Baitul Maqdis dalam kepala Abu Jahal ialah Baitul Maqdis sebagai satu lokasi jauh yang boleh digunakan untuk mengejek berita Israk.

Bagi Abu Jahal, isunya mudah sahaja.

Jika tempat itu jauh, maka perjalanan satu malam kelihatan mustahil.

Itulah logiknya. Itulah cara perangkapnya. Itulah skop serta bahan ejekannya.


Baitul Maqdis dalam Minda Lelaki Musyrik

Lelaki musyrik pula berbeza. Dia tidak menyerang Nabi SAW melalui persoalan jarak.

Dia tidak berkata bahawa tempat itu jauh. Dia juga tidak mengulangi ejekan Abu Jahal tentang perjalanan sebulan pergi dan sebulan pulang.

Sebaliknya, dia tampil dengan dakwaan pengetahuan.

أَنَا أَعْلَمُ النَّاسِ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ

Maksudnya:

“Aku ialah orang yang paling mengetahui tentang Baitul Maqdis.”

Kemudian, dia bertanya tentang binaan, rupa serta kedekatan tempat itu dengan gunung.

Di sinilah perbezaannya sangat besar.

Abu Jahal hanya bermain pada persoalan jarak. Lelaki musyrik pula masuk kepada persoalan ciri.

Abu Jahal menjadikan Baitul Maqdis sebagai bahan ejekan. Lelaki musyrik menjadikan Baitul Maqdis sebagai bahan semakan teknikal.

Dia bertanya tentang:

بِنَاؤُهُ

Binaannya.

هَيْئَتُهُ

Rupa atau bentuknya.

قُرْبُهُ مِنَ الْجَبَلِ

Kedudukannya yang dekat dengan gunung itu.

Soalan seperti ini bukan soalan orang yang hanya tahu nama tempat.

Ini ialah soalan orang yang mengetahui ciri-ciri tempat. Dia tahu bahawa tempat itu mempunyai binaan. Dia tahu bahawa tempat itu mempunyai rupa yang boleh diuji. Dia tahu bahawa tempat itu mempunyai hubungan yang rapat dengan sebuah gunung.

Maka, BAZ membaca bahawa Baitul Maqdis dalam kepala lelaki musyrik ini tidak semestinya Baitul Maqdis yang sama dalam kepala Abu Jahal.

Abu Jahal mungkin membayangkan Rumah Suci Yahudi di Syam atau Jerusalem.

Lelaki musyrik pula, berdasarkan bacaan BAZ, merujuk kepada satu tempat lain yang benar-benar dikuasainya ciri-cirinya.

Pendapat BAZ ialah lelaki musyrik itu merujuk kepada Baitul Maqdis di Lembah Bujang dan gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Jerai.

Pendapat ini mesti dibaca sebagai pendapat BAZ, bukan sebagai lafaz langsung dalam riwayat.

Riwayat tidak menyebut Lembah Bujang. Riwayat juga tidak menyebut Gunung Jerai.

Namun, riwayat menyebut ciri-ciri yang sangat penting, iaitu binaan, rupa serta kedekatan dengan gunung.

Bagi BAZ, ciri-ciri ini merupakan antara perkara yang membuka pintu kepada Lembah Bujang dan Gunung Jerai.

Lelaki musyrik itu tidak menguji Nabi SAW melalui persoalan jarak. Dia menguji Baginda melalui tanda-tanda tempat.

Di sinilah BAZ melihat bahawa lelaki musyrik itu sedang membawa gambaran Baitul Maqdis yang berbeza daripada Baitul Maqdis dalam sangkaan Abu Jahal.

Gunung itu ialah kuncinya.


Baitul Maqdis yang Nabi SAW Sebut

Nabi SAW juga menyebut Baitul Maqdis. Namun, kedudukan Nabi SAW tidak sama dengan Abu Jahal dan tidak sama dengan lelaki musyrik.

Abu Jahal menyebut berdasarkan sangkaan tentang jarak.

Lelaki musyrik menyebut berdasarkan pengetahuan tentang ciri-ciri.

Nabi SAW menyebut berdasarkan tempat yang Allah perlihatkan kepada Baginda.

Inilah pemisahan yang paling penting.

Dalam riwayat, apabila Quraisy bertanya Nabi SAW tentang beberapa perkara daripada Baitul Maqdis yang tidak dapat Baginda tetapkan dalam ingatan, Baginda mengalami kesusahan yang sangat berat.

Lalu, Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepada Baginda.

Nabi SAW pun menjawab pertanyaan mereka ketika Baginda sedang melihatnya.

Maka, Nabi SAW tidak menjawab berdasarkan sangkaan Abu Jahal. Baginda juga tidak menjawab berdasarkan dakwaan lelaki musyrik.

Baginda menjawab berdasarkan apa yang Allah tunjukkan kepada Baginda.

Dalam riwayat itu, kita tahu bahawa Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepada Nabi SAW.

Namun, riwayat tersebut tidak menjelaskan secara lafaz bahawa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW ialah Baitul Maqdis Palestin atau Baitul Maqdis di Lembah Bujang.

Yang kita tahu ialah Nabi SAW menjawab ciri-ciri yang ditanya.

Yang kita tahu juga ialah pertanyaan itu melibatkan binaan, rupa serta gunung.

Yang kita tahu ialah jawapan Nabi SAW disahkan oleh lelaki musyrik yang mengaku paling mengetahui tentang Baitul Maqdis.

Jadi, cuba anda fikir sendiri:

Lokasi manakah yang paling valid dalam peristiwa ini?

Adakah lokasi yang berada dalam sangkaan Abu Jahal?

Adakah lokasi yang hanya diukur melalui jarak pergerakan kafilah?

Atau lokasi yang Nabi SAW pergi, lalu Allah perlihatkan semula kepada Baginda, mempunyai hubungan dengan gunung dan akhirnya disahkan oleh lelaki musyrik yang mengetahui ciri-cirinya?

Di sinilah pendapat keempat saya membuka pintu kepada pendapat kelima.

Lokasi manakah yang paling valid dalam peristiwa ini?

Bagi BAZ, lokasi paling valid bukan semata-mata lokasi yang berada dalam sangkaan Abu Jahal.

Lokasi paling valid ialah lokasi yang Nabi SAW pergi. Kemudian, Allah memperlihatkan semula tempat itu kepada Baginda. Tempat itu mempunyai hubungan dengan gunung dan jawapan Nabi SAW akhirnya disahkan oleh lelaki musyrik yang mengetahui ciri-ciri tempat tersebut.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.