Pertukaran Kiblat

BAHAGIAN 4: KIBLAT NASRANI, ARAH TIMUR DAN RAHSIA "SON OF MAN"

258 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
12 minit 42 saat

Bahagian 4: Kiblat Nasrani, Arah Timur dan Rahsia "Son of Man"

Siri: Pertukaran Kiblat


Pendahuluan

Dalam bahagian sebelum ini, kita sudah melihat bahawa kiblat Yahudi dalam tafsir dikaitkan dengan Bayt al-Maqdis di Jerusalem. Maka apabila kiblat Nabi Muhammad S.A.W. dan umat Islam dipindahkan kepada al-Masjid al-Haram, bantahan Yahudi menjadi sangat kuat terhadap pertukaran kiblat itu.

Namun ada satu persoalan yang sangat jarang kita tanyakan, bahkan sangat kurang ditemukan dalam penulisan umat Islam, iaitu kiblat Nasrani. Jika isu ini melibatkan Ahli Kitab, mengapa bantahan paling jelas datang daripada Yahudi sahaja? Di mana pula kedudukan Nasrani? Adakah Nasrani juga berkiblat kepada Jerusalem seperti Yahudi? Jika ya, mengapa mereka tidak turut serta dalam membantah.

Sebab itulah bahagian ini ditulis untuk melihat isu kiblat dari sisi Nasrani pula. Nasrani awal tidak mengikut Yahudi dalam hal kiblat. Mereka mempunyai orientasi mereka sendiri. Mereka tidak menumpang tradisi Yahudi dan mereka tidak mengambil arah Jerusalem. Dalam tradisi awal mereka, arah ibadah dikaitkan dengan mashriq, iaitu timur.

Apa yang saya beritahu anda ini bukan perkara kecil. Sebahagian besar kita mungkin menyangka Yahudi dan Nasrani awal berkongsi orientasi Jerusalem yang sama. Namun isu yang sedang kita bincangkan bukan sekadar “tanah suci”, tetapi arah ibadah. Di sinilah perbezaannya. Yahudi dikaitkan dengan Bayt al-Maqdis, manakala Nasrani awal dalam tafsir dan rekod Kristian awal dikaitkan dengan arah timur.

Nasrani awal menghadap timur bukan kerana mereka tidak tahu tentang Jerusalem, tetapi kerana dalam kepercayaan mereka, timur membawa makna yang sangat mendalam berkenaan cahaya, Eden, kelahiran al-Masih dan kedatangan semula Son of Man.

Secara ringkasnya arah cahaya adalah timur iaitu tempat matahari terbit. Dalam Kristian, cahaya dikaitkan dengan harapan dan kebangkitan. Arah Eden pula dalam Bible adalah merujuk kepada taman Eden yang dikaitkan dengan sebelah timur. Maka timur menjadi simbol kembali kepada asal manusia. Orang Islam sebut taman Eden sebagai Jannatul Adni.

Seterusnya adalah arah altar. Dalam gereja, altar ialah tempat utama ibadah dan ia menghadap arah timur. Lama-kelamaan, walaupun bangunan gereja tidak betul-betul menghadap timur, bahagian altar dianggap sebagai “timur liturgi”. “Liturgi” maksudnya aturan ibadah rasmi dalam gereja.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah Ahli Kitab bukanlah satu kelompok yang berkongsi kiblat yang sama. Yahudi mempunyai orientasi mereka sendiri. Nasrani awal juga mempunyai orientasi mereka sendiri. Maka apabila kita membaca kisah pertukaran kiblat, kita tidak boleh menyempitkannya seolah-olah semua pihak ketika itu hanya berlegar pada Jerusalem sebagai kiblat yang sama.


Al-Quran Menunjukkan Ahli Kitab Tidak Satu Kiblat

Ayat utama yang membuka perbincangan ini ialah Surah al-Baqarah 2:145:

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ ۚ وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ

Maksudnya:

“Dan sekalipun engkau membawa kepada orang-orang yang diberikan al-Kitab segala ayat, mereka tidak akan mengikuti kiblatmu. Engkau juga tidak akan mengikuti kiblat mereka, dan sebahagian mereka tidak mengikuti kiblat sebahagian yang lain.”

Perhatikan frasa terakhir:

وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ

“Sebahagian mereka tidak mengikuti kiblat sebahagian yang lain.”

Ayat ini tidak menamakan secara langsung arah Yahudi sebagai Bayt al-Maqdis dan arah Nasrani sebagai timur. Tetapi ayat ini memberi isyarat bahawa Ahli Kitab bukan satu blok kiblat yang sama. Ada perbezaan arah antara mereka.

Maka kita juga tidak boleh hendak berkata bahawa, “Al-Quran menyebut Nasrani menghadap timur” secara langsung. Yang lebih tepat ialah Al-Quran menunjukkan bahawa kiblat kelompok Ahli Kitab berbeza. Mufassirin yang menjelaskan bahawa Yahudi menghadap Bayt al-Maqdis dan Nasrani menghadap timur.


Tafsir Kiblat Yahudi Ke Bayt al-Maqdis, Nasrani Ke Mashriq

Di sini kita masuk kepada sumber tafsir pula. Al-Tabari, ketika mentafsirkan al-Baqarah 2:145, menyebut bahawa Yahudi menghadap Bayt al-Maqdis dalam solat mereka, manakala Nasrani menghadap al-mashriq, iaitu timur. Beliau menjadikan perkara ini sebagai penjelasan mengapa Nabi S.A.W. tidak mungkin mengikuti “kiblat mereka”, kerana kiblat Yahudi dan Nasrani sendiri berbeza.

Al-Baghawi juga menyebut hal yang sama iaitu “Yahudi menghadap Bayt al-Maqdis, iaitu arah barat; Nasrani menghadap timur; dan kiblat kaum Muslimin ialah Kaabah.” Catatan: “barat” di sini adalah mengikut sudut geografi tempat perbincangan dalam tafsir, bukan bermaksud Bayt al-Maqdis sentiasa berada di barat bagi semua manusia.

Ibn Kathir pula merekodkan riwayat Zayd ibn Aslam bahawa umat terdahulu, “Mereka berselisih tentang kiblat; maka Nasrani menghadap timur, dan Yahudi menghadap Bayt al-Maqdis, lalu Allah memberi petunjuk kepada umat Muhammad dalam urusan kiblat.”

Semua maklumat di atas itu penting kerana kita tidak boleh mendakwa secara mudah bahawa pada waktu itu semua pihak, iaitu Yahudi, Nasrani dan umat Islam, hanya berlegar pada satu kiblat yang sama di Jerusalem. Tafsir muktabar sendiri menyebut perbezaan kiblat antara Yahudi dan Nasrani.

Maka kita orang yang terkemudian ini tidak boleh termakan seratus peratus naratif Yahudi sepertimana yang dibincangkan dalam Bahagian 3: Kiblat Yahudi, Bayt al-Maqdis dan Naratif Jerusalem. Jika berlaku juga, maka masalahnya bukan pada ulama terdahulu, tetapi pada bacaan kita yang terlalu mengambil mudah akan penulisan ulama terdahulu. Saya di BAZ hanya menarik semula maklumat yang sudah lama ada dalam tafsir, tetapi sering terlepas dalam perbincangan biasa umat Islam.

Maklumat itu tidak berhenti setakat itu sahaja bahkan ada sejarah lain juga. Riwayat sirah pula menunjukkan contoh amali Nasrani Najran menghadap timur ketika berdoa di masjid orang Islam.


Nasrani Najran Benar-benar Menghadap Timur

Riwayat tentang rombongan Nasrani Najran sangat menarik. Riwayat ini tidak ditemukan sebagai hadis sahih marfu‘. Ia datang melalui jalur sirah, antaranya daripada Ibn Ishaq dan al-Bayhaqi dalam Dalā’il al-Nubuwwah. Walaupun sanadnya diperbincangkan, matannya selari dengan maklumat tafsir dan rekod Kristian awal bahawa Nasrani berorientasikan timur dalam ibadah mereka.

Kisahnya adalah mereka datang menemui Rasulullah S.A.W. di Madinah. Apabila tiba waktu ibadah mereka, mereka berdiri untuk beribadah di dalam masjid Nabi yang berorientasikan Masjidil Haram. Sebahagian sahabat ingin menghalang mereka, tetapi Nabi S.A.W. membiarkan mereka. Riwayat itu menyebut:

فَاسْتَقْبَلُوا الْمَشْرِقَ فَصَلَّوْا صَلَاتَهُمْ

“Mereka menghadap timur lalu melaksanakan ibadah mereka.”

Jadi, apa yang ada dalam kitab tafsir itu bukan sekadar teori. Itulah gambaran amalan Nasrani yang masih dikenali pada zaman Nabi S.A.W.

Ya, dari sudut sanad, riwayat ini tidak boleh dinaikkan menjadi hadis marfu‘ sahih yang muktamad untuk menetapkan hukum umum. Penilaian terhadapnya menyebut bahawa para perawinya dipercayai tetapi sanadnya terputus.

Namun dari sudut sejarah, riwayat ini sangat penting kerana ia selari dengan tafsir Islam dan selari pula dengan rekod Kristian awal sendiri.


Rekod Kristian Awal Bahawa Mereka Memang Berdoa Menghadap Timur

Tertullian ialah penulis dan ahli teologi Kristian awal dari Carthage, Afrika Utara. Beliau hidup sekitar 155/160M dan meninggal selepas 220M, iaitu beberapa abad sebelum kemunculan Islam. Dalam sejarah Kristian Barat, beliau dianggap penting kerana antara tokoh awal yang membentuk bahasa teologi Kristian Latin. Menariknya, Tertullian pernah menyebut bahawa orang luar menyangka orang Kristian menyembah matahari kerana mereka memang dikenali sebagai kelompok yang berpaling ke arah timur ketika berdoa. Dalam teks Apology, beliau menyebut bahawa tuduhan itu timbul kerana orang Kristian known to turn to the east in prayer, iaitu “diketahui berpaling ke timur ketika berdoa.”

Origen ialah ahli teologi dan sarjana Bible Kristian awal dari Alexandria, Mesir. Beliau hidup sekitar 185M hingga 254M, iaitu beberapa abad sebelum kemunculan Islam. Dalam sejarah gereja Yunani awal, Origen dianggap antara tokoh paling penting dalam bidang tafsiran Bible dan teologi Kristian. Menariknya, Origen membincangkan arah doa secara jelas. Dalam teks On Prayer, beliau menyebut bahawa daripada empat arah utama, timur clearly indicates the duty of praying with the face turned towards it, iaitu “dengan jelas menunjukkan kewajipan berdoa dengan wajah menghadap ke arahnya.” Bagi Origen, arah timur melambangkan jiwa yang memandang kepada terbitnya cahaya yang benar.

Basil dari Caesarea, atau Basil the Great, ialah tokoh gereja Kristian abad keempat. Beliau lahir sekitar 329M dan meninggal pada 379M, juga beberapa abad sebelum kemunculan Islam. Beliau merupakan Bishop of Caesarea dan termasuk antara tokoh besar Kristian Timur. Menariknya, Basil juga mengakui bahawa orang Kristian menghadap timur ketika berdoa. Dalam teks On the Holy Spirit, beliau bertanya, “What writing has taught us to turn to the East at the prayer?”, iaitu “tulisan manakah yang mengajar kita berpaling ke timur ketika berdoa?” Soalan ini penting kerana Basil sendiri meletakkan amalan menghadap timur sebagai tradisi gereja yang diwarisi, bukan perintah Bible yang tertulis secara jelas.

The Apostolic Constitutions bukan Bible, tetapi sebuah kumpulan aturan gereja Kristian awal. Menurut Britannica, teks ini kini dianggap ditulis di Syria sekitar tahun 380M, walaupun namanya seolah-olah dinisbahkan kepada para rasul. Ia penting kerana menunjukkan bentuk amalan dan aturan ibadah gereja awal. Dalam Book VII, teks ini menyebut, But let him pray towards the east, iaitu “tetapi hendaklah dia berdoa menghadap timur.” Ini menunjukkan bahawa amalan berdoa ke arah timur memang dikenali dalam tradisi gereja awal.

Maka, berdasarkan rekod Kristian awal ini, sangat jelas bahawa orientasi timur bukan andaian luar terhadap Nasrani oleh mufassirin atau BAZ. Ia memang wujud dalam tradisi ibadah Kristian awal dan dikenali oleh tokoh-tokoh mereka sendiri.


Timur, “Son of Man” dan Penantian Akhir Zaman

Mengapa timur menjadi penting dalam tradisi Nasrani awal? Dalam Matius 24:27, kedatangan “Anak Manusia” atau Son of Man digambarkan seperti kilat yang memancar dari timur hingga ke barat. Dalam Islam, kita tidak menggunakan istilah “Son of Man” sebagai akidah kita. Kita mengenali baginda sebagai Nabi Isa ibn Maryam A.S., al-Masih dan hamba Allah. Namun dalam teks Bible, istilah ini digunakan dalam perbincangan tentang kedatangan semula Jesus menurut kepercayaan Kristian.

Ayat ini bukan arahan literal supaya semua orang Kristian wajib berdoa menghadap timur. Tetapi dalam tradisi Kristian awal, ayat ini menjadi salah satu asas simbolik mengapa timur dilihat sebagai arah penantian kedatangan semula al-Masih.

John of Damascus, tokoh Kristian abad kelapan, turut mengaitkan ibadah menghadap timur dengan kedatangan Son of Man sebagaimana disebut dalam Matius 24:27. Dalam karyanya An Exposition of the Orthodox Faith, beliau menjelaskan bahawa orang Kristian menghadap timur kerana mereka menanti kedatangan semula Christ dari arah itu menurut bacaan teologi mereka.

Maka arah timur dalam Nasrani awal bukan sekadar arah biasa. Ia juga menjadi arah harapan, arah cahaya, arah kebangkitan dan arah penantian. Di sinilah kita mula melihat perbezaan besar antara Yahudi dan Nasrani awal. Yahudi mengikat identiti mereka kepada Jerusalem, manakala Nasrani awal mengangkat timur sebagai arah simbolik kedatangan al-Masih.


Adakah Kisah Maryam Membawa Petunjuk Timur Yang Lebih Jauh?

Di sinilah kita perlu membuka satu persoalan yang sangat penting dan tidak boleh dibiarkan tertutup begitu sahaja. Al-Quran menyebut tentang Maryam:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا

Wa udhkur fi al-kitabi Maryama idh intabadhat min ahliha makanan sharqiyya

“Dan sebutkanlah Maryam di dalam al-Kitab ketika dia mengasingkan diri daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah mashriq (timur).”

Surah Maryam 19:16

Kemudian Allah menyebut:

فَحَمَلَتْهُ فَانْتَبَذَتْ بِهِ مَكَانًا قَصِيًّا

Fa hamalat-hu fa intabadhat bihi makanan qasiyya

“Maka dia mengandungkannya, lalu dia mengasingkan diri dengannya ke suatu tempat yang jauh.”

Surah Maryam 19:22

Di sini ada dua lafaz yang sangat perlu diperhatikan:

مَكَانًا شَرْقِيًّا

makānan sharqiyyan

“tempat di sebelah timur”

مَكَانًا قَصِيًّا

makānan qaṣiyyan

“tempat yang jauh”

Mufassirin biasanya menghuraikan tempat timur itu sebagai kawasan di sebelah timur rumahnya atau timur Bayt al-Maqdis sahaja. Itu bacaan tafsir yang sedia ada waktu itu dan kita tidak menolaknya. Namun persoalan ini tetap kita tertanya-tanya:

Adakah “tempat timur” dan “tempat jauh” ini hanya merujuk kepada ruang kecil di sekitar Jerusalem? Atau adakah ia membawa petunjuk perjalanan jauh yang lebih besar?

Adakah Maryam benar-benar menjauh, membawa kandungan Nabi Isa A.S. ke satu tempat timur yang lebih jauh daripada sangkaan biasa?

Kita tidak perlu fikir dalam mendalam dalam penulisan ini kerana fokus kita adalah kiblat. Tetapi kita juga tidak boleh menutupnya sebelum ia diteliti betul-betul. Apatah lagi al-Tabari sendiri meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Nasrani mengambil timur sebagai kiblat kerana Maryam mengasingkan diri ke tempat timur, lalu mereka mengambil tempat kelahiran Isa sebagai kiblat.

Al-Razi juga merekodkan makna yang sama: Nasrani mengambil mashriq sebagai kiblat kerana ayat makanan sharqiyya, lalu mereka mengambil tempat kelahiran Isa sebagai kiblat.


Dari Nasrani Timur Kepada Kristian Jerusalem

Ini perlu dinyatakan sebagai spekulasi sejarah, bukan kesimpulan muktamad. Ada kemungkinan bahawa Nasrani awal masih membawa sisa orientasi timur yang genuine. Mereka tidak mengikut Yahudi. Mereka tidak menjadikan Jerusalem sebagai pusat kiblat dalam bentuk yang sama seperti Yahudi. Mereka mempunyai arah mereka sendiri.

Namun apabila agama Nasrani berkembang menjadi institusi Kristian yang besar, terutama selepas berlakunya pembinaan gereja, kanun, kuasa empayar dan teologi rasmi, orientasi timur itu semakin berubah sifatnya. Timur tidak lagi dibaca sebagai petunjuk pencarian. Ia menjadi simbol gereja.

Pada masa yang sama, naratif Jerusalem semakin menguat. Tempat-tempat suci Kristian dibina, dilawati dan dipusatkan di sekitar Palestin. Maka Kristian kemudian, dalam banyak bentuknya, tidak lagi hidup dengan kesedaran “menghadap timur” seperti Nasrani awal sebaliknya berada dalam kerangka Yahudi naratif Jerusalem kerana timur jauh belum dibuat eksplorasi.

Namun kita juga perlu adil bahawa sebahagian gereja Timur masih mengekalkan amalan ad orientem. Tetapi bagi ramai Kristian moden, arah timur bukan lagi kesedaran utama ibadah mereka. Istilah ad orientem berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “menghadap ke timur”. Dalam tradisi gereja, ia merujuk kepada amalan beribadah dengan orientasi ke timur atau ke arah altar yang dianggap mewakili timur.

Nasrani awal mungkin masih menyimpan orientasi timur yang genuine. Tetapi Kristian kemudian semakin ditarik kembali ke dalam naratif Jerusalem, sama ada melalui teologi, liturgi, ziarah, politik gereja atau pengaruh naratif Yahudi-Kristian.


Mengapa Ini Penting Dalam Siri Pertukaran Kiblat?

Pertukaran kiblat bukan sekadar kisah umat Islam berpindah arah. Ia membongkar tiga orientasi besar:

  • Yahudi dengan Bayt al-Maqdis.
  • Nasrani dengan timur.
  • Islam dengan al-Masjid al-Haram.

Al-Quran 2:145 memberi isyarat bahawa sebahagian Ahli Kitab tidak mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Mufassirin kemudian menjelaskan perbezaan itu bahawa kiblat Yahudi ke Bayt al-Maqdis manakala kiblat Nasrani ke mashriq.

Maka apabila Allah memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W. menghadap al-Masjid al-Haram, umat Islam tidak lagi berada di bawah orientasi Yahudi dan tidak juga masuk ke dalam orientasi Nasrani. Islam berdiri dengan kiblatnya sendiri.


Penutup

Akhirnya, kita sampai kepada satu titik yang sangat menarik. Dalam tradisi Nasrani awal, timur bukan sekadar arah matahari terbit. Timur menjadi arah mereka menunggu harapan, penantian dan arah yang dikaitkan dengan kedatangan semula al-Masih menurut kefahaman mereka.

Dalam Islam pula, timur dan barat bukan milik mana-mana kelompok manusia. Bahkan dalam sebahagian riwayat akhir zaman, muncul juga tema “timur”, walaupun riwayat-riwayat seperti panji hitam perlu dibaca dengan disiplin ilmu hadis dan tidak boleh dijadikan dakwaan sembarangan.

Allah sendiri menegaskan bahawa “Milik Allah timur dan barat.” Maka isu kiblat tidak boleh dibaca sekadar sebagai perpindahan arah solat semata-mata. Ia adalah ujian besar yang memisahkan manusia berdasarkan ketaatan mereka kepada perintah Allah dan Rasul.

Allah berfirman:

وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

Wa ma ja‘alna al-qiblata allati kunta ‘alayha illa lina‘lama man yattabi‘u al-rasula mimman yanqalibu ‘ala ‘aqibayh.

“Dan Kami tidak menjadikan kiblat yang dahulu engkau berada di atasnya melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling ke belakang atas dua tumitnya.”

Surah al-Baqarah 2:143.

Pertukaran kiblat bukan sekadar perubahan geografi. Ia adalah ujian untuk melihat siapa yang benar-benar mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling apabila arah yang biasa mereka pegang digoncang.

Yahudi diuji dengan orientasi Bayt al-Maqdis mereka. Nasrani mempunyai orientasi timur mereka. Umat Islam pula diuji untuk tunduk kepada kiblat yang Allah perintahkan melalui Rasul-Nya.

Maka Bahagian 4 ini bukan sekadar membincangkan kiblat Nasrani. Ia mengingatkan kita bahawa arah tidak pernah berdiri sendiri. Arah menjadi benar hanya apabila ia datang daripada petunjuk Allah. Kiblat yang benar bukan ditentukan oleh warisan kelompok, naratif sejarah atau kebiasaan manusia, tetapi oleh perintah Allah dan ketaatan kepada Rasul. Siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang berpaling. 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.