Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

BAHAGIAN 9 : MENJEJAK TANAH YANG KAMI BERKATI

1,127 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
8 minit 39 saat

Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

Bahagian 9 : Menjejak Tanah Yang Kami Berkati


Kita sedang memasuki fasa di mana skop pencarian tanah yang diberkati (barokna) perlu dikecilkan ke dalam julat kawasan Masyarikal Ardh. Kajian ini bersandar kepada tunjang peristiwa ketika Bani Israel dikurniakan tanah di kawasan terbitnya matahari selepas mereka dibebaskan daripada penjajahan Firaun di Mesir.

Bahagian 9 bukan permulaan, tetapi fasa lanjutan dalam siri ini. Bagi memudahkan anda faham, ia mesti dibaca bersama Bahagian 7 dan Bahagian 8. Tanpa membacanya, pembaca akan mudah terputus sambungan kerana tidak melihat keseluruhan rangka ayat al Quran yang memandu kita langkah-demilangkah menuju lokasi tanah yang diberkati.

Bahagian ini walaupun sekadar bacaan, hakikatnya bebannya berada pada akal. Kita perlu menimbang dengan teliti, menilai secara berulang-ulang dan bersedia membuat keputusan. Pada akhirnya kita harus memilih sama ada mahu mengekalkan pegangan lama yang turun-temurun atau beralih kepada pegangan baharu yang dicadangkan melalui penelitian ayat-ayat al Quran dalam penulisan ini.

Bahagian ini bukan sekadar maklumat. Ia adalah ujian kepada kesediaan kita untuk menerima bahawa al Quran masih membuka pintu penemuan yang besar dan luas serta jauh dan mendalam.


Ulangkaji

Sebagai ulangkaji, perbicangan kita adalah berdasarkan kepada perintah Allah kepada Bani Israel melalui Nabi Musa dalam ayat di bawah ini:

وَأَوْرَثْنَا ٱلْقَوْمَ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُوا۟ ۖ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُۥ وَمَا كَانُوا۟ يَعْرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)

QS Al Araf 7:137

Dalam bahagian yang lepas kita telah selesai perbincangan berkenaan Mashāriqa al-ardhi wa maghāribahā (مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا) dan kita telah menentukan lokasi Masyarikal Ardh dengan 14 ciri daripada kupasan Al Quran dan ia ditunjukkan dengan gambar berikut:



Dalam ayat QS Al Araf 7:137, frasa mashāriqa al-ardhi wa maghāribahā (مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا) tidak boleh difahami secara bersendirian. Ia telah dikunci bersama dengan frasa allatī bāraknā fīhā (ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا). Maksudnya adalah, jika kita mencari lokasi mashāriqa al-ardh maka kita mesti mencari bersama sifatnya yang Allah telah kuncikan iaitu allatī bāraknā fīhā.

Memandangkan mashāriqa al-ardh sudah kita jumpa, maka dalam penulisan ini sudah tentu kita ingin tahu apa maksudnya bagi allatī bāraknā fīhā supaya kita dapat mencari lokasinya dengan lebih tepat.     


Sokongan Kajian

Penulisan ini adalah kajian eksklusif milik BAZ di laman web https://beritaakhirzaman.com. Klik di sini untuk menaja siri kajian eksklusif ini.

Jika belum daftar keahlian dalam sistem daftar sini. PERCUMA!. Kalau sudah, boleh masuk dengan cara login sini.


Kepentingan Mendalami Frasa Allatī Bāraknā Fīhā

Kita telah membentangkan dan menyelesaikan perbahasan tentang mashāriqa al-ardh dalam Bahagian 7 dan Bahagian 8. Dua bahagian tersebut membuktikan bahawa kawasan tempat-tempat terbit matahari itu bukan teori sembarangan sebaliknya satu lingkungan geografi yang sangat jelas dalam al Quran. Kita telah menentukan batasnya antara Garisan Sartan dan Garisan Jadi serta kawasan timur yang merentang dari Bengal hingga ke Jurang Mariana sebagaimana gambar di atas.

Setelah lingkungan mashāriqa al-ardh itu ditetapkan, kini kita bergerak kepada perkara yang lebih halus dan lebih penting iaitu frasa اللَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا. Ramai cuba memahami Masyarikal Ardh tanpa meneliti frasa ini terlebih dahulu lalu mereka tersasar kepada tafsiran arah dan bukan tafsiran tanah. Ayat ayat Allah tidak memberi ruang kepada sangkaan seperti itu. Untuk mengetahui tanah yang diberkati, kita mesti memahami apakah benda sebenar yang dirujuk oleh perkataan اللَّتِي yang bermaksud “yang” dan perkataan فِيهَا yang bermaksud “di dalamnya”.

Fokus kita sekarang ialah memahami frasa ini sebelum menyambung semula perbincangan dengan mashāriqa al-ardh. Hal ini wajib kerana frasa inilah yang menentukan apakah benda yang Allah maksudkan sebagai “yang diberkati”. Jika perkara asas ini tidak diselesaikan terlebih dahulu maka kita tidak akan tahu apa yang sebenarnya menerima keberkatan itu. Kedua-dua perkataan اللَّتِي dan فِيهَا tidak boleh berdiri tanpa rujukan yang tepat. Jika rujukannya salah atau kabur maka keseluruhan ayat turut menjadi kabur dan pencarian lokasi tanah yang diberkati tidak akan menemui jawapan yang benar berdasarkan al Quran.


Asas Fahaman Frasa اللَّتِي dan فِيهَا

Dalam QS Al Araf 7:137, Allah menggunakan dua perkataan penting iaitu اللَّتِي dan فِيهَا. Kedua-duanya nampak kecil sahaja tetapi kesannya sangat besar dalam menentukan apa sebenarnya yang Allah maksudkan sebagai tanah yang diberkati.

Perkataan اللَّتِي bermaksud “yang” tetapi dalam struktur ayat Arab, “yang” ini bukan perkataan bebas. Ia mesti merujuk kepada satu benda tertentu yang telah disebut sebelum itu. Perkataan فِيهَا pula bermaksud “di dalamnya” dan perkataan “nya” ini juga hanya boleh kembali kepada satu benda yang sama dengan apa yang dirujuk oleh “yang” tadi.

Jadi hal ini bermaksud kedua-dua perkataan ini bergerak serentak dan menunjuk kepada satu objek yang sama, bukan berdua, bukan arah, bukan kumpulan dan juga bukan kawasan luas yang bersifat jamak. Dalam ayat ini, satu-satunya objek yang wujud sebelum frasa itu ialah bumi atau tanah atau ٱلْأَرْضِ, bukannya timur dan bukannya barat.


Mengapa Timur dan Barat Tidak Layak Menjadi Rujukan?

Ramai orang membaca ayat ini secara tergesa-gesa dan menyangka bahawa frasa “yang Kami berkati di dalamnya” menunjuk kepada “timur bumi” atau “barat bumi”. Ini berlaku kerana mereka memadankan frasa itu dengan terjemahan Melayu secara langsung lalu menganggap “yang” itu merujuk kepada arah timur atau barat. Namun, dalam bahasa Arab yang saya fahami sepanjang mentadabbur Al Quran, perkara itu tidak dibenarkan sama sekali. 

Perkataan “timur” dalam ayat ini datang dalam bentuk jamak iaitu mashāriq, yang bermaksud “tempat-tempat terbit”, bukan satu timur tunggal. Begitu juga “barat” disebut sebagai maghārib, iaitu “tempat-tempat terbenam”, juga bukan satu barat tunggal. Jadi, kedua-duanya merupakan kumpulan arah yang luas dan bukan objek yang mempunyai bentuk fizikal.

Arah tidak boleh memiliki “dalam” dan juga tidak boleh dijadikan rujukan bagi perkataan “nya”. Ia juga tidak boleh menjadi pasangan kepada “yang” dalam bentuk struktur ayat ini. Oleh itu timur dan barat langsung tidak layak menjadi rujukan kepada اللَّتِي dan فِيهَا kerana kedua-duanya bukan satu benda, bukan satu unit dan juga bukan satu tanah.


Mengapa اللَّتِي dan فِيهَا Wajib Kembali Kepada Tanah?

Apabila kita membaca frasa اللَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا, kita sedang membaca satu kenyataan yang sangat tersusun. Allah berkata “yang Kami berkati di dalamnya”. Perkataan “yang” dan “di dalamnya” ini hanya masuk akal jika ia kembali kepada sesuatu yang memang boleh berada “di dalam” dan boleh membawa makna sebagai satu unit, bukan arah yang bersifat virtual.

Tanah boleh memiliki “dalam”, tanah boleh menjadi satu benda dan tanah juga disebut sebelum frasa ini. Maka secara logik, perkataan “yang” itu hanya boleh kembali kepada tanah yang telah disebut sebelum itu dan “di dalamnya” juga mesti kembali kepada "di dalam" tanah yang sama. Inilah yang menjadikan tanah tersebut sebagai tanah yang diberkati. Arah timur dan arah barat yang bersifat jamak tidak boleh menampung makna ini kerana ia bukan benda. Ia juga bukan kawasan tunggal dan tidak mempunyai “dalam” untuk menjadi rujukan.

Maka satu-satunya pilihan yang betul secara bahasa ialah أَرْض iaitu bumi atau tanah. Ke depan nanti fokus kita adalah tanah.


Impak Besar Kesilapan Jika اللَّتِي Diletakkan Pada Timur

Saya telah meneliti banyak pandangan bertahun-tahun lamanya sebelum menzahirkan pandangan ini. Saya melihat di sinilah ramai orang terkandas. Ada yang sengaja menolak hukum bahasa Arab untuk memaksa اللَّتِي kembali kepada timur, supaya mereka boleh menempatkan India sebagai “barat Nusantara”, lalu menukar seluruh arah geografi yang ditunjukkan al Quran. Ini bukan sekadar kesilapan kecil tetapi satu pemalsuan makna ayat.

Jika kita memaksa “yang” itu kembali kepada timur, kita sebenarnya memaksa perkataan itu merujuk kepada sesuatu yang bahasa Arab tidak pernah izinkan. Ini bukan isu tafsiran al Quran sebaliknya ini isu struktur bahasa yang memang tidak boleh diubah. Menukar rujukan “yang” bermaksud menukar struktur ayat dan memalsukan maksud sebenar.

Oleh itu, bukanlah timur itu tidak memiliki kedudukan dalam ayat ini. Timur tetap lingkungan besar yang Allah sebut sebagai mashāriqa al-ardh. Namun apa yang penting ialah frasa اللَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا tidak merujuk kepada arah timur itu sendiri. Ia merujuk kepada satu tanah khusus yang berada di dalam lingkungan timur tersebut iaitu di dalam mashāriqa al-ardh yang telah kita kunci. Maka salah besar jika seseorang menyangka bahawa “tanah yang diberkati” itu ialah arah timur. Bahasa Arab ayat itu tidak pernah memberi maksud begitu.


Kesimpulan

Kesimpulannya sangat jelas dan Allah tidak memberi ruang kepada sebarang manipulasi dalam ayat ini. Kita telah lihat dalam perbincangan ayat 7:137 di atas, bahawa Allah menggunakan dua perkataan yang saling mengikat iaitu اللَّتِي dan فِيهَا. Kedua-duanya mesti merujuk kepada satu benda tertentu dan benda itu mesti adalah tanah yang disebut sebelumnya sebagai الأَرْض

Timur dan barat tidak boleh menjadi rujukan kerana ia bukan satu benda, ia adalah bentuk jamak, tidak mempunyai “dalam” dan sama sekali tidak memenuhi syarat struktur ayat ini. Oleh itu frasa “yang Kami berkati di dalamnya” bukan merujuk kepada arah timur atau barat tetapi merujuk kepada satu tanah tertentu dalam lingkungan Masyarikal Ardh. Inilah asas yang mesti difahami sebelum kita boleh mengenal pasti tanah berkat tersebut dalam peta sebenar dunia.

Kita telah menetapkan bahawa frasa اللَّتِي فِيهَا merujuk kepada satu tanah tertentu dan bukan arah timur atau barat. Kini tibalah masanya untuk kita meneliti pula perkataan بَارَكْنَا (barokna) dengan lebih mendalam. Pada peringkat ini kita bukan lagi menentukan lingkungan geografi besar kerana Masyarikal Ardh telah pun dikunci melalui empat sempadan yang telah dihuraikan dalam Bahagian 7 dan Bahagian 8.

Apa yang bakal kita lakukan sekarang ialah zooming in. Kita masuk lebih dekat ke dalam lingkungan Masyarikal Ardh untuk mencari lokasi spesifik yang Allah maksudkan sebagai tanah yang diberkati. Perkataan barokna sangat penting dalam proses ini kerana ia bukan sekadar istilah batin, kejiwaan atau spiritual. Ia mempunyai nilai teknikal, kesan realiti fizikal dan implikasi sejarah yang mendalam.

Secara umumnya makna barokna merujuk kepada keberkatan yang tetap, berkembang dan berterusan. Dengan memahami ciri keberkatan ini kita dapat melihat petunjuk penting yang membezakan satu kawasan daripada kawasan lain dalam lingkungan Masyarikal Ardh.

Bahagian seterusnya kita akan memecahkan maksud barokna daripada sudut bahasa, bentuk kata, konteks semua ayat yang mengandungi barokna dan kaitannya dengan ciri geografi sebenar dalam Masyarikal Ardh. Kita telah memahami rujukan “yang” dan “di dalamnya” serta maksud sebenar “Kami memberkati”. Setelah semua ini jelas barulah kita boleh menggabungkan seluruh rangkaian petunjuk al Quran untuk menjejak lokasi tanah berkat itu dengan tepat tanpa tersilap arah. Insyaallah.

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.