Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

BAHAGIAN 6 : TANAH YANG DIBERKATI

2,066 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
10 minit 43 saat

Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

Bahagian 6 : Tanah Yang Diberkati


Saya yakin anda membenci Yahudi Zionis yang merampas tanah Palestin dan mendakwa diri mereka sebagai negara Israel hari ini. Saya juga yakin anda menyokong rakyat Palestin yang ditindas tidak kira apa fahaman mereka. Saya percaya anda mengangguk setuju.

Namun bagaimana jika saya katakan bahawa terdapat bahagian daripada kefahaman kita hari ini yang sebenarnya selari dengan naratif Zionis tanpa kita sedari? Bagaimana jika selama ini anda hanyalah mangsa kepada umpan yang direka beratus tahun? Bagaimana jika selama ini kita semua telah mewarisi kefahaman yang tersasar sedikit daripada apa yang Allah sendiri nyatakan dalam al Quran? Bagaimana jika mereka juga terkena permainan Dajjal?

Persoalan-persoalan itu semuanya persoalan besar? Untuk menjawab persoalan besar ini kita tidak boleh terus melompat kepada Palestin dan Zionis. Kita tidak boleh terus menyokong mana mana wilayah politik hari ini tanpa menyemak ayat-ayat Allah. Isunya bukan menyokong Palestin. Isunya adalah apabila kita menyebut Palestin sebagai ‘tanah yang diberkati’ dan ‘tanah yang dijanjikan’ sedangkan Allah tidak menyebut demikian dalam al Quran.

Anda mengatakan anda beriman kepada al Quran. Anda mengatakan anda membela Palestin yang teraniaya. Namun pada masa yang sama anda menyebut bahawa Palestin ialah tanah yang diberkati dan tanah yang dijanjikan. Jika begitu apa bezanya anda dengan Zionis yang mendakwa perkara yang sama.

Adakah kenyataan ini salah? Adakah selama ini kita yang tersalah faham apa yang Allah sebutkan dalam al Quran?

Inilah sebabnya saya tulis siri ini. Tujuan saya adalah untuk membuka satu hakikat besar bahawa kita ini sebahagian besar adalah keturunan Bani Israel yang asal. Yahudi yang berada di sana juga Bani Israel tetapi mereka datang daripada jalur lain. Kita pula daripada jalur yang berbeza. Kita sudah bercampur dengan Bani Ismail, Bani Ishak, Rome dan sebagainya itu perkara lain tetapi, di sini, Tanah melayu ini adalah tanah yang dijanjikan kepada Bani Israel asal. Agama hanif adalah tradisi ketuhanan yang dibawa oleh sebahagian leluhur kita sejak awal mempunyai akar yang sama dengan tradisi Nabi-nabi Bani Israel yang berada di tanah timur.

Untuk memahami bagaimana hubungan ini berlaku, kita tetap mesti kembali kepada titik asal iaitu bagaimana Allah menetapkan tanah-tanah berkat sejak penciptaan bumi. Perhatikan juga mengapa baginda Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa Imam Mahdi perawakan seperti baginda tetapi rupanya seperti Bani Israel. Bagaimana rupa seseorang boleh seperti Bani Israel, pada masa yang sama keturunan nabi Muhammad dan pada masa yang sama Imam Mahdi dari timur?

Kisah Imam Mahdi ini ada dalam sejarah sebenar Bani Israel yang telah dipadamkan. Ia ada dalam tanah timur yang Allah sebut sebagai tanah kurniaan selepas perhambaan. Jika kita tidak kembali kepada Al Quran dan tidak kembali titik awal di mana bumi ini mula dibina. Kerana di situlah Allah sudah menentukan tanah mana yang akan diberkati dan tanah mana yang akan dibiarkan berjalan seperti biasa.

Dalam kata lain, sebelum wujud istilah “tanah yang dijanjikan” untuk Bani Israel, sudah wujud terlebih dahulu “tanah yang diberkati” yang ditetapkan Allah semasa penciptaan bumi lagi.


Enam Fasa Penciptaan

Allah tidak menciptakan alam secara rawak sebaliknya Allah menerangkan sendiri susunan penciptaan dalam beberapa ayat yang saling melengkapi. Sila lihat kepada 3 ayat berikut:

1. Surah Qaaf 50:38

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ وَمَا مَسَّنَا مِن لُّغُوبٍۢ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah.


2. Surah al A’raf 7:54

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ يَطْلُبُهُۥ حَثِيثًۭا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتٍۭ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ أَلَا لَهُ ٱلْخَلْقُ وَٱلْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.


3. Surah as Sajdah 32:4

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?


Firman Allah dalam Surah Qaaf 50:38 Surah al A’raf 7:54 dan Surah as Sajdah 32:4 di atas menyatakan bahawa Allah menciptakan langit-langit dan bumi dalam enam masa. Apabila ayat ayat ini dikumpulkan, kita dapat menjumpai tiga fasa besar penciptaan iaitu:

  1. 2 Fasa kejadian bumi (Fussilat 41:9)

  2. 2 Fasa kejadian langit-langit  (Fussilat 41:12)

  3. 2 Fasa kejadian apa yang berada antara langit dengan bumi.

Setiap kumpulan mempunyai dua fasa. Maka jadilah enam fasa secara keseluruhannya.


Penetapan Tanah Yang Diberkati

Bagi tujuan memahami keadaan tanah yang diberkati, kita hanya perlu fokus kepada kumpulan pertama dahulu, iaitu kejadian bumi.

Allah menjelaskan dengan lebih terperinci dalam Surah Fussilat 41:9–10. Di sini kita dapati bahawa penciptaan bumi itu sendiri berada dalam dua fasa utama.

قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِالَّذِي خَلَقَ الْأَرْضَ فِي يَوْمَيْنِ

Katakanlah, adakah kamu benar benar kufur kepada Dia yang menciptakan bumi dalam dua hari.

Fussilat 41:9

Kemudian Allah menghuraikan pula:

وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا وَبَارَكَ فِيهَا

Dan Dia menjadikan di atasnya gunung gunung yang kukuh dan Dia memberkati di dalamnya.

Fussilat 41:10

Di sinilah terletaknya satu rahsia besar yang Allah tunjukkan untuk kita iaitu berkenaan gunung-ganang.


Fasa 1: Gunung Dan Keberkatan

Surah Fussilat 41:10 tidak menyebut keberkatan secara terasing. Allah menyusun ayat itu dengan satu susunan yang sangat teliti supaya kita boleh lihat.

Pertama Allah membina asas bumi. Kemudian Allah pacakkan gunung gunang. Selepas itu barulah Allah menyatakan:

وَبَارَكَ فِيهَا

Dan Dia berkati di dalamnya.

Susunan ayat menunjukkan bahawa keberkatan bumi tidak berlaku sebelum gunung-gunang dipacakkan. Gunung-gunung ialah penunjuk utama barokna.

Ini sangat penting kerana gunung bukan sekadar binaan batu sebaliknya gunung adalah:

  • Penstabil kerak bumi.

  • Pemecah angin monsun.

  • Pengumpul awan.

  • Pusat keseimbangan graviti permukaan.

  • Penahan air bawah tanah.

  • Sistem pengaliran sungai.

  • Pengawal iklim mikro.

  • Penentu kesuburan tanah sekitar.

Oleh itu, tidak hairan Allah menjadikan kehadiran gunung sebagai prasyarat barokna.

Maksudnya mudah untuk anda fahami adalah:

Jika gunung itu ada, barokna boleh berlaku.
Jika sistem gunung tiada, mustahil wilayah itu menjadi tanah diberkati.

Inilah sebabnya kita boleh mengambil pelajaran bahawa:

  • Tanah-tanah yang diberkati sentiasa mempunyai sistem gunung besar.

  • Mekah ada banjaran Hejaz.

  • Syam ada banjaran Lebanon.

  • Dan tanah Saba’ di timur berada dalam lingkaran banjaran purba yang sangat stabil.

Apa yang saya bentangkan ini bukanlah tafsiran moden, bukan juga tafsiran yang mengubah makna ayat sesuka hati. Ia hanya satu usaha untuk membaca al Quran mengikut urutan dan kaedah yang Allah sendiri gunakan. Kita tidak menambah dan kita juga tidak mereka-reka. Kita hanya menyusun semula apa yang Allah telah aturkan dalam al Quran supaya hubungan antara ayat dapat difahami dengan lebih jelas.

Penjelasan ini bukan bertujuan menyanggah sesiapa, jauh sekali merendahkan mana mana ulama. Tujuan kita hanyalah untuk kembali kepada teks asal al Quran dan membaca setiap ayat sebagaimana Allah mengaturnya, bukan sebagaimana sejarah moden mengajarnya. Dengan cara ini, kita dapat memahami mengapa istilah barokna digunakan pada beberapa tanah tertentu, mengapa tiga kluster keberkatan muncul dan mengapa para nabi bergerak mengikut laluan yang sama.

Ayat itu tidak berkata “Allah berkati seluruh bumi”. Sebaliknya ayat berkata:

“Dia menjadikan gunung-gunang dan Dia berkati di dalamnya.”

Maknanya, keberkatan itu tertumpu pada kawasan yang memiliki sistem gunung. Sama ada banjaran, dataran tinggi, lembah di celah gunung atau laluan air di kaki gunung.

Gunung ialah kunci bagi barokna bumi.


Fasa 2: Kadar Kadar Alam

Selepas itu dalam Surah Fussilat 41:10 juga Allah menyebut:

وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ

Dan Dia menetapkan kadar-kadar keperluannya dalam empat masa.

Pada peringkat inilah Allah menetapkan semua kadar yang mengawal kehidupan di bumi. Graviti, ruang, masa, jarak, halaju, tasik, sungai, bijih, jenis tanah, kadar hujan, kitaran siang malam, iklim dan segala faktor ataupun ketetapan hukum-hakam yang mempengaruhi kehidupan manusia.

Kita orang Islam tidak boleh melihat semua kadar itu sekadar fenomena alam. Ia adalah sistem tetap yang menentukan di mana manusia boleh hidup, di mana tamadun boleh bangkit, di mana makanan boleh tumbuh, di mana binatang boleh berkembang-biak, di mana kota boleh dibina dan di mana para nabi akan diutuskan. Tanpa kadar-kadar ini, tidak wujud sebarang manusia di atas bumi kerana Allah itu sangat pengasih, Dia menyediakan manusia tempat sebelum menguji manusia.

Daripada sinilah kita memahami satu hakikat penting.

Sebahagian tempat di bumi ditetapkan oleh Allah sebagai "lebih diberkati" daripada tempat yang lain, sejak fasa pembinaan bumi lagi.

Jika tidak, masakan ada kaabah di Mekah sedangkan tidak ada kaabah di seluruh tanah lain. Masakan ada Baitul Makmur di langit ketujuh sebagai bayangan kaabah. Masakan ada  'ummul qura" dan masakan ada satu kota yang digelar sendiri oleh Allah sebagai “baldatun tayyibatun wa rabbun ghaffur”.

Semua ini bukan kebetulan sejarah, tetapi ia adalah hasil penetapan sejak awal penciptaan dan ia direkodkan dalam Al Quran.


Hanya Sebahagian Tanah Di Bumi Mendapat Taraf “Tanah Yang Diberkati”

Daripada seluruh permukaan bumi, tidak semua tanah menerima gelaran barakah dalam al Quran. Ada banyak kota dan ada pelbagai empayar, namun hanya sebahagian kecil sahaja yang disebut dengan kalimah khusus بَارَكْنَا, iaitu “Kami berkati”. Gelaran ini juga bukan gelaran sejarah dan juga bukan gelaran manusia, tetapi penetapan langsung daripada Allah sejak fasa penciptaan bumi.

Perkataan barokna ini diulang beberapa kali dalam al Quran. Antara yang paling jelas:

  1. Tanah yang di sekeliling Masjid al Aqsa.

  2. Tanah yang Allah bawa Ibrahim dan Lut kepadanya.

  3. Tanah yang Allah kurniakan kepada Bani Israel di timur dan barat bumi.

  4. Tanah yang menjadi pusat kerajaan Saba’ dan kota kotanya.

Pada masa yang sama, di atas tanah inilah muncul kota kota yang diberi gelaran sangat khusus. Antaranya Baldatun tayyibatun wa rabbun ghaffur dalam Surah Saba’ 34:15.

Ini menunjukkan bahawa ada dua lapis kemuliaan:

  1. Lapisan pertama ialah tanah yang diberkati sejak fasa penciptaan bumi yang disebutkan sebagai "Dia berkati di dalamnya".

  2. Lapisan kedua ialah kota-kota tertentu di atas tanah berkat itu diberikan taraf berdasarkan sejarah dan misi para nabi, disebutkan sebagai “Kami berkati”.


Penutup

Apabila kita melihat kembali keseluruhan susunan ayat Allah, barulah kita sedar bahawa istilah “tanah yang diberkati” bukanlah gelaran budaya, bukan gelaran bangsa dan bukan juga gelaran politik. Ia bukan muncul dalam sejarah manusia tetapi muncul dalam sejarah penciptaan bumi. Ia telah ditetapkan pada fasa penciptaan lagi sebelum wujud bangsa mana-mana bangsapun. Sebelum wujud Nabi Ibrahim, sebelum wujud Nabi Musa dan sebelum wujud Palestin atau Yaman atau Syam atau mana mana kerajaan.

Allah menyatakan bahawa keberkatan itu bermula ketika gunung-gunung dipacakkan. Gunung menjadi asas kepada barokna kerana di situlah air bertemu, angin dipecahkan, awan berkumpul, sungai mengalir, tanah subur terhasil, iklim distabilkan dan kehidupan berkembang. Tanpa sistem gunung tidak mungkin ada tanah yang diberkati. Tanpa gunung tidak mungkin ada tamadun. Tanpa gunung tidak mungkin ada laluan para nabi. Ayat al Quran itu benar dan teliti dan ia tidak mungkin tersasar.

Daripada seluruh bumi, hanya 4 sahaja yang Allah sebut dengan kalimah بَارَكْنَا. Tanah yang mengelilingi Masjid al Aqsa, tanah yang Allah bawa Ibrahim dan Lut kepadanya, tanah yang Allah wariskan kepada Bani Israel di timur dan barat bumi dan tanah yang menjadi pusat kerajaan Saba’ di timur beserta kota-kotanya. Keempat-empat rujukan ini bukan kumpulan rawak tetapi jejak kepada satu rangka besar iaitu rangka bumi yang Allah tetapkan sejak awal penciptaan.

Namun kita mesti berhati hati. Ayat al Quran tidak pernah menyebut pun bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Lut pergi ke Palestin atau Syam. Itu hanyalah sangkaan tafsiran yang diwarisi beratus tahun. Ayat 21:71 hanya menyebut “ke tanah yang Kami berkati”, bukan “ke Syam” dan bukan “ke Palestin”.

Jika kita benar benar berpegang kepada teks al Quran, arah hijrah Ibrahim dan Lut mestilah kembali kepada tanah yang diberkati dalam peta asal Allah, iaitu salah satu daripada beberapa kluster besar tanah berkat. Ini kerana 21:71 berlaku sebelum peristiwa Kaabah dibina dan sebelum Bani Israel wujud, maka tanah yang diberkati itu semestinya merujuk kepada kluster timur, iaitu tanah yang telah Allah tetapkan subur, kaya, hijau, aman dan penuh jannah. Ia adalah tanah yang kelak menjadi wilayah Saba’ dan tempat tumpuan hijrah selepas perhambaan.

Dengan itu gambaran al Quran menjadi lebih kukuh. Ayat 21:71 bukan dalil Syam. Ia dalil bahawa Ibrahim dan Lut dibawa kembali ke salah satu tanah berkat asal yang ditetapkan semasa penciptaan bumi, dan tanah itu berada di timur dan bukan di Mediterranean. Jika Allah mahu menyebut Syam, Allah akan menyebutnya sebagaimana Allah menyebut Bakkah, Makkah, Tur Saina, Judiy, Babil dan Aykah. Tetapi Allah tidak menyebut Syam. Diamnya al Quran terhadap nama sesuatu tempat bukanlah kebebasan kita untuk menetapkannya tanpa dalil.

Dan inilah titik yang membawa kita kepada bab penting seterusnya iaitu dua kluster tanah yang diberkati. Kita akan mengetahui bagaimana ia ditetapkan sejak penciptaan bumi dan mengapa Musa memilih mashriq sebagai destinasi hijrah besar Bani Israel. Ia selari dengan pola barokna, iaitu tanah timur ialah kluster berkat yang diwariskan setelah mereka dinaikkan darjat daripada perhambaan.


Sokongan Kajian

Penulisan ini adalah kajian eksklusif milik BAZ di laman web:
https://beritaakhirzaman.com

Sekiranya anda ingin terus menyokong kajian dan kupasan eksklusif seperti ini, anda boleh membuat tajaan secara sukarela di pautan berikut:
https://member.beritaakhirzaman.com/sponsorship/create/pengurusan-dan-pembangunan-platform-baz

Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.

Log Masuk Ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login

Pendaftaran Ahli (Percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.