Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

BAHAGIAN 4 : KURNIAAN AGUNG DARI ALLAH KEPADA BANI ISRAEL

1,712 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
8 minit 10 saat

Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

Bahagian 4 : Kurniaan Agung Dari Allah Kepada Bani Israel

Dalam bahagian sebelumnya, kita telah membicarakan firman Allah dalam Surah al-Mā’idah ayat 20. Nabi Musa telah menyeru kaumnya agar mengenang nikmat Allah yang telah mengangkat mereka daripada perhambaan kepada kemuliaan. Mereka bukan lagi bangsa tertindas, tetapi telah dijadikan “mulūkān” bangsa berdaulat kembali yang memiliki martabat dan harta sendiri.

Namun seruan Nabi Musa tidak berhenti di situ. Mari kita lihat semula ayat tersebut:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنۢبِيَآءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًۭا وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًۭا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, ingatlah nikmat Allah ke atas kamu, ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu para nabi dan telah menjadikan kamu "mulukan" , serta memberikan kepada kamu apa yang tidak diberikan kepada seorang pun dari seluruh manusia.”

Al Maidah 5:20


Kurniaan Yang Tidak Pernah Diberikan Kepada Umat Lain

Perbincangan kita belum tamat. Mari kita lihat frasa penutup ayat ini:

وَءَاتَىٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًۭا مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ

serta memberikan kepada kamu apa yang tidak diberikan kepada seorang pun dari seluruh manusia.”

Frasa Ini adalah persoalan yang sangat penting iaitu apakah pemberian tersebut? Apakah yang sangat bernilai itu sehingga pemberian itu dikatakan tidak pernah diberikan kepada mana-mana manusia lain? Mengapa perbandingan sebesar itu telah dibuat oleh Allah?

Kita tidak akan menjumpai jawapan kepada persoalan ini kerana persoalan ini hanya dapat dipecahkan apabila kita selalu tadabbur Al Quran hingga menjadi Ulul Albab. Ia memerlukan semakan silang yang sangat teliti. Apa yang lebih penting pembacaan Kitabullah itu dipandu oleh ruh Al-Quran itu sendiri. Jawapannya juga ada di dalam Al Quran tetapi kita mesti mencarinya dengan penuh kesabaran.

Kita kena faham bahawa ayat 5:20 di atas adalah komunikasi antara Nabi Musa dengan kaumnya Bani Israel yang berlaku selepas pembebasan dari perhambaan Mesir tetapi sebelum ujian ketaatan untuk menakluki tanah perjanjian. Apa mesej yang telah dinyatakan oleh Nabi Musa pada ayat 5:20 ini berupa frasa  "serta memberikan kepada kamu apa yang tidak diberikan kepada seorang pun dari seluruh manusia.” telah disebutkan Nabi Musa ketika dalam perhambaan Firaun lagi di Mesir. Kaumnya faham tetapi kita belum tentu begitu.

Ketika di Mesir, apabila Nabi Musa telah menyeru kaumnya kepada kemerdekaan. Namun, apa yang kaumnya, Bani Israel runsingkan adalah tanah untuk mereka duduki selepas itu. Jika mereka keluar dari Mesir, maka  ke manakah mereka mahu pergi? Inilah isu yang berlegar-legar dalam pemikiran bani Israel ketika mereka hamba. Lalu Allah yang Maha Pengasih telah menjanjikan mereka sesuatu pemberian yang besar iaitu seluruh timur bumi dan barat bumi.

Inilah pemberian besar tersebut yang dinyatakan dalam ayat 5:20 sebagai pemberian yang pernah tidak diberikan kepada sesiapa pun dari seluruh manusia sebelum itu. Waktu itu Bani Israel telah di wariskan sebahagian bumi ini yang bukan pemberian kecil dari Allah. Carilah dalam mana-mana dalil sekalipun kita tidak akan menjumpai melainkan hanya pada bani Israel sahaja yang diwariskan bahagian bumi.

Jawapan sebenar diberikan dalam firman Allah yang lain, iaitu Surah al-Aʿrāf ayat 7:137:

وَأَوْرَثْنَا ٱلْقَوْمَ ٱلَّذِينَ كَانُوا۟ يُسْتَضْعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلْأَرْضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُوا۟ ۖ وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُۥ وَمَا كَانُوا۟ يَعْرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum yang tertindas itu (Bani Israel) wilayah timur bumi dan baratnya yang Kami telah limpahkan keberkatan padanya. Dan telah sempurnalah kalimat Tuhanmu yang terbaik ke atas Bani Israel disebabkan kesabaran mereka.”

Al-Aʿrāf 7:137

Inilah maksud sebenar “pemberian yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa” iaitu pewarisan seluruh wilayah timur dan barat bumi yang diberkati (مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا).

Allah tidak menyebut negara Palestin. Allah menyebut “timur” dan “barat” bumi. Ini menunjukkan wilayah pewarisan mereka jauh lebih luas daripada sekadar satu tanah kecil di Syam. Palestin adalah sekadar bahagian utara wilayah antara Sungai Nil (barat) hingga Furat (timur) dengan Syam/Syimal (kanan/utara) dengan Yaman/Yamin (kiri/selatan). 4 segi wilayah ini bukannya timur bumi tetapi ini adalah wilayah tengah bumi yang akan menjadi tempat perhimpunan manusia kelak. Ini adalah jazirah Arab.

Kurniaan agung Bani Israel, bukanlah tanah kecil di tengah bumi mengambil alih kedaulatan bangsa Arab sebaliknya jelas disebutkan di hujung timur dan barat bumi berdasarkan ayat Al-Aʿrāf 7:137. Ia bukan sekadar kebebasan daripada perhambaan, tetapi suatu amanah kekhalifahan di atas muka bumi. Pewarisan bumi ini adalah bentuk pengiktirafan Allah bahawa mereka pernah menjadi umat pilihan dengan tugas besar membawa hukum Allah di atas tanah yang diberkati.


Mengapa Bukan Palestin?

Soalan ini pasti menimbulkan perdebatan panjang sekiranya kita berdebat kerana pendapat. Apa yang kita faham tidak semestinya sama dengan apa yang Allah nyatakan dalam al-Quran. Maka yang wajib diikuti ialah al-Quran itu sendiri, bukan cerita atau tafsiran yang diwarisi daripada sumber luar, lebih-lebih lagi daripada riwayat Bani Israel yang telah menyeleweng dan memutarbelit sejarah keturunan mereka.

Kita mesti kembali kepada al-Quran sebagai sumber utama kebenaran. Untuk memahami mengapa Palestin bukan lagi tanah mereka, kita perlu menelusuri kisah Nabi Ya‘qub, ujian-ujian yang menimpa Bani Israel, hukuman-hukuman Allah ke atas mereka, serta konsep kekhalifahan manusia yang dijelaskan satu demi satu dalam al-Quran.

Sebelum zaman perhambaan Firaun, Bani Israel sudah meninggalkan bumi asal mereka. Perpindahan ini berlaku pada zaman Nabi Yusuf.

فَلَمَّا دَخَلُوا عَلَىٰ يُوسُفَ آوَىٰٓ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ٱدْخُلُوا۟ مِصْرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

Apabila mereka masuk menemui Yusuf, dia memuliakan kedua ibu bapanya dan berkata, masuklah kamu ke Mesir jika Allah menghendaki, dalam keadaan aman.

Yūsuf 12:99

Ayat ini menunjukkan asas sejarah Quran bahawa keluarga Ya‘qub berpindah dan bermukim di Mesir. Ini menerangkan mengapa, ketika Musa menyeru kepada kemerdekaan, persoalan mereka ialah “ke mana mahu pergi”, kerana mereka tidak lagi menetap di Palestin pada masa itu.

Al-Quran memberi gambaran bahawa Bani Israel sentiasa menjadi satu kelompok besar yang hidup berkumpul sesama mereka. Dalam bahasa al-Quran, mereka disebut sebagai qawm (kaum) dan ummah (komuniti besar). Apabila satu kelompok pendatang menjadi lebih ramai, lebih kuat dan mempunyai identiti sendiri, pemerintah biasanya mula takut dan menindas mereka. Memang Al-Quran tidak menyebut jumlah mereka, tetapi istilah qawm menandakan mereka menjadi satu komuniti kuat dan jelas.

Al-Quran secara langsung menyatakan sifat paranoia dan ketakutan Firaun terhadap mana-mana kelompok yang berpotensi mencabar kuasa. Sila lihat kepada firman Allah seperti berikut:

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًۭا يَسْتَضْعِفُ طَآئِفَةًۭ مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَآءَهُمْ وَيَسْتَحْىِۦ نِسَآءَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.

Al-Qasas 28:4

Kelompok yang ditindas itu adalah Bani Israel. Mengapa mereka dipilih menjadi mangsa? Kerana bani Israel bukan warga asal Mesir, tetapi mereka berkembang pesat dan mereka mempunyai struktur keluarga yang kuat. Bani Israel juga memiliki memiliki sejarah kenabian yang kuat. Tambahan pula Nabi Yusuf moyang mereka mempunyai pengaruh yang kuat pada sejarah Mesir. Ini menjadikan bani Israel tidak mudah dijinakkan oleh pemerintah yang zalim.

Sudah tentu ini cukup untuk mencetuskan ketakutan politik dan mereka di jadikan hamba. Sila rujuk pula petikan ayat berikut sebagai bukti:

يُسُومُونَكُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ

“Mereka menyeksa kamu dengan seksaan yang dahsyat.”

Surah al-Baqarah 2:49

Jadi dari sini kita sudah faham bahawa mereka mempunyai sejarah yang panjang sehingga kelaur dari tanah sendiri, berhijrah lalu selepas itu menjadi hamba. Bani Israel tidak lagi memiliki tanah, maka sebab itulah mereka bertanya "ke mana kami akan pergi?".


 

Dari Bangsa Yang Dihalau Kepada Bangsa Yang Dipewariskan

Jadi sedikit sebanyak anda sudah memahami kisah panjang Bani Israel. Maka ketika masih dalam perhambaan di Mesir, tidak hairanlah keresahan utama mereka ialah “ke mana kami akan pergi setelah bebas?” Mereka belum mempunyai tanah yang boleh mereka panggil sebagai milik, dan masa depan mereka bergantung sepenuhnya kepada perintah Allah yang bakal diturunkan kepada Nabi Musa.

Lalu datanglah janji Allah melalui wahyu kepada Nabi Musa bahawa mereka akan diberikan sesuatu yang lebih besar daripada Palestin iaitu pewarisan seluruh wilayah timur dan barat bumi yang diberkati, seperti yang disebut dalam Surah al-Aʿrāf 7:137.

Pewarisan ini menjadi bentuk penggantian dan pemulihan maruah mereka selepas dihinakan oleh Firaun. Ia bukan pemberian kecil. Ia adalah pengisytiharan bahawa mereka akan menjadi bangsa yang memegang amanah kekhalifahan di bumi, menggantikan bangsa yang zalim sebelumnya.

Maka jelaslah bahawa kurniaan yang dimaksudkan dalam Surah al-Mā’idah 5:20 itu ialah pewarisan bumi yang diberkati di hujung timur dan hujung barat adalah satu anugerah agung yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana bangsa sebelum mereka.

Namun ia tetap bersyarat iaitu apabila mereka kembali kufur, ingkar dan berpecah, pewarisan itu boleh berpindah tangan. Tanah-tanah itu tidak lagi menjadi milik mereka, kerana setiap pewarisan yang diabaikan akan dicabut oleh Allah dan diserahkan kepada umat lain yang lebih layak.


Rumusan

Dengan itu, perbincangan kita mengenai Surah al-Mā’idah ayat 20 telah lengkap. Kita telah menelusuri makna nikmat, kedudukan mulūkan, sejarah perpindahan keluarga Ya‘qub, ujian dan kehinaan yang menimpa Bani Israel, serta bagaimana mereka akhirnya menjadi hamba di Mesir. Semua ini membawa kita kepada satu titik kebenaran yang sangat penting iaitu Allah tidak pernah menyebut Palestin sebagai tanah pewarisan mereka dalam ayat tersebut.

Sebaliknya, al-Quran menjelaskan dengan jelas bahawa kurniaan luar biasa yang disebut dalam Surah al-Mā’idah 5:20 itu dirungkaikan melalui Surah al-A‘rāf 7:137, iaitu pewarisan masyriq al-arḍ dan maghribahā, timur bumi dan baratnya yang diberkati. Inilah pemberian yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun selain mereka.

Maka sebenarnya seluruh perbahasan ini sedang membawa kita kepada satu arah iaitu timur, dan apabila kita menyebut timur yang diberkati dan diwariskan, kita sedang berbicara mengenai gugusan timur jauh Nusantara, wilayah yang selaras dengan ciri-ciri ardh mubārakah dalam al-Quran. Di dalam konteks ini, istilah mulūkan yang pernah dikurniakan kepada Bani Israel mula kembali tersingkap nilainya apabila dikaitkan dengan pusat kekuasaan timur yang paling strategik dan paling lama bertamadun iaitu Melaka.

Dengan ini, kita menutup perbahasan Surah al-Mā’idah 5:20 dan membuka pintu kepada hikmah berikutnya sambil bertanya Mengapa antara barat dan timur, Nabi Musa memilih Timur?

Bersambung.


Sokongan Kajian

Penulisan ini adalah kajian eksklusif milik BAZ di laman web:
https://beritaakhirzaman.com

Sekiranya anda ingin terus menyokong kajian dan kupasan eksklusif seperti ini, anda boleh membuat tajaan secara sukarela di pautan berikut:
Kami memang memerlukan bantuan untuk membuat kajian ekslusif ini

Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.

Log Masuk Ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login

Pendaftaran Ahli (Percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.