Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

BAHAGIAN 7 : LOKASI MASYARIKAL ARDH

1,891 0
Ongoing
Anggaran masa membaca
6 minit 37 saat

Melaka Adalah Tanah Yang Dijanjikan

Bahagian 7 : Lokasi Masyarikal Ardh


Dalam bahagian-bahagian yang lepas kita telah melihat bahawa Allah telah mengurniakan kurniaan yang besar kepada Bani Israel selepas mereka dibebaskan daripada perhambaan Firaun yang mana kurniaan itu tidak pernah diberikan kepada mana-mana umat terdahulu. Perbincangan tersebut adalah merujuk kepada QS Al Maidah 5:20 yang telah dibuat sebelum ini. 

Dalam bahagian ini dan mungkin beberapa bahagian seterusnya, kita akan fokuskan kepada mencari lokasi kurniaan besar tersebut berdasarkan firman Allah. Kurniaan itu tidak dijelaskan dalam ayat QS Al Maidah 5:20 sebaliknya dijelaskan dalam Al A'raf 7:137.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَأَوۡرَثۡنَا ٱلۡقَوۡمَ ٱلَّذِينَ كَانُواْ يُسۡتَضۡعَفُونَ مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَٰرِبَهَا ٱلَّتِي بَٰرَكۡنَا فِيهَا ۖ وَتَمَّتۡ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلۡحُسۡنَىٰ عَلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ بِمَا صَبَرُواْ ۖ وَدَمَّرۡنَا مَا كَانَ يَصۡنَعُ فِرۡعَوۡنُ وَقَوۡمُهُۥ وَمَا كَانُواْ يَعۡرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 137)


Dalam usaha mencari lokasinya, kita akan menumpukan perhatian kepada satu frasa utama sahaja, iaitu:

مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَٰرِبَهَا ٱلَّتِي بَٰرَكۡنَا فِيهَا

"daerah-daerah timur bumi dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya"

Kita akan meneliti setiap perkataan dalam frasa ini secara terperinci. Untuk memudahkan pemahaman, saya akan membahagikan frasa ini kepada dua bahagian pula lagi. Dengan izin Allah, di akhir perbincangan nanti kita akan sampai kepada lokasi yang dimaksudkan oleh Allah SWT.


Terjemahan Perkata

Ini adalah terjemahan perkata bagi frasa tersebut:

مَشَارِقَ = tempat-tempat terbit (jamak kepada mashriq)

ٱلۡأَرۡضِ = bumi

وَ= dan

مَغَارِبَهَا = tempat-tempat terbenamnya (jamak kepada maghrib) dan hā adalah merujuk kepada bumi

ٱلَّتِی = yang

بَارَكۡنَا = Kami telah memberkati

فِیهَا = padanya


Frasa Masyarikal Ardh (مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ)

Mashriq bukan bermaksud sekadar “timur” tetapi “pelbagai ufuk atau zon terbitnya matahari”. Bentuk jamaknya, Masyāriq (مَشَارِق), membawa maksud “pelbagai tempat terbit”, “pelbagai ufuk” atau “pelbagai zon terbit matahari”.

Al Ardh (ٱلۡأَرۡضِ) pula bermaksud bumi, tanah, daratan atau wilayah. Dalam Quran, ٱلۡأَرۡضِ kadangkala merujuk bumi keseluruhan, kadangkala merujuk wilayah tertentu yang didiami manusia mengikut konteks ayat. Lautan adalah tidak termasuk dalam makna Al Ardh.

Oleh itu, masyarikal Ardh (مَشَارِقَ ٱلۡأَرۡضِ) adalah bermaksud "tanah-tanah di pelbagai tempat terbit matahari di bumi".


Frasa Wa Maghariba ha (وَ مَغَارِبَهَا)

Maghrib (مَغْرِب) ialah tempat terbenamnya matahari. Arah barat ialah titik tenggelamnya matahari.

Bentuk jamaknya, Maghārib (مَغَارِب), membawa maksud “pelbagai tempat terbenam” atau “pelbagai ufuk tenggelam”.

Huruf “hā” (ها) di hujungnya merujuk kembali kepada al-Ardh, iaitu bumi atau wilayah yang dimaksudkan.

Oleh yang demikian, apabila disebutkan Wa Maghariba ha (وَمَغَٰرِبَهَا), maka ia bermaksud "dan pelbagai tempat terbenamnya" atau "dan pelbagai ufuk tenggelamnya" di bumi itu.


Frasa Lengkap Masyarikal Ardh Wa Maghribaha (مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَٰرِبَهَا)

Apabila kita susun lengkap frasa مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَٰرِبَهَا, maknanya menjadi:

tanah-tanah di pelbagai tempat terbit matahari di bumi dan pelbagai tempat terbenamnya. 


Mari Berfikir

Apabila kita memerhatikan pergerakan matahari, kita akan dapati bahawa matahari tidak pernah terbit di titik yang sama. Ia juga tidak pernah terbenam di titik yang sama. Kadangkala kelihatan di bahagian tengah ufuk, kadangkala ke kiri dan kadangkala ke kanan. Pemerhatian asas ini sahaja sudah memadai untuk membuktikan bahawa matahari sentiasa bergerak antara titik-titik terbit sepanjang tahun dan demikian juga titik-titik tenggelamnya.

Dalam bahagian sebelum ini, kita telah melihat bagaimana Nabi Musa AS melintasi Laut Merah dari arah timur kedudukan Firaun di Mesir. Maka, adalah mustahil bagi Bani Israel yang bersama Nabi Musa untuk berpatah balik, melintasi Laut Merah sekali lagi dan kemudian memilih arah barat. Atas sebab itu, sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, Nabi Musa dengan penuh kebijaksanaan memilih laluan menuju ke arah timur.

Dalam perbincangan sebelumnya juga, kita telah mengetahui bahawa Bani Israel diwariskan oleh Allah SWT tanah-tanah yang disebut sebagai Masyarikal Ardh, iaitu tanah-tanah di pelbagai tempat terbit matahari dan pelbagai tempat tenggelamnya. Maka persoalan yang patut muncul dalam diri kita ialah:

Dari sudut geografi, di manakah letaknya titik-titik terbit matahari di sebelah timur?



Apabila anda melihat gambar di atas, pandanglah ke arah timur untuk tujuan fokus. Garisan merah bahagian atas ialah Tropic of Cancer (Sartan) pada latitud +23.4° Utara. Garisan merah bahagian bawah ialah Tropic of Capricorn (Jadi) pada latitud −23.4° Selatan.

Kesemua kawasan di timur yang berada antara dua garisan ini adalah rangkaian titik terbit matahari. Matahari tidak terbit secara rawak sebaliknya ia bergerak dari satu titik ke titik lain di antara kedua-dua garisan ini sepanjang tahun.

Untuk mengenal pasti di manakah Masyarikal Ardh, pandanglah ke arah timur dan carilah tanah-tanah besar yang mempunyai lebih daripada satu titik terbit matahari. Tanah besar atau benua yang mempunyai rentang ufuk luas layak termasuk dalam kategori Masyarikal Ardh. Namun jika sesuatu kawasan itu hanyalah sebuah pulau kecil yang memiliki satu garis ufuk sahaja, ia tidak memenuhi maksud Masyarikal Ardh sebagaimana yang disebut dalam ayat ini.

Jika kita melihat pada peta, dari utara ke selatan, kawasan yang memenuhi ciri-ciri terbit matahari bermula sekitar Selatan Yunnan di China, turun ke Malaysia, Indonesia, dan sebahagian kawasan di Australia, sebelum berakhir di Lautan Hindi. Semua daratan yang menepati syarat ini termasuk dalam rangka umum Masyarikal Ardh. Namun adakah keseluruhan kawasan luas ini merujuk kepada Masyarikal Ardh yang dimaksudkan dalam Surah Al-A’raf ayat 137?

Jawapannya: belum cukup maklumat. Kita baru memperoleh sempadan atas dan sempadan bawah. Kita belum menentukan sempadan kiri dan kanan.


Di manakah sempadan kiri Masyarikal Ardh?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu merujuk kepada firman Allah sendiri. Allah mengikat istilah “masyarik” dengan Ardh. Ardh bermaksud daratan, bukan lautan.

Maka sempadan kiri bagi Masyarikal Ardh berada sekitar Bangladesh, iaitu kawasan pertemuan antara daratan dengan garisan Sartan. Di bawah titik ini, hampir tiada kawasan berpenghuni kecuali sekitar Pulau Sandwip di Bangladesh. Oleh itu, bermula daripada Pulau Sandwip ke arah kanan, dalam lingkungan antara garisan Sartan dan Jadi, terletaklah kawasan-kawasan yang masuk dalam kategori Masyarikal Ardh.

Kini kita telah mengetahui sempadan utara, sempadan selatan dan sempadan barat. Namun kita masih belum mengetahui sempadan timur. Di manakah sempadan timur itu?

Secara jujur, saya sendiri belum menetapkannya, kerana tumpuan saya ketika ini adalah kepada analisis linguistik ayat Quran, bukan analisis terperinci bentuk muka bumi.

Namun jika anda ingin mencarinya, anda boleh berpandukan semua panduan linguistik dan geografi yang telah dibincangkan.


Pandangan Peribadi Sementara

Buat masa ini, pandangan peribadi saya ialah sempadan timur Masyarikal Ardh kemungkinan berada sekitar Jurang Mariana, iaitu kawasan bumi yang sangat dalam dan memisahkan daratan sehingga membentuk garisan maya yang dikenali sebagai Wallace Line. Anda juga boleh mempertimbangkan Weber Line dan Lydekker Line yang menghuraikan pemisahan biogeografi timur Nusantara.

Namun saya menegaskan bahawa saya tidak mempunyai ketetapan muktamad mengenai lokasi sebenar sempadan timur Masyarikal Ardh. Ia memerlukan penelitian lebih mendalam terhadap geografi bumi. Buat masa ini, fokus saya adalah kepada huraian linguistik ayat al-Quran.


Kesimpulan

Adakah sehingga kesimpulan ini kita telah mendapat lokasi yang dikurniakan oleh Allah kepada Bani Israel?

Jawapannya adalah belum.

Ini kerana Allah sendiri telah menetapkan frasa berikut:

مَشَٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَٰرِبَهَا ٱلَّتِي بَٰرَكۡنَا فِيهَا

"daerah-daerah timur bumi dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya"

Daripada huraian di atas, kita sudah berjaya mengenal pasti zon umum yang dinamakan sebagai Masyarikal Ardh, iaitu wilayah-wilayah terbit dan tenggelam matahari dalam rentang daratan yang luas. Namun kita belum menemui lokasi spesifik yang dimaksudkan oleh Allah.

Lokasi khusus itu tersembunyi dalam frasa yang Allah kunci dengan tepat:

ٱلَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا allatī bāraknā fīhā yang bermaksud “yang Kami telah memberkati di dalamnya.”

Ini bermaksud, daripada keseluruhan wilayah luas Masyarikal Ardh, Allah mengecilkan pencarian kita menjadi satu kawasan tertentu yang memiliki ciri-ciri barakah seperti yang dijelaskan oleh al-Quran.

Pada bahagian seterusnya, kita akan meneliti secara mendalam maksud allatī bāraknā fīhā, supaya kita dapat mengenal pasti sifat-sifat barakah ini mengikut dalil Quran dan seterusnya mengecilkan skop pencarian lokasi tersebut dengan lebih tepat.

Bersambung.


Sokongan Kajian

Penulisan ini adalah kajian eksklusif milik BAZ di laman web:
https://beritaakhirzaman.com

Sekiranya anda ingin terus menyokong kajian dan kupasan eksklusif seperti ini, anda boleh membuat tajaan secara sukarela di pautan berikut:
https://member.beritaakhirzaman.com/sponsorship/create/pengurusan-dan-pembangunan-platform-baz

Sistem sokongan pembaca dijalankan melalui akaun ahli di laman web BAZ.

Log Masuk Ahli: https://member.beritaakhirzaman.com/login

Pendaftaran Ahli (Percuma): https://member.beritaakhirzaman.com/register

 

 

 

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (0):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.