Muhkamat dan Mutasyabihat
Bahagian 3 : Fasik Itu Punca Kesesatan Bukannya al-Quran
Sebelum ini kita telah menegaskan dengan dalil bahawa Al-Quran ialah huda yang memimpin ke jalan paling lurus dan Al-Quran bukan sumber kesesatan. Dalam Bahagian 2 kita melihat cahaya dan petunjuk yang dinyatakan dalam Al Maidah 5:15 hingga 16. Kita mengingat “la rayba fihi” dalam Al Baqarah 2:1 hingga 2. Kita menatap janji bahawa Al-Quran menunjuki yang paling tepat dalam Al Isra 17:9. Kita menolak anggapan bahawa batil mampu menyelinap ke dalam wahyu melalui Fusilat 41 hingga 42.
Keseluruhan dalil ini membina asas keyakinan bahawa sesiapa yang datang kepada kitab dengan hati yang jujur akan dipimpin kepada kebenaran. Berbekalkan asas itu Bahagian 3 menumpukan pada kepastian yang Allah tegaskan tentang kitab-Nya yang benar dan adil agar jelas kepada kita bahawa petunjuk tidak bercampur dengan kesesatan dan tidak memerlukan penjaga khas di luar adab serta kaedah. Prinsip inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam Al An‘am 6:115.
وَتَمَّتۡ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدۡقًا وَعَدۡلًا ۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ
"Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui."
(QS. Al-An'am 6: Ayat 115)
Anda sudah lihat sendiri dalam ayat di atas. Kebenaran (ṣidq) dan keadilan (‘adl) ialah sifat kekal al-Quran. Kedua-duanya bukan sifat yang berubah mengikut zaman atau suasana. Jika kitab ini ditandai oleh ṣidq dan ‘adl, maka ia tidak mungkin menyesatkan kerana kesesatan itu lahir daripada kebatilan sedangkan kebatilan pula tertolak di hadapan kebenaran dan keadilan.
Perhatikanlah dengan teliti isi Al An‘am 6:115. Allah tidak menyatakan bahawa kalimah-Nya bercampur antara petunjuk dengan kesesatan. Tidak ada percanggahan dalaman yang memerlukan tapisan rahsia atau akses khas. Ini menafikan dakwaan bahawa al-Quran memerlukan “penjaga khas” atau “jurutafsir” tertentu semata-mata untuk memastikan makna sampai kepada manusia. Yang diperlukan ialah adab mendekati wahyu Allah, kaedah yang sahih, ketulusan hati dan kesediaan menerima dan mengikuti bukti dari Allah.
Ingatlah dengan tegas dalam hati. Allah menegaskan kalimah-Nya telah sempurna. Tiada ruang untuk diubah, diputar atau apayah ditambah. Kesempurnaan ini meliputi kebenaran makna dan keadilan hukumnya. Jika sesuatu telah disempurnakan oleh Allah maka manusia tidak berkuasa menokok atau menguranginya sama sekali. Tugas kita ialah menerima, memahami dan mengamalkan.
Maknanya jelas. Sesiapa yang tersesat bukan kerana al-Quran itu silap atau mengelirukan. Akar kepada masalah berada pada hati manusia yang berpaling daripada ṣidq dan ‘adl yang dikandung oleh kitab ini. Orang yang menolak tanda-tanda Allah akan melihat kegelapan walaupun cahaya bersinar terang. Orang yang mengutamakan hawa nafsu akan membaca tanpa hidayah walaupun ayat dibacakan sendiri berulang-ulang kali.
Dengan kata lain, jika seseorang datang kepada al-Quran dengan kejujuran niat dan keadilan pertimbangan, dia akan dipimpin kepada hidayah dengan izin Allah. Jika dia datang dengan hati yang fasik, zalim dan penuh kepentingan diri, maka yang sesat ialah dirinya sendiri bukan al-Quran. Petunjuk tersedia bagi yang mahu dibimbing. Kegelapan dan kesesatan kekal bagi yang memilih berpaling.
Memang pun punca seseorang tersesat ketika membaca al-Quran ialah diri pembaca itu sendiri. Perhatikan ayat di bawah khususnya hujung ayat Al Baqarah 2:26. Allah menerangkan bahawa perumpamaan wahyu menguji hati manusia. Ada yang tersesat ada yang mendapat petunjuk. Ketetapan ini bukan kerana kekurangan pada kitab. Ia kerana keadaan batin pembaca sama ada tunduk kepada kebenaran atau memilih kefasikan.
...مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِۦ كَثِيرًا وَيَهۡدِي بِهِۦ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦٓ إِلَّا ٱلۡفَٰسِقِينَ
..."Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;"
(Petikan QS. Al-Baqarah 2: Ayat 26)
Kita mengaku beriman kepada Allah dan al-Quran tetapi khawatirkanlah diri sendiri kerana hati dipalingkan hanya setelah kita enggan beriman walaupun lidah mengaku percaya. Al-Quran tidak pernah menyesatkan. Yang menyesatkan ialah sikap yang menolak bukti atau menunda ketaatan atau memaksa makna mengikut hawa nafsu. Datanglah kepada kitab dengan hati yang tunduk. Carilah hidayah dengan adab serta kaedah. Mohonlah perlindungan agar tidak dipalingkan selepas datang petunjuk.
Saya hanya menyampaikan. Pilihan tetap pada diri sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi 18:29 di bawah.
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ ۚ ...
"Dan katakanlah: "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya"...
(Petikan QS. Al-Kahf 18: Ayat 29)
Pilihan ada pada kita sebagai manusia. Jika memilih iman, maka hidayah Allah akan memimpin kita ke jalan yang lurus. Namun, jika memilih kufur maka kesesatan itu lahir daripada kehendak sendiri, bukan kerana Allah bukan kerana al-Quran. Inilah garis pemisah antara mereka yang jujur mencari kebenaran dengan mereka yang berpaling walaupun tahu. Semoga Allah meneguhkan hati di atas kebenaran serta menghidupkan kita dengan al-Quran.
Bersambung
Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah
Balas kepada: