Muhkamat dan Mutasyabihat
Bahagian 9 : Penutup
Bahagian ini ialah penutup kepada seluruh siri. Niat asal saya ialah untuk melengkapkan satu ayat penuh dalam Surah al-Fatihah dengan menjelaskan tiga perkataan agung iaitu Malik, Yawma, dan ad-Dīn, agar anda dapat melihat satu contoh lengkap bagaimana kaedah tadabbur digunakan secara menyeluruh dan sistematik.
Namun seperti yang telah kita lihat dalam Bahagian 8, kupasan tentang Malik sahaja sudah menjadi satu bahagian yang panjang dan mendalam. Apatah lagi apabila kita menyentuh Yawma, yang melibatkan lebih daripada 200 ayat dan ad-Dīn, yang menghubungkan lebih 20 ayat daripada kisah syurga, dunia, barzakh, hingga kembali ke syurga atau neraka. Maka saya memutuskan untuk menamatkannya di sini.
Apa yang lebih penting daripada menamatkan semua bahagian ialah anda kini telah memahami kaedah tadabbur itu sendiri dan bagaimana untuk menjadi Ulul Albab yang berfikir dengan akal serta berzikir dengan hati.
Jika anda ingin menambah alat dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), silakan.
Namun bagi saya sendiri, saya memilih untuk berhati-hati, kerana AI boleh mengambil alih fungsi ‘aql dan qalb jika tidak dikawal dengan iman.
Ingatlah, tujuan kita bukan sekadar mengumpul ilmu untuk memperkayakan akal, tetapi untuk berkenalan dengan Ruh al-Qur’an agar ia hidup dan menetap di dalam qalbu. Tiada jalan yang lebih benar melainkan cara yang telah Allah tunjukkan sendiri.
Ambillah maklumat daripada senarai carian atau sumber rujukan anda, kemudian buka mushaf al-Qur’an, lihat, baca, terjemahkan, fahami, semak, fikir, bandingkan, renungkan, ambil iktibar, lalu pujilah Allah, sanjunglah Allah, dan besarkanlah Allah.
Itulah jalan terbaik. Jika anda melakukannya pada setiap kalimah dalam Ummul Qur’an – al-Fatihah, maka akhirnya anda akan menyelusuri dan menyelongkar seluruh Ummul Kitab.
Insya-Allah, semoga matlamat asal tercapai. Tujuan sebenar siri Muhkamat dan Mutasyabihat ini bukan sekadar menjelaskan tafsiran ayat, tetapi untuk menunjukkan bagaimana ayat-ayat muhkamat itu menjadi induk, tiang dan paksi yang teguh, sementara ayat-ayat mutasyabihat saling berjejaring, saling menyokong, dan akhirnya kembali berpaut kepada induknya.
Harapan saya agar kita semua berani membuka al-Qur’an dengan pandangan seorang mukmin yang yakin bahawa kitab ini tidak menyesatkan, bahkan setiap hurufnya ialah jaringan kebenaran yang membawa kita kembali kepada Allah. Jika anda jadikan al-Fatihah sebagai asas, maka dari Ummul Qur’an, anda akan dibimbing menyusuri seluruh Ummul Kitab.
Doa Penutup
اللَّهُمَّ اجْعَلْ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوبِنَا، وَنُورَ صُدُورِنَا، وَجَلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُومِنَا وَغُمُومِنَا، وَقَائِدَنَا وَسَائِقَنَا إِلَى رِضْوَانِكَ وَجَنَّاتِكَ.
"Allāhumma aj‘al al-Qur’āna rabī‘a qulūbinā, wa nūra ṣudūrinā, wa jalā’a aḥzāninā, wa dhahāba humūminā wa ghumūminā, wa qā’idanā wa sā’iqanā ilā riḍwānika wa jannātik.”
“Ya Allah, jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya dalam dada kami, penghapus segala dukacita kami, penghilang segala kegelisahan dan kesedihan kami, serta sebagai pemimpin dan penunjuk jalan kami menuju keredhaan-Mu dan syurga-Mu.”
Semoga bermanfaat dan selamat maju jaya.
Tamat
Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah
Klik disini untuk membuat tajaan
Balas kepada: