Muhkamat dan Mutasyabihat

MUHKAMAT DAN MUTASYABIHAT - BAHAGIAN 5 : MUHKAMAT SEBAGAI PAKSI MUTASYABIHAT SEBAGAI JARINGAN

1,055 1
Ongoing
Anggaran masa membaca
4 minit 53 saat

Muhkamat dan Mutasyabihat

Bahagian 5 : Muhkamat Sebagai Paksi Mutasyabihat Sebagai Jaringan

 

Ayat muhkamat ialah ayat yang maknanya kukuh serta tegas tanpa kesamaran pada zahir lafaz. Ia menjadi paksi rujukan untuk memahami ayat lain kerana di situlah tempat pertemuan makna yang stabil. Inilah sebab Allah menamakannya ummul kitab yang berperanan sebagai induk yang memegang keseluruhan struktur makna.

Dalam QS Ali ‘Imrān 3:7 ayat muhkamat disebut begini:

مِنۡهُ ءَايَٰتٞ مُّحۡكَمَٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ

Daripadanya (al-kitab) ada ayat-ayat yang muhkamat (kukuh/teguh maknanya/terikat rapi) itulah (ayat-ayat) ummul (ibu/induk/tunjang/paksi) kitab.

Maksudnya, daripada ayat ini ada titik temu kepada jaringan-jaringan ayat mutasyabihat. Daripadanya jaringan makna yang pelbagai kembali berpaut lalu makna akhir menjadi seimbang. Apabila timbul perbezaan tafsiran rujukan balik kepada muhkamat akan menstabilkan kefahaman.

Ayat mutasyabihat pula membentuk jaringan yang saling menerangkan antara satu sama lain termasuk sesama ayat mutasyabihat. Setiap pautan dalam jaringan itu akhirnya tersambung semula kepada induk muhkamat. Dengan cara ini makna tidak dibiarkan terapung. Ia boleh diuji melalui rujukan silang sehingga kembali serasi dengan paksi induk sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ini:

وَأُخَرُ مُتَشَٰبِهَٰتٌۚ

Dan ada pula mutasyabihat (yang memiliki jaringan keserupaan, saling mengait antara satu sama lain).


Untuk memudahkan amalan bacaan berkaedah perhatikan garis panduan ringkas ini.

  1. Kenal pasti frasa muhkamat yang menjadi paksi.

  2. Himpunkan ayat mutasyabihat yang berkongsi tema akar kata konteks atau pola.

  3. Uji setiap kefahaman agar pulang semula kepada muhkamat.

  4. Kekalkan adab bacaan serta disiplin bahasa supaya tafsiran tidak melampaui paksi.

Dengan pendekatan ini muhkamat berfungsi sebagai tiang seri yang menegakkan rumah makna. Mutasyabihat menjadi dinding serta ruang yang memperincikan isi. Rumah tidak akan runtuh kerana tiangnya teguh. Jaringan pula tetap indah kerana kembali kepada induk yang satu.


Menerangkan secara teori sahaja sering mengaburkan gambaran sebenar. Sebab itu kita perlukan contoh yang realistik supaya kaedah dapat dilihat berfungsi langkah demi langkah. Contoh paling sesuai untuk digunakan ialah Ummul Quran iaitu Surah al-Fatihah kerana surah inilah pintu masuk kepada keseluruhan makna al-Quran.

Sebelum kita menggunakan mana-mana ayat daripada al-Fatihah kita jelaskan dahulu perbezaan Ummul Kitab dan Ummul Quran supaya asas istilah menjadi jelas.

Ummul Kitab di sisi Allah ialah induk asal bagi segala ketetapan. Inilah yang disebut dalam Surah ar-Ra‘d ayat 39:

وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

“Dan di sisi-Nya ada Ummul Kitab.”

(Petikan Surah ar-Ra‘d 13:39)

Pada martabat ini Ummul Kitab ialah sumber asal yang satu. Daripadanya Allah mewahyukan Taurat, Zabur, Injil kemudian al-Quran. Pada tahap di sisi-Nya tidak ada percanggahan kerana semuanya berpunca daripada satu induk sahaja dinamakan Ummul Kitab. Percanggahan hanya muncul selepas wahyu turun kepada manusia apabila berlaku tahrif, penyelewengan, serta penyembunyian ayat oleh tangan-tangan yang tidak amanah.

Selepas diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, al-Quran sendiri mempunyai ummul pada aras teksnya. Surah Ali ‘Imran ayat 7 menjelaskan bahawa Ummul Kitab pada peringkat bacaan kita ialah ayat-ayat muhkamat. Ayat-ayat ini bertindak sebagai tiang seri yang memegang keseluruhan struktur makna. Jika kita bayangkan al-Quran sebagai sebuah rumah maka muhkamat ialah tiang yang menegakkan binaan. Mutasyabihat ialah dinding, ruang, perabot, serta perincian yang memperindah dan menyempurnakan isi. Rumah berdiri kerana tiang yang kukuh. Dinding dan ruang menjadi teratur kerana kembali kepada kedudukan tiang.

Di samping itu wujud istilah Ummul Quran yang dikhususkan bagi Surah al-Fatihah. Gelaran ini diberikan kerana al-Fatihah merangkumkan tema-tema agung al-Quran secara padat. Ia sebuah surah yang teguh serta muhkamat. Di dalamnya terkandung asas tauhid yang menegaskan rububiyyah dan uluhiyyah. Ada pengakuan ubudiyyah yang mendidik hati tunduk hanya kepada Allah. Ada doa memohon hidayah yang menjadi denyut nadi seluruh perjalanan seorang hamba. Ada pemisah yang jelas antara jalan orang yang Allah nikmati dengan jalan mereka yang dimurkai dan jalan mereka yang sesat. Segala tema utama al-Quran akhirnya kembali kepada rangkuman al-Fatihah ini.

Dengan erti kata lain, al-Fatihah ialah pintu masuk untuk memahami keseluruhan al-Quran. Ayat-ayat muhkamat di dalamnya berperanan sebagai paksi yang menjaga keseimbangan pentafsiran. Jaringan mutasyabihat pula menjadi laluan-laluan yang membawa kita mengembara dalam keluasan makna. Gabungan pintu masuk dan paksi ini memastikan seseorang pembaca tidak tersesat ketika menelusuri jaringan ayat yang saling berkait.

Maka, apabila makna mula bercabang kita kembali kepada tiang seri al-Fatihah. Apabila timbul andaian yang longgar kita uji semula dengan induk muhkamat. Dengan cara ini kita membaca secara berkaedah, hati menjadi lebih tenang, serta makna yang diperoleh kembali stabil pada tempatnya.


Bahagian seterusnya kita akan fokus kepada satu ayat sahaja untuk menunjukkan bagaimana muhkamat berperanan sebagai paksi makna dan bagaimana mutasyabihat pula membentuk jaringan yang kembali kepada paksi tersebut. Pemilihan satu ayat membolehkan kita melihat langkah kerja secara tersusun lalu mengelakkan kekeliruan akibat contoh yang terlalu banyak dalam satu masa. Ayat pilihan ialah ayat yang menjadi nadi penghakiman dan penyerahan diri kepada Allah iaitu:

مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ

"Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)."

(QS. Al-Fatihah 1: Ayat 4)

Ayat ini akan kita jadikan muhkamat pada aras topik “kekuasaan mutlak Allah pada Hari Pembalasan”.

Kita akan kenal pasti paksi makna dalam lafaz “Mālik” serta ruang makna “Yawm al-Dīn”. Selepas itu kita himpunkan ayat-ayat mutasyabihat yang berkaitan seperti ayat yang menyebut tentang hisab, mīzān, saksi, catatan amal, serta ketetapan balasan. Setiap ayat yang dihimpun akan diuji agar kembali serasi dengan paksi “kekuasaan” dan “hari pembalasan” supaya makna tidak terlepas daripada induk.

Langkah kerja yang akan digunakan adalah ringkas tetapi berdisiplin. Pertama, tentukan paksi muhkamat bagi tema ayat. Kedua, cari ayat-ayat lain yang berkongsi pola istilah atau tema yang berhubung rapat dengan paksi seperti kekuasaan, keadilan, keputusan akhir, pembalasan bagi hamba. Ketiga, semak keserasian setiap petunjuk dengan induk makna supaya tidak berlaku percanggahan. Keempat, simpulkan jaringan makna dalam bentuk rumusan yang kembali kepada al-Fatihah sebagai pintu masuk.

Dengan pendekatan ini anda akan melihat bagaimana satu muhkamat mengawal pentafsiran lalu mutasyabihat memperincikan gambaran. Hasil akhirnya bukan sekadar tahu terjemahan ayat tetapi memahami struktur makna yang memimpin iman dan amal. Kita masuk bahagian seterusnya untuk memulakan jejak langkah tersebut.

Bersambung


Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah

Klik disini untuk membuat tajaan

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.