Muhkamat dan Mutasyabihat
Bahagian 7 : Fikir Dalam Zikir dan Zikir Dalam Fikir
Dalam bahagian sebelum ini kita telah menyentuh bagaimana ayat مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ berdiri sebagai induk yang mengikat seluruh jaringan makna al-Qur’an. Namun untuk memahami rahsia induk ini kita mesti terlebih dahulu mengenal siapa yang layak dan bagaimana cara menyingkap maknanya. Di sinilah Allah memperkenalkan satu golongan khusus yang disebut sebagai Ulul Albab.
Sepertimana yang telah dinyatakan pada bahagian sebelum ini, tujuannya asal kita adalah untuk menjelaskan menjelaskan berkenaan al-Fatihah ayat 4 iaitu مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ “Yang Menguasai pemerintahan Hari Pembalasan” dalam memahami jaringan Muhkamat dan Mutasyabihat. Namun terlebih dahulu saya mesti menjelaskan kepada anda apakah yang dimaksudkan dengan Ulul Albab.
Allah S.W.T memerintahkan kita menjadi orang-orang yang Ulul Albab iaitu golongan yang menyelami isi al-Qur’an melalui tadabbur. bukannya sekadar membaca tanpa memahami. Ulul Albab ialah mereka yang membuka akal dan hati untuk mencari hakikat kebenaran dalam kalam Allah. Semua orang berhak melakukannya asalkan ada kerajinan, ada akal dan ada keinginan dalam qalbu.
Ulul Albab bukan golongan yang berfikir dengan akal semata-mata tetapi mereka yang menjadikan fikir sebagai zikir dan zikir sebagai fikir. Mereka membaca kejadian alam dan manusia sama seperti membaca ayat dan membaca ayat seperti membaca kejadian alam dan manusia. Kedua-duanya membawa mereka kembali kepada Rabb.
Dalil Pertama: Tadabbur Sebagai Jalan Ulul Albab
Allah S.W.T berfirman:
كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا۟ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang Ulul Albab.
(Surah Ṣād 38:29)
Ayat ini menunjukkan bahawa tadabbur bukan satu pilihan tambahan bagi kita tetapi ia adalah hakikat tujuan penurunan wahyu itu sendiri. Allah menegaskan bahawa keberkatan al-Qur’an terletak pada kemampuannya untuk dihayati dan direnungi, bukan hanya dihafal atau dibaca tanpa makna.
Perkataan لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ (li-yaddabbarū) berasal daripada akar kata دَبَرَ (dabara) yang bermaksud “melihat apa yang ada di belakang sesuatu” atau “menyelami sesuatu hingga ke hujung maksudnya”. Maka tadabbur bukan sekadar membaca atau menafsir secara zahir, tetapi menyelami dan mencari hikmah di sebalik setiap ayat, lapisan demi lapisan, jaringan ke jaringan sehingga Rabb membuka pandangan terhadap maksud yang tersirat di balik lafaz.
Inilah jalan yang membezakan antara pembaca al-Qur’an dengan Ulul Albab. Pembaca biasa mungkin berhenti pada bunyi bacaan, tetapi Ulul Albab mencari makna yang signifikan dan menjawab persoalan di qalbu. Mereka tidak sekadar melafazkan, tetapi membiarkan ayat-ayat Allah menembusi akal, bercampur dengan sains dan memberi manfaat kepada kehidupan.
Ayat ini juga mengajarkan bahawa keberkatan al-Qur’an tidak datang hanya daripada tilawah iaitu mengikuti sesuatu secara berterusan, menuruti jejak atau membaca dengan mengalunkan lafaz. Sebaliknya ayat ini menyatakan tadabbur yang membawa kepada tazakkur iaitu mengingat, meneguhkan sesuatu dalam ingatan serta mengambil pelajaran.
Apabila seseorang mentadabbur ayat-ayat Allah, hasil akhirnya ialah tazakkur, iaitu kesedaran yang hidup dalam qalbu dan Rabb membimbing tindakannya sebagaimana firman Allah S.W.T seperti berikut:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍۢ
Dan sesungguhnya Kami telah memudahkan al-Qur’an untuk peringatan, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran?
(Surah al-Qamar 54:17)
Dalam Surah Ṣād 38:29, Allah menyebut dua peringkat itu bersama لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ (agar mereka mentadabburi) dan وَلِيَتَذَكَّرَ (agar mereka mengambil pelajaran). Ini menunjukkan bahawa tadabbur adalah jalan, manakala tazakkur adalah hasilnya.
Mereka yang tidak mentadabbur al-Qur’an akan kehilangan keberkatannya. Hati mereka tetap keras walaupun lidah mereka lembut membaca. Tadabbur itu membijakkan akal dan memperkayakan minda sedangkan tazakkur itu menajamkan hati dan memperkayakan qalbu sehingga kedua-duanya menyatu dalam zikrullah.
Maka sesiapa yang benar-benar ingin merasakan keberkatan wahyu, pada saya mereka wajib mendekati wahyu Allah al kitab al-Qur’an dengan fikiran yang terbuka dan hati yang tunduk. Setiap kali seseorang membuka mushaf, dia sebenarnya sedang membuka ruang untuk berbicara dengan Rabb-nya. Itulah inti tadabbur yang dikehendaki Allah daripada Ulul Albab.
Dalil Kedua: Ulul Albab dan Tanda-tanda di Alam
Allah juga menegaskan bahawa sifat Ulul Albab ialah mereka yang mengaitkan ayat-ayat-Nya dengan kejadian alam dan perjalanan hidup manusia:
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi Ulul Albab.
(Surah Āli ʿImrān 3:190)
Ayat ini menegaskan bahawa tanda-tanda kekuasaan Allah bukan hanya tersimpan dalam mushaf, tetapi tersebar di seluruh alam. Bagi Ulul Albab, langit bukan sekadar bumbung sebagai ruang kosong dan bumi bukan sekadar tempat berpijak dan didiami. Kedua-duanya adalah lembaran kitab ciptaan Allah yang tersusun dengan hikmah yang sama seperti ayat-ayat al-Qur’an.
Dalam Surah Āli ʿImrān 3:190 di atas, Allah menyebut dua unsur utama iaitu langit dan bumi, kemudian menambah satu dimensi masa, pertukaran malam dan siang. Ini menunjukkan bahawa seluruh kewujudan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu ruang, masa dan hukum yang mengatur keduanya. Maka apabila Ulul Albab mentadabbur alam, mereka sebenarnya sedang membaca al-Qur’an dalam bentuk yang terbentang di hadapan mata.
Orang yang berakal tidak berhenti pada pandangan luaran. Mereka melihat langit dan bumi sebagai tanda-tanda kekuasaan yang menunjuk kepada Pencipta. Setiap pergantian malam dan siang mengingatkan mereka kepada perjalanan hidup serta peredaran takdir. Bagi mereka, setiap fasa kehidupan ialah ayat yang menunggu untuk dibaca dengan mata hati. Sebab itulah orang yang beriman disebut oleh Allah sebagai golongan yang berzikir dalam semua keadaan iaitu ketika berdiri, duduk dan berbaring.
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala berfirman:
ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan ketika mereka berbaring, serta mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Rabb kami, tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.”
(Surah Āli ʿImrān 3:191)
Ayat ini ialah kesinambungan langsung kepada dalil sebelumnya dalam Surah Āli ʿImrān ayat 190. Ia memperlihatkan bahawa Ulul Albab bukan sekadar berfikir (yatafakkarūn, يَتَفَكَّرُونَ) tetapi juga berzikir (yadhkurūn, يَذْكُرُونَ). Zikir di qalbu dan fikir di minda berjalan bersama membentuk kesedaran yang progresif dan menyeluruh. Ulul Albab tidak memisahkan pencarian ilmu daripada kesedaran terhadap Allah kerana setiap ilmu yang tidak membawa kepada zikir hanyalah maklumat, bukannya hikmah.
Inilah perbezaan antara akal yang berfikir tanpa iman dan dengan akal yang berfikir bersama panduan wahyu daripada al-Kitab. Yang pertama hanya mengira manakala yang kedua mengenal. Yang pertama melihat ciptaan manakala yang kedua melihat Pencipta di sebalik ciptaan.
Apabila seseorang menyedari bahawa seluruh ciptaan ialah manifestasi kalam-Nya, manusia tidak lagi memisahkan antara agama dengan alam dan kehidupan. Alam bukan musuh kepada iman tetapi saksi yang mengukuhkannya. Maka tidak hairanlah jika ayat ini menghubungkan Ulul Albab dengan dua sifat utama, iaitu yatafakkarūn (يَتَفَكَّرُونَ) yang berfikir dan yadhkurūn (يَذْكُرُونَ) yang berzikir, kerana kedua-duanya menjadi jambatan antara ilmu dan iman.
Ulul Albab semua hikmah pada langit, memahami bahasa bintang, membaca isyarat angin dan melihat hikmah pada setiap perubahan siang serta malam. Mereka tidak menolak sains kerana bagi mereka ilmu ialah sebahagian daripada ayat-ayat Allah yang menunggu untuk difahami walaupun belum difahami. Ilmu dan wahyu tidak pernah bertentangan. Yang bertentangan hanyalah pandangan manusia secara terpisah daripada tauhid. Maka sesiapa yang tidak mentadabbur alam seperti dia mentadabbur Al Kitab, sebenarnya telah kehilangan separuh daripada jalan menuju makrifah.
Setiap kali malam berganti siang, Ulul Albab melihat kebangkitan dan kematian. Setiap kali awan berarak, mereka melihat tanda rahmat yang bergerak dengan izin-Nya. Setiap kali bumi yang kering hidup kembali dengan air hujan, mereka melihat bayangan hari kebangkitan. Beginilah Ulul Albab membaca alam bukan dengan mata semata-mata tetapi dengan qalbu yang dihidupkan oleh tadabbur hingga melahirkan tazakkur.
Justeru, ayat ini mengajar bahawa tanda-tanda Allah hadir dalam dua bentuk iaitu ayat yang dibaca dan ayat yang dilihat. Kedua-duanya berasal daripada sumber yang sama serta menuju kepada tujuan yang sama, iaitu pengakuan bahawa tiada sesuatu pun yang tercipta tanpa hikmah. Maka antara Ulul Albab dan alam tidak ada jurang kerana keduanya menjadi cermin yang memantulkan hakikat kebenaran yang satu.
Dalil Ketiga: Pengakuan Tauhid dari Zikir dan Fikir
Sekali lagi kita menggunakan ayat ini. Allah Subhanahu Wa Ta‘ala berfirman:
ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan ketika mereka berbaring, serta mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Rabb kami, tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.”
(Surah Āli ʿImrān 3:191)
Surah Āli ʿImrān 3:191 ini adalah kemuncak perjalanan fikir dan zikir yang telah disebut sebelumnya. Setelah Ulul Albab berfikir tentang kejadian langit dan bumi, mereka tidak berhenti pada ilmu atau kehairanan. Mereka sampai kepada satu kesimpulan yang hidup di qalbu dengan kesedaran bahawa seluruh kewujudan ini tidak dicipta dengan sia-sia. Dari renungan akal lahir pengakuan lisan, dan dari pengakuan lisan lahir doa yang penuh tunduk. Inilah titik pertemuan antara ilmu dan iman.
Frasa رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا ialah seruan dari hati yang telah mengenal Rabb mereka melalui tadabbur. Ia bukan hanya pernyataan biasa, tetapi penegasan tauhid. Apabila seseorang mengucapkan “Wahai Rabb kami, Engkau tidak mencipta semua ini sia-sia,” dia sedang mengakui dua hakikat besar bahawa setiap kejadian samada alam atau diri memiliki tujuan dan bahawa Penciptanya Maha Suci daripada sebarang sia-sia.
Setiap zarah yang bergerak di langit dan di bumi, setiap detik siang yang berganti dengan malam, semuanya berfungsi dalam rangka hikmah Allah. Tiada yang tercipta tanpa maksud. Bahkan ujian, musibah dan kematian sekalipun mempunyai tempatnya dalam keadilan dan kebijaksanaan Allah. Kesedaran inilah yang melahirkan rasa tunduk, kerana akal yang mentadabbur akhirnya bertemu dan bercantum dengan qalbu yang bertasbih.
Kemudian datanglah lafaz سُبْحَانَكَ, tanda pengakuan suci terhadap kesempurnaan Allah. Zikir ini lahir bukan sekadar dari lidah tetapi dari kefahaman yang telah matang di dalam diri. Ia bukan pengulangan biasa sahaja sebaliknya ia ledakan kesedaran bahawa segala yang berlaku di dunia ini berada dalam aturan dan kehendak-Nya. Fikir membawa kepada tahu, tetapi zikir membawa kepada tunduk. Apabila kedua-duanya bertemu, lahirlah insan yang menyembah bukan kerana diwarisi, tetapi menyembah kerana mengenal.
Lafaz terakhir فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ melengkapkan perjalanan ini. Setelah memahami makna wujud dan mengakui kesucian Allah, Ulul Albab berdoa agar diselamatkan daripada azab. Ini menggambarkan bahawa ilmu yang benar tidak menjadikan manusia sombong tetapi menimbulkan rasa takut. Semakin tinggi pemahaman seseorang terhadap hikmah Allah, semakin dalam kerendahan dirinya di hadapan-Nya.
Doa ini bukan hanya permohonan keselamatan di akhirat, tetapi juga perlindungan daripada api kelalaian di dunia. Api yang membakar bukan hanya berasal dari neraka, tetapi juga dari api nafsu yang mengganas, hati yang lupa dan akal yang kaku. Oleh itu, Ulul Albab sentiasa menghidupkan dirinya dengan zikir dan fikir supaya tidak terbakar oleh kesombongan ilmu atau kealpaan dunia lalu meruntuhlah keakuan dirinya.
Ayat ini juga membuktikan bahawa kemuncak tadabbur ialah pengakuan tauhid sedangkan kemuncak ilmu ialah kesedaran tentang batas diri. Ulul Albab bukan golongan yang sekadar tahu, tetapi mereka yang kembali kepada Allah dengan pengakuan suci bahawa tiada satu pun ciptaan-Nya yang batil. Inilah hasil tertinggi daripada gabungan fikir dan zikir iaitu kefahaman yang melahirkan pengakuan, pengakuan yang melahirkan ketundukan dan ketundukan yang melahirkan keselamatan dunia dan akhirat.
Zikir dan fikir akhirnya bertemu dalam satu kalimat iaitu سُبْحَانَكَ. Di situ akal berhenti mencari dan disitulah hati mula menyembah. Di situ manusia memahami bahawa jalan ilmu yang sebenar berakhir dengan rukuk dan sujud. Jalan rukuk dan sujud yang benar bermula dengan ilmu. Inilah keseimbangan yang Allah mahu lahirkan dalam diri Ulul Albab, iaitu hamba yang mengenal, bersyukur dan bertakwa kepada-Nya dalam waktu yang sama.
Ulul Albab dan Hubungannya dengan Muhkamat
Apa yang saya ingin disampaikan dalam seluruh bahagian ini ialah, Ulul Albab adalah mereka yang menjadikan ayat-ayat muhkamat sebagai induk rujukan dan menghubungkan ayat-ayat mutasyabihat ke arahnya melalui tadabbur. Mereka membaca al-Qur’an bukan dengan rasa takut akan sesat, tetapi dengan keyakinan bahawa firman Allah tidak pernah membawa kesesatan kepada hati yang tulus.
Allah S.W.T berfirman:
وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقٗا وَعَدْلٗا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِهِۦ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.(Surah Al-Anʿām 6:115)
Ayat ini menegaskan bahawa kalam Allah sempurna dalam dua hal, iaitu kebenaran (ṣidqan) dan keadilan (ʿadlan). Ia benar pada makna dan adil pada hukumnya. Tiada siapa yang mampu mengubah kalimat Allah sama ada dari segi lafaz mahupun hakikatnya. Maka sesiapa yang berinteraksi dengan al-Qur’an dengan hati yang bersih tidak akan disesatkan darinya, bahkan akan dipimpin menuju jalan yang lurus.
Ulul Albab memahami bahawa muhkamat ialah paksi yang mengikat makna, manakala mutasyabihat ialah cabang yang berpaut kepadanya. Mereka tidak memisahkan antara zahir dan batin atau antara ilmu dan hikmah. Mereka menjadikan ayat-ayat muhkamat sebagai timbangan yang membezakan antara tafsiran yang benar dengan yang palsu. Inilah sebabnya mereka tidak gentar untuk mentadabbur, kerana mereka tahu bahawa kebenaran tidak mungkin membawa kesesatan.
Allah telah menjanjikan bahawa kalam-Nya ialah kebenaran mutlak yang memandu orang berakal di minda dan menyesatkan hanya mereka yang menolak dengan hati yang tertutup di qalbu. Oleh itu sesiapa yang menakut-nakutkan manusia daripada tadabbur sebenarnya sedang menghalang mereka daripada menjadi sebahagian daripada golongan Ulul Albab yang merupakan golongan yang dimuliakan Allah.
Sekarang anda sudah tahu bahawa Ulul Albab ialah orang yang hatinya berzikir ketika akal berfikir dan orang yang berfikir ketika hatinya berzikir. Mereka memahami al-Qur’an bukan sekadar untuk dihafal, tetapi untuk dihidupkan. Mereka mendengar firman Allah bukan hanya dengan telinga, tetapi dengan seluruh kesedaran jiwa. Setiap kali mereka mentadabbur satu ayat, mereka melihat bagaimana ayat itu kembali kepada muhkamat yang menjadi induk makna, lalu dari situ seluruh jaringan makna al-Qur’an tersusun rapi.
Kerana itu untuk memahami rahsia di sebalik ayat مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ, seseorang mesti terlebih dahulu memiliki hati seorang Ulul Albab iaitu hati yang mengenal zikir dalam fikir dan fikir dalam zikir. Tanpa hati yang hidup, ayat yang agung ini hanya tinggal lafaz tanpa nur tidak tersuluh ke jalan yang lurus. Tetapi bagi Ulul Albab, setiap hurufnya membuka pintu makna yang menghubungkan manusia kepada Rabb yang Maha Menguasai.
Insya-Allah, pada bahagian seterusnya kita akan menelusuri makna مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ, “Yang Menguasai pemerintahan Hari Pembalasan”, dan melihat bagaimana ayat ini berdiri sebagai salah satu muhkamat yang menjadi pusat jaringan makna seluruh al-Qur’an.
Bersambung
Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah
Balas kepada: