Muhkamat dan Mutasyabihat

MUHKAMAT DAN MUTASYABIHAT - BAHAGIAN 4 : KERANGKA BACA BERKAEDAH

1,030 1
Ongoing
Anggaran masa membaca
3 minit 29 saat

Muhkamat dan Mutasyabihat

Bahagian 4 : Kerangka Baca Berkaedah

 

Hingga tahap ini saya percaya anda sudah memahami serta meyakini bahawa al-Quran tidak akan menyesatkan manusia walaupun dibaca sendiri tanpa guru. Jika anda masih belum membaca dari awal atau hati anda belum yakin sila kembali ke Bahagian 1 dan baca semula agar landasan hujah dan dalilnya benar-benar jelas.

Saya tidak punya apa-apa halangan jika anda mahu meneruskan pembacaan. Namun sebagai seorang saudara yang menulis serta menyampaikan peringatan dari hati saya perlu berterus terang. Jika hati masih cenderung menolak lalu anda terus membaca tanpa meluruskan niat dan tanpa sedia tunduk kepada bukti anda berisiko tergelincir ke dalam golongan yang menerima sebahagian al-Quran tetapi menolak sebahagian yang lain.

Sikap menolak seperti itu boleh berlaku berulang kali tanpa disedari hingga menjadi tabiat. Ia bermula dengan rasa tidak mahu tunduk kepada ayat yang menyentuh kepentingan diri kemudian diulang dengan alasan yang kelihatan wajar. Lama-kelamaan seseorang boleh menjadi sebahagian daripada orang yang menolak berterusan walaupun lidah mengaku beriman.

Saya yakin anda mengetahui istilah yang Allah gunakan bagi mereka yang terus-menerus menolak ayat-Nya. Bahagian ini ditulis agar kita menjauhkan diri daripada sifat itu. Kita mohon agar hati dipelihara daripada keangkuhan. Kita datang kepada al-Quran dengan adab dengan kaedah yang sahih dan dengan kesediaan menerima kebenaran walau pahit pada awalnya. Dengan cara itu bacaan kita menjadi jalan hidayah bukan medan mencari alasan untuk menolak.


Dalam bahagian ini saya kembali ke akar perbincangan tentang muhkamat dan mutasyabihat sebagaimana yang telah disentuh dalam Bahagian 1. Tujuannya supaya kita membina semula asas dengan lebih teratur, menyemak semula istilah utama, serta meletakkan kerangka yang jelas tentang bagaimana kedua-dua kategori ayat ini saling berperanan dalam membentuk makna al-Quran.

Kita akan menelusuri ayat tunjang Ali ‘Imran 3:7 dengan lebih dekat. Saya jelaskan struktur ayatnya, membezakan kedudukan muhkamat sebagai induk makna serta peranan mutasyabihat sebagai jaringan ayat yang saling merujuk kembali kepada induk. Pendekatan ini membantu pembaca melihat pola, bukan sekadar potongan ayat, agar setiap makna yang ditemui kembali berpaut pada paksi yang kukuh.

Bagi memudahkan pemahaman bersama, saya sediakan terjemahan kerja QS Ali ‘Imran 3:7 yang disertai penjelasan istilah pada tempat yang perlu. Terjemahan ini bukan menggantikan terjemahan autoritatif, sebaliknya berfungsi sebagai peta bacaan yang memandu langkah tadabbur kita seterusnya. Dengan peta ini, kita dapat menilai semula andaian lama, menguji keserasian makna dengan induk, serta menyiapkan diri untuk aplikasi praktikal pada contoh-contoh ayat yang akan menyusul.

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَيْكَ ٱلۡكِتَٰبَ
Dialah yang menganugerahkan kepadamu al-Kitab

مِنۡهُ ءَايَٰتٞ مُّحۡكَمَٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلۡكِتَٰبِ
Daripadanya (al-kitab) ada ayat-ayat yang muhkamat (kukuh/teguh maknanya/terikat rapi) itulah (ayat-ayat) ummul (ibu/induk/tunjang/paksi) kitab.

وَأُخَرُ مُتَشَٰبِهَٰتٌۚ
Dan ada pula mutasyabihat (yang memiliki jaringan keserupaan, saling mengait antara satu sama lain)

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمۡ زَيْغٞ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَٰبَهَ مِنۡهُ
Adapun mereka yang qalbunya zayghun (cenderung condong/menyimpang) mereka mengikuti/mengekori/menuruti apa sahaja/sesuatu yang tashābaha (bahagian yang memiliki jaringan, saling mengait antara satu sama lain)

ٱبۡتِغَآءَ ٱلۡفِتۡنَةِ وَٱبۡتِغَآءَ تَأۡوِيلِهِۦۗ
demi/kerana mencari fitnah (huru-hara/kekacauan) dan demi/kerana mencari takwil nya (kesudahan/hakikat akhirnya sedangkan ia saling berkait/mengikat, tiada akhir).

وَمَا يَعۡلَمُ تَأۡوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُۗ
Dan tiada siapa mengetahui takwil nya (kesudahan/hakikat akhir) melainkan Allah.

وَٱلرَّٰسِخُونَ فِي ٱلۡعِلۡمِ يَقُولُونَ ءَامَنَّا بِهِۦ كُلّٞ مِّنۡ عِندِ رَبِّنَاۗ
Dan orang-orang yang mendalam/berpaut kukuh/saling berkait ilmunya berkata: “Kami beriman kepadanya (al-Kitab); kesemuanya/sekaliannya dari sisi Rabb kami.”

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Dan tiada yang benar-benar mengambil peringatan melainkan Ulu al Albab (para pemilik/orang-orang yang memiliki inti/teras/core qalbu)

(Ali ‘Imrān 3:7)


Dalam bahagian ini dan seterusnya saya akan menerangkan semula asas perbincangan lalu saya kemukakan definisi kerja yang lebih tepat bagi muhkamat dan mutasyabihat. Tujuannya supaya kita membaca al-Quran dengan kerangka yang jelas serta berpandukan kaedah yang tertib.

Muhkamat bukan sekadar ayat yang kelihatan jelas pada pandangan pertama. Muhkamat ialah ayat induk yang memegang paksi makna yang kukuh lalu menjadi rujukan balik bagi rangkaian ayat lain. Mutasyabihat pula bukan ayat kabur yang kononnya tidak dapat difahami. Mutasyabihat ialah ayat yang memiliki keserupaan pola dan saling mengait lalu kembali menguatkan maksud induk apabila dirujuk dengan betul.

Dengan kerangka ini semua ayat Allah boleh difahami apabila struktur al-Quran dihormati. Yang menjelaskan al-Quran kepada kita ialah al-Quran sendiri melalui induk muhkamat dan jaringan mutasyabihat. Peranan kita ialah mendekati naskhah ini dengan adab, menyemak bahasa dan konteks, kemudian menguji setiap kefahaman agar kembali serasi dengan induknya.

Bersambung


Setiap sumbangan membantu kami hasilkan lebih banyak pendedahan dan bahan ilmiah. Sertai sebagai penaja melalui link di bawah

Klik disini untuk membuat tajaan

Disampaikan oleh BAZ (B.A.Z Administrator)
Kongsikan:
Tinggalkan komen
Email anda tidak akan dipaparkan. Ruangan yang bertanda * adalah wajib diisi.
Contoh: https://mywebsite.com

Komen (1):

Paling Popular

Dengan mengklik "Terima Semua Kuki", anda bersetuju untuk menyimpan kuki pada peranti anda bertujuan untuk mempertingkatkan navigasi laman sesawang, menganalisis penggunaan laman sesawang dan membantu dalam sebarang usaha pemasaran.